Peristiwa
 Israk dan Mikraj membawa banyak pengajaran khusus untuk umat Nabi 
Muhammad. Kesemua gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad 
mempunyai pengajaran dan perbandingan simbolik yang tersirat. Oleh sebab
 gambaran-gambaran begini seolah-olah tidak natural, maka ramailah 
manusia terutama yang lemah keimanannya kepada Allah, Rasul dan khabar 
ghaib sukar mempercayainya. Sebaliknya orang-orang yang beriman terus 
percaya tanpa soalselidik kerana mereka sedar kesemua itu adalah atas 
kehendak dan kekuasaan Allah. Apa yang Allah kehendaki terus menjadi 
(kun fayakun); tiada siapa pun boleh menghalangnya. Kesemua kita milik 
Allah, masa milik Allah, tempat milik Allah, ruang milik Allah malahan 
apa yang terlintas di hati kita juga milik Allah. Hakikatnya kita tidak 
memiliki sesuatu. Saidina Abu Bakar apabila diberitahu tentang 
keganjilan yang berlaku dalam peristiwa Israk dan Mikraj, serta merta 
berkata jika pengakuan itu datang dari Nabi Muhammad, dia 100% yakin dan
 percaya bukan setakat peristiwa Israk & Mikraj, malah lebih 
daripada itu pun dia akan yakin.    
Krisis kepercayaan dan keimanan ini
 sudah wujud pada zaman Nabi lagi. Baginda sekembalinya dari mikraj 
turun ke Baitul Maqdis dan menaiki Buroq ke Mekah bersama Jibril. Sampai
 di Mekah, Buroq dan Jibril meninggalkan Nabi berseorangan. Baginda amat
 sedar bahawa jika diceritakan pengalaman itu kepada orangramai, nescaya
 ramai yang tidak mempercayainya. Betapa mereka hendak percaya sedangkan
 perjalanan unta dari Mekah ke Baitul Maqdis sahaja memakan masa 
berbulan-bulan tetapi Nabi boleh pergi dan balik dalam masa sehari 
semalam dan ditambah pula dengan naik ke langit hingga Sidratul Muntaha.
 Ketika itu waktu Subuh. Abu Jahal terserempak dengan Nabi. Nabi 
menceritakan perjalanannya dari Mekah ke Baitul Maqdis semalaman. Abu 
Jahal yang sememangnya mencari isu yang boleh menghakis kepercayaan 
orang kepada Nabi, terus mempersendakannya dan berlalu sambil 
menghebohkan kepada orangramai. Nabi Muhammad tidak perlu mengumpulkan 
orang sebab Abu Jahal sendiri sudah berusaha memanggil mereka untuk 
mendengar cerita 'karut' Nabi Muhammad.    Sekumpulan manusia dari Bani Qa'ab dan Luay berkumpul di sekeliling Nabi untuk mendengar peristiwa yang berlaku. Nabi menceritakan dari awal hingga akhir apa yang berlaku. Ada yang terpinga-pinga mendengarnya. Tetapi segolongan lain tetap yakin akan kebenaran Nabi. Beberapa orang berjumpa Saidina Abu Bakar dengan harapan Saidina Abu Bakar menyangkal apa yang berlaku. Tetapi dengan tegas Abu Bakar membenarkan segala kata-kata Nabi Muhammad.
Demikianlah sekiranya Allah hendak memberikan kebaikan kepada seseorang, diberikannya keimanan kepada Rasul. Sebaliknya jika Allah tidak menghendaki kebaikan pada seseorang, maka tetaplah dia dengan kekufuran dan tidak mempercayai pengalaman yang dilalui oleh Nabi Muhammad. Semoga kita semua termasuk dalam kategori manusia yang beriman dengan Allah dan RasulNya.
No comments:
Post a Comment