Peristiwa
Israk dan Mikraj membawa banyak pengajaran khusus untuk umat Nabi
Muhammad. Kesemua gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad
mempunyai pengajaran dan perbandingan simbolik yang tersirat. Oleh sebab
gambaran-gambaran begini seolah-olah tidak natural, maka ramailah
manusia terutama yang lemah keimanannya kepada Allah, Rasul dan khabar
ghaib sukar mempercayainya. Sebaliknya orang-orang yang beriman terus
percaya tanpa soalselidik kerana mereka sedar kesemua itu adalah atas
kehendak dan kekuasaan Allah. Apa yang Allah kehendaki terus menjadi
(kun fayakun); tiada siapa pun boleh menghalangnya. Kesemua kita milik
Allah, masa milik Allah, tempat milik Allah, ruang milik Allah malahan
apa yang terlintas di hati kita juga milik Allah. Hakikatnya kita tidak
memiliki sesuatu. Saidina Abu Bakar apabila diberitahu tentang
keganjilan yang berlaku dalam peristiwa Israk dan Mikraj, serta merta
berkata jika pengakuan itu datang dari Nabi Muhammad, dia 100% yakin dan
percaya bukan setakat peristiwa Israk & Mikraj, malah lebih
daripada itu pun dia akan yakin.
Krisis kepercayaan dan keimanan ini
sudah wujud pada zaman Nabi lagi. Baginda sekembalinya dari mikraj
turun ke Baitul Maqdis dan menaiki Buroq ke Mekah bersama Jibril. Sampai
di Mekah, Buroq dan Jibril meninggalkan Nabi berseorangan. Baginda amat
sedar bahawa jika diceritakan pengalaman itu kepada orangramai, nescaya
ramai yang tidak mempercayainya. Betapa mereka hendak percaya sedangkan
perjalanan unta dari Mekah ke Baitul Maqdis sahaja memakan masa
berbulan-bulan tetapi Nabi boleh pergi dan balik dalam masa sehari
semalam dan ditambah pula dengan naik ke langit hingga Sidratul Muntaha.
Ketika itu waktu Subuh. Abu Jahal terserempak dengan Nabi. Nabi
menceritakan perjalanannya dari Mekah ke Baitul Maqdis semalaman. Abu
Jahal yang sememangnya mencari isu yang boleh menghakis kepercayaan
orang kepada Nabi, terus mempersendakannya dan berlalu sambil
menghebohkan kepada orangramai. Nabi Muhammad tidak perlu mengumpulkan
orang sebab Abu Jahal sendiri sudah berusaha memanggil mereka untuk
mendengar cerita 'karut' Nabi Muhammad. Sekumpulan manusia dari Bani Qa'ab dan Luay berkumpul di sekeliling Nabi untuk mendengar peristiwa yang berlaku. Nabi menceritakan dari awal hingga akhir apa yang berlaku. Ada yang terpinga-pinga mendengarnya. Tetapi segolongan lain tetap yakin akan kebenaran Nabi. Beberapa orang berjumpa Saidina Abu Bakar dengan harapan Saidina Abu Bakar menyangkal apa yang berlaku. Tetapi dengan tegas Abu Bakar membenarkan segala kata-kata Nabi Muhammad.
Demikianlah sekiranya Allah hendak memberikan kebaikan kepada seseorang, diberikannya keimanan kepada Rasul. Sebaliknya jika Allah tidak menghendaki kebaikan pada seseorang, maka tetaplah dia dengan kekufuran dan tidak mempercayai pengalaman yang dilalui oleh Nabi Muhammad. Semoga kita semua termasuk dalam kategori manusia yang beriman dengan Allah dan RasulNya.
No comments:
Post a Comment