Pages

"Wahai Tuhan kami, anugerahkan kepada kami pasangan-pasangan dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam / ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. Ya Allah.... Jadikanlah pasangan kami... Pembantu kami dalam melakukan ketaatan kepada-Mu... Kekalkanlah kasih sayang kami hingga ke syurga-Mu... Tunjukilah kami jalan keluar .... Terhadap masalah-masalah yang kami hadapi ....

Hanya kepadaMu tempat kami mengadu ... Engkau Maha Berkuasa membuka hati-hati manusia... Jadikanlah anak-anak kami zuriat yang soleh... Lembutkanlah hati-hati mereka ... Masukkanlah Nuur HidayahMu ke dalam hati mereka... Ya Allah , Ampunilah dosa kami di atas kelalaian kami dalam mendidik mereka mengenali-Mu... Jauhkanlah mereka daripada pengaruh-pengaruh... Yang merosakkan akhlak dan aqidah mereka... Jauhkanlah mereka daripada kawan-kawan yang jahat ... Kurniakanlah kami kekuatan untuk terus menasihati dan mendoakan mereka ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa menunaikan solat ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa ringan melakukan ketaatan kepada-Mu ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa mendoakan kami ketika kami berada di dalam kubur...."

aurat

aurat
Showing posts with label KHUTBAH JUMAAT. Show all posts
Showing posts with label KHUTBAH JUMAAT. Show all posts

Thursday, April 18, 2013

Rebut Keistimewaan Jumaat...

SETIAP minggu kita bertemu hari Jumaat. Hari yang sepatutnya dinanti-nantikan setiap umat Islam agar dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
Hari Jumaat melambangkan keutuhan dan kesepaduan umat Islam. Seluruh umat berhimpun di rumah Allah bagi meraih keredaan dan kerahmatan-Nya.

Sesungguhnya kemuliaan hari Jumaat yang juga digelar 'Saiyyidul ayyam' terpahat dalam banyak hadis Rasulullah. Antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam, dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari itu, dan kiamat akan terjadi pada hari Jumaat". (Hadis riwayat Muslim) Pada hari Jumaat juga perlu melakukan banyak kebajikan dan berdoa. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Pada hari itu (hari Jumaat) tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dimakbulkan permintaannya." (Hadis riwayat Muslim) Rasulullah menyatakan bahawa antara waktu yang mustajab doa adalah ketika imam duduk di antara dua khutbah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya saat yang mustajab (berdoa) itu di antara duduk imam antara dua khutbah hingga selesai sembahyang Jumaat." (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud) Setiap individu Muslim dianjurkan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat.

Amalan membaca surah al-Kahfi menyelamatkan daripada fitnah Dajal. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Barang siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah Dajal." (Hadis riwayat Ahmad) Kita dikehendaki bersegera menghadirkan diri ke masjid untuk bersolat. Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (Surah al-Jumu'ah ayat 9) Namun, selepas selesai solat Jumaat, umat Islam digalakkan untuk meneruskan aktiviti dan urusan mereka kembali. Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Jumu'ah ayat 10) Begitulah keindahan Islam yang diatur dengan sebaik-baiknya mengikut aturan Allah. Perkara itu dapat difahami menerusi maksud sabda Rasulullah: "Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia pergi menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain, solat seperti mana yang ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu." (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan al-Hakim) Walaupun besar ganjaran yang dihamparkan Allah kepada kita pada hari Jumaat, ramai masih alpa beberapa perkara. Terdapat individu Muslim yang sanggup meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan. Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "Barang siapa mendengar panggilan azan pada hari Jumaat dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, maka Allah akan menutup hatinya dan menjadikan hatinya seperti hati orang munafik." (Hadis riwayat Baihaqi) Namun, bagi mereka yang hadir solat Jumaat, pastikan anda menjaga tertib, antaranya berbual ketika khatib membaca khutbah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Jika kamu berkata-kata kepada teman kamu (dengan perkataan) 'diam' sementara imam sedang berkhutbah, maka kamu melakukan laghw (perkara sia-sia)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Mendengar khutbah Jumaat dengan teliti serta mengambil peringatan daripadanya ialah sesuatu yang dituntut. Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-A'raf, ayat 204) Hal berkenaan bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya ini adalah umat kamu, umat yang satu. Dan Aku (Allah) adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku (Allah)." (Surah al-Mu'minun ayat 52)

Thursday, October 18, 2012

Khutbah Jumaat “ANUGERAH ILAHI”


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“ANUGERAH ILAHI”
(19 OKTOBER 2012 / 3 ZULHIJJAH 1433H)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “ANUGERAH ILAHI ”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Berdasarkan kepada laporan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, bahawa pada ketika ini di anggarkan 9.8 juta (36%) penduduk negara kita terdiri daripada golongan kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun. Golongan ini merupakan anugerah dan nikmat yang terbesar daripada Allah SWT  dan merupakan aset pembangunan negara pada masa depan. Bagi pasangan ibubapa ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan yang berlipat kali ganda sekiranya mereka di didik dan dibentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh. Sebaliknya, jika diabaikan dari segi didikan, tidak mustahil akan menjadi anak yang derhaka, terbiar dan pada masa akan datang akan menjadi sampah kepada masyarakat dan negara. Justeru memiliki anak yang soleh serta baik budi pekertinya menjadi impian setiap ibubapa dan keluarga sebagaimana kisah Nabi Zakaria AS yang memohon dengan berdoa kepada Allah SWT agar di kurniakan anak-anak yang soleh. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 38:
Bermaksud: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”.

          Anak-anak sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih dari sebarang kekotoran samada zahir ataupun batin, maka menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mencorakkan samada untuk membentuknya menjadi insan berjaya ataupun tidak. Anak yang soleh akan memberi manafaat yang amat besar kepada kedua ibubapa. Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud:“Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedakah jariah, ilmu yang bermanafaat dan anak yang soleh yang mendoakan.” (Riwayat Imam Muslim)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Dalam membina potensi anak anak, maka pendidikan kepada mereka hendaklah dimulakan sejak awal lagi, kerana pada usia itu segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka. Ibnu Sina pernah berpesan, katanya: “ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk ”. Rasulullah SAW telah menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak-anak iaitu: 
Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun) hendakkah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana haiwan menjaga anak. 
Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab kepada mereka. Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat. 
Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun, hendaklah diberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu-bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.
Ibnu Khaldun telah membahagikan tujuan pendidikan kepada tiga bentuk pendidikan: Pertama: Mempersiapkan seorang anak dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama menurut al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ini akan membina akidahnya dan membentuk peribadi yang beriman. 
Kedua: Mempersiapkannya dari segi akhlak, dan Ketiga: Mempersiapkannya dari segi pemikiran, ini termasuk ilmu-ilmu umum duniawi, kerana dengan memiliki pemikiran dan ilmu yang baik dan tepat seseorang itu akan mampu berdikari dan memiliki ketrampilan untuk melaksanakan tugas dengan baik.
          Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Berilah nasihat dan teguran kepada mereka dalam hal akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana nasihat dan teguran tidak boleh dibuat setiap hari atau setiap masa kerana anak-anak akan mudah merasa jemu dan bosan. Contohilah apa yang dilakukan oleh Lukman al-Hakim di dalam mendidik anak-anaknya. Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 13:
Bermaksud:  “Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sebagai ibu-bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila mereka telah dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang. Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat. Dari itu amat penting pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia. Kerana dengan pendidkan agama, prinsip iman mereka akan teguh. Ini akan membantu mereka menghadapi masalah-masalah sosial serta membantu mereka menghadapi cabaran masa akan datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak-anak kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pemikiran. Sehinggakan ada sebahagian dari mereka sanggup mengadai prinsip kehidupan mereka.
Mimbar ingin mengingatkan sidang jemaah dan umat Islam sekalian bahawa kegelojohan nafsu syahwat diperingkat remaja sangat kuat. Jika punca dan tempat yang menaikkan nafsu tidak ditutup dan kelemahan iman serta kedangkalan akal menjadi sifat mereka, maka selagi itulah anak-anak kita terdedah kepada gejala keruntuhan akhlak dan menghancurkan kehidupan. Kehendak nafsu yang berunsur syahwat sentiasa mencabar setiap peringkat kehidupan, ia boleh menjejaskaan kualiti akhlak manusia setaraf dengan binatang. Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengingatkan sabdanya,
Mafhumnya: “ Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati”(Riwayat : al-Hakim dan Ibnu Majah).

Ingatlah bahawa memelihara anggota keluarga dari ancaman neraka tidak bererti kita hanya bersikap pasif dengan hanya mencegah mereka daripada berbagai perbuatan maksiat. Tetapi kita juga mesti bersikap aktif dalam mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka agar pembentukan ini berperanan sebagai kubu dan daya tahan yang dapat menepis dan menapis pengaruh persekitaran yang penuh mencabar. Ingatlah pepatah orang melayu ’ ampuh bak ikan di laut walaupun sepanjang hayat badannya tetap tidak masin’. Peranan ibu-bapa bukan sahaja menjadi “Tuan” di rumah, tetapi mereka adalah pengurus, pembimbing dan pengasuh. Tanggungjawab ibu-bapa bukan hanya memberi arahan, tetapi perlu menonton, membimbing, mengasuh dan menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani.Barulah pendidikan kita akan memberikan kesan untuk mencapai matlamat pembentukan nilai murni serta prinsip yang kukuh dalam diri anak-anak.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, Bersempena dengan Sambutan Hari kanak kanak Sedunia pada hari ini, yang bertemakan: KARISMA KANAK-KANAK; SERLAHKAN POTENSI DIRIMU, maka mimbar menyeru marilah kita bersama-sama menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam yang di dokongi oleh ibu bapa. Isilah masa kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manafaat kepada diri mereka. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa anugerah ilahi ini merupakan sebahagian daripada amanah daripada Allah SWT yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72:
Bermaksud: “ Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.”

ayat 6


Friday, April 20, 2012

BENCANA ALAM KEWAJIPAN BERMUHASABAH


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“ BENCANA ALAM KEWAJIPAN BERMUHASABAH ”
 (20 APRIL 2012 / 26 JAMADILAWWAL 1433H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita berjaya di dunia dan di akhirat. Sempena dengan sambutan Hari Bumi pada 22 April ini, maka mimbar Jumaat hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “Bencana Alam Kewajipan Bermuhasabah”.
Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah,
Pada ketika ini kita sering dikejutkan dengan peristiwa bencana alam seperti gempa bumi,  tsunami, banjir besar, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau dan lain lain lagi. Peristiwa sebegini sebenarnya merupakan peringatan daripada Allah SWT kepada makhluknya agar bermuhasabah tentang diri masing-masing. Dalam al-Quran Allah SWT menceritakan banyak tamadun umat manusia  dimusnahkan oleh Allah SWT melalui bencana alam, antaranya kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi  Luth dimusnahkan dengan gempa bumi dan kaum 'Aad dimusnahkan dengan ribut taufan tujuh hari tujuh malam. Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum-kaum tersebut adalah kerana hukuman Allah SWT atas kekufuran dan kemungkaran mereka. Firman  Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 40:
Maksudnya: “Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri."

