Pages

"Wahai Tuhan kami, anugerahkan kepada kami pasangan-pasangan dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam / ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. Ya Allah.... Jadikanlah pasangan kami... Pembantu kami dalam melakukan ketaatan kepada-Mu... Kekalkanlah kasih sayang kami hingga ke syurga-Mu... Tunjukilah kami jalan keluar .... Terhadap masalah-masalah yang kami hadapi ....

Hanya kepadaMu tempat kami mengadu ... Engkau Maha Berkuasa membuka hati-hati manusia... Jadikanlah anak-anak kami zuriat yang soleh... Lembutkanlah hati-hati mereka ... Masukkanlah Nuur HidayahMu ke dalam hati mereka... Ya Allah , Ampunilah dosa kami di atas kelalaian kami dalam mendidik mereka mengenali-Mu... Jauhkanlah mereka daripada pengaruh-pengaruh... Yang merosakkan akhlak dan aqidah mereka... Jauhkanlah mereka daripada kawan-kawan yang jahat ... Kurniakanlah kami kekuatan untuk terus menasihati dan mendoakan mereka ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa menunaikan solat ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa ringan melakukan ketaatan kepada-Mu ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa mendoakan kami ketika kami berada di dalam kubur...."

aurat

aurat

Monday, June 25, 2012

Akibat campur tangan keluarga


CAMPUR tangan keluarga juga adalah antara sebab ramai pasangan bercerai hari ini. Ini kerana pasangan hari ini telah berkenalan dahulu baru bertanya dan berkenalan dengan keluarga masing-masing.
Dalam keasyikan melayan cinta, pasangan terlupa bahawa perkahwinan memerlukan persetujuan dan restu ibu bapa. Apabila calon isteri atau suami tidak dipersetujui oleh salah satu atau kedua-dua ibu bapa, pasangan akan menghadapi pelbagai rintangan.
Ada yang tidak dapat bertahan lama kerana sikap keluarga yang tidak henti-henti mengganggu sehingga membawa kepada perceraian. Campur tangan keluarga bukan sekadar ibu bapa/ibu bapa mentua tetapi adik-beradik dan ipar-duai.
Ada banyak bentuk campur tangan keluarga, antaranya ibu kepada suami yang sering mengarahkan suami dengan pelbagai arahan dan suami pula mengikut arahan tanpa berbincang dengan isteri.
Apa yang jelas, suami yang sangat rapat dengan ibunya sebelum berkahwin belum dapat mengimbangkan hubungannya dengan ibu dan isterinya. Dia juga tidak dapat memahami tanggungjawabnya pada isteri. Sebagai ketua rumah tangga dia mesti berbincang dengan isteri bagaimana boleh terus membantu keluarganya sendiri dan pada masa sama, tidak membuat isteri merasa terabai atau dihargai.
Pasangan mesti boleh duduk semeja membincangkan kedudukan kewangan kerana jika suami berbuat sesuatu tanpa berbincang, ia kemungkinan besar melibatkan kewangan keluarga.
Misalnya, ibu menghubungi anaknya dan memaklumkan dia akan buat kenduri arwah pada hujung minggu pertama bulan Jun. Isteri pula telah menjemput kawan-kawan ke rumah kerana ingin menyambut hari ulang tahun perkahwinan mereka. Dia juga telah mencadangkan kepada suami untuk menjemput kedua-dua ibu bapa mereka.
Suami apabila mendapat maklum yang ibu bapa bercadang membuat kenduri, terus bersetuju tanpa memberitahu ibu yang dia juga akan mengadakan kenduri pada hari itu.
Bayangkan rasa hati isteri yang terpaksa membatalkan semua jemputan yang telah dibuat beberapa minggu sebelumnya. Nampak seperti tidak munasabah tetapi ia berlaku.
Satu lagi contoh, isteri meminta suami membelikannya dapur baru atau membaik pulih dapur rumah mereka. Suami mengatakan dia tidak ada duit. Namun, apabila ibunya tiba-tiba datang dan meminta bantuan serupa, suami terus bersetuju dan memberi wang kepada ibunya. Semua ini akan menyebabkan isteri merasa kecewa dengan sikap sedemikian suami.
Iri hati
Ada juga pasangan yang terpaksa berhadapan dengan adik-beradik pasangan mereka. Ada adik-beradik berasa iri hati apabila seorang menantu perempuan mendapat perhatian penuh daripada mentuanya. Ini kerana sikap ibu mertua yang suka memuji menantu kesayangan di hadapan menantu lain.
Tidak dapat dinafikan sebagai manusia, ibu juga tidak terlepas daripada kesilapan seperti bersikap pilih kasih sesama anaknya. Setiap anak adalah istimewa dan mempunyai kelebihannya masing-masing. Jadi jika sudah biasa memberi tumpuan hanya pada anak tertentu, ibu juga apabila menjadi mentua kadang-kadang memberi perhatian lebih kepada menantu tertentu dan cuba mencari salah menantu lain.
Ini akan merenggangkan hubungan kekeluargaan kerana menantu yang tidak mendapat tempat di hati mentua akan merasa kecewa dan akan memberi pelbagai alasan untuk tidak pulang ke rumah mentua. Akhirnya, bertengkar bila isu balik kampung dibincangkan.
Menantu juga secara tidak langsung akan menceritakan ketidakselesaannya kepada anak-anaknya yang menyebabkan anak-anak juga tidak menghormati nenek mereka dan akhirnya tidak mahu pulang ke kampung ayahnya. Ada pasangan yang hidup berumahtangga bertahun lama dan tidak bercerai tetapi hubungan dengan keluarga pasangan tidak dapat dijalin dengan baik.
Anak-anak juga akan dapat mengesan masalah kekeluargaan yang dihadapi ibu bapa mereka dan ini akan menimbulkan kesan dalam hidup mereka juga. Sebenarnya campur tangan keluarga dalam rumah tangga boleh dielakan jika semua orang dapat memahami hak dan tanggungjawab masing-masing serta menghormati hubungan ibu-anak, suami-isteri, cucu-nenek dan sebagainya.
Malangnya dalam kursus perkahwinan perkara seperti ini tidak disebutkan atau dibincangkan. Sebagai ibu bapa yang menjadi mentua, mereka perlu tahu tahap dan hak campur tangan mereka terhadap anak mereka dan pasangannya. Ada pasangan yang tinggal sebumbung dengan ibu bapa salah seorang daripada mereka dan tidak pula mereka bercerai-berai. Ini kerana mereka tahu tahap dan had pergaulan dalam sebuah rumah tangga.
Sebab itu ada pepatah Melayu pukul anak sindir menantu menunjukkan sikap orang Melayu yang tidak suka berterus terang tetapi lebih suka menyindir dan ini menyebabkan ketidakselesaan. Sebagai ibu (terutamanya) jangan sekali-kali menceritakan keburukan menantu (isteri/suami) kepada anak. Carilah hanya kebaikan menantu dan bukan kelemahannya.
Bagi menantu pula, baik lelaki atau perempuan, terimalah mentua seadanya tanpa perlu mengadu kepada suami atau isteri tentang layanan yang diberikan. Kita semua dibesarkan dengan cara ibu bapa kita sendiri dan kita mesti reda bahawa Allah SWT telah menjadikan manusia berbeza dan di atas perbezaan itu kita jatuh cinta dan berkahwin.
Perkara remeh temeh seperti pujian atau sindirian tidak perlu difikirkan dan hanya melihat keseronokan suami/isteri berada di samping keluarganya. Begitu juga apabila ada anak. Sentiasa menggalakkan anak menghormati dan menyayangi nenek dan datuk kedua pihak dan memastikan anak-anak tidak dipengaruhi perasaan kita sendiri terhadap ibu bapa atau mertua.
Sebagai isteri, jangan tanya apa yang suami kita bualkan dengan ibu bapanya kerana itu adalah hubungan mereka yang telah terjalin sejak suami anda dilahirkan. Selalu ingatkan suami tanggungjawabnya terhadap ibu bapanya. Suami pula, janganlah melarang isteri melawat ibu bapanya dan menjaga mereka seperti sebelum dia berkahwin. Jika isteri terlepas pandang akan tanggungjawabnya kepada suami dan anak-anak, ingatkan dia.
Jangan bersikap kasar terhadap mentua, kerana mereka seperti ibu bapa anda juga. Pasangan suami isteri mesti selalu menjaga mulut supaya tidak terlepas cakap terutama melibatkan keturunan pasangan masing-masing seperti, "Hah ini memang perangai emak awak." atau "Adik-beradik awak memang kurang ajar." atau "Emak awak macam tulah." Ini kerana akan menyakitkan hati pasangan kerana ia melibatkan keturunan dan cara pasangan kita dibesarkan