Peringatan ayat Allah SWT tersebut hendaknya menjadi pengajaran bagi kita bahawa akibat daripada kekufuran dan perbuatan maksiat yang dilakukan, akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah SWT. Ketahuilah bahawa setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai tiga pengajaran yang berbeza. Pertama: Bagi mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain merupakan peringatan bentuk kasih sayang dari Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya. Kedua: Bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa merupakan azab dan siksa dari Allah di alam ini yang disebabkan oleh kekufuran dan kedurhakaan terhadap perintah Allah dan rasul-Nya. Ketiga: Dengan bencana juga, Allah SWT hendak menunjukkan kepada manusia antara orang yang benar keimanannya dan mana yang tidak beriman.
Perlu difahami bahawa bencana alam juga boleh berlaku disebabkan daripada kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta tergugat . Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41:
Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

          Ayat ini menyatakan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah dan menghargai kepada alam semesta. Tindakan-tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan. Malangnya berdasarkan kepada pemerhatian mimbar, ada sesetengah pihak melihatnya sebagai satu kebijaksanaan melalui penggunaan teknologi moden dan kretiviti akal manusia sedangkan ianya merupakan satu kebodohan yang boleh menyumbang kepada bencana dan kemusnahan  alam. Ini kerana  hubung kait antara manusia dengan alam sangat rapat sekali kerana ianya saling perlu memerlukan.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Alam yang diciptakan oleh Allah SWT sebenarnya adalah untuk memberi manfaat dan bagi kemudahan manusia dan semua makhluk ciptaan Allah. Bagaimanapun, disebalik setiap kejadian mengandungi pelbagai rahsia dan hikmah yang perla dihayati oleh manusia sebagai peringatan yang berguna. Oleh itu, sebagai seorang Islam kita dituntut untuk berfikir dan mencari jawapan disebalik rahsia alam yang terbentang luas ini. Justeru, di dalam al-Quran banyak ungkapan ayat-ayat yang menyeru manusia supaya memerhati, merenung dan memikirkan mengenai kejadian dan fenomena di sekeliling alam ini sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 101:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikanlah dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah),dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.”

Muslimin Yang Dimuliakan Allah,
Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengurus dan mengurangkan kesan bencana alam perlu dilakukan. Di negara kita, Jabatan Alam Sekitar adalah agensi  kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar. Fungsi utamanya adalah untuk mencegah, menghapus, mengawal dan membaiki alam sekeliling agar senantiasa terpelihara melalui penguatkuasaan dan program kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat. Namun segala usaha tersebut perlulah diperkukuhkan melalui sokongan dan kerjasama padu semua pihak.
Mimbar ingin mengingatkan bahawa menjadi kewajipan semua pihak memastikan bumi yang kita duduki ini terus selamat. Sebarang rancangan pembangunan dan kegiatan sosio ekonomi masyarakat mestilah tidak merosakkan ekologi alam sekitar. Elakkanlah daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah yang tidak terkawal. Berusahalah untuk  menghindari diri dan tempat tinggal dari sebarang bencana dengan menunai segala perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya, kerana sesungguhnya bencana adalah sebahagian daripada balasan dan ujian dari Allah SWT.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita bersama bersatu hati dibawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan demi agama, bangsa dan negara. Mimbar yakin jika semua manusia kembali kepada matlamat kehidupan yang sebenar maka bumi yang kita diami ini akan kembali aman dan tenang serta tiada lagi kegelisahan, ketakutan dan kebimbangan. Marilah sama-sama kita mengurus bumi Allah SWT ini dengan rasa bertanggungjawab, beramanah, jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara. Ingatlah anugerah Allah SWT  ini akan menjadi rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama juga boleh menjadi bala bencana serta azab yang tersiksa. Dengan itu seharusnya umat Islam mengambil manfaat dan menambahkan ketakwaan atas kebesaran kejadian Allah ini.  Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalah surah al-Araf ayat 97-98:
Maksudnya: “Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?”.
ayat 6

Translate

Muhasabah Diri Sebelum Tidur

"Sabda Rasulullah :"Barangsiapa memaafkan kesalahan saudaranya yang Islam, Allah akan mengampuni dosa-dosanya pada hari Kiamat..."
(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

بِاسْمِكَ اللّهُمَّ أَحْيَاوَأَمُوتُ
Bismikallahumah Ahya Wa'amut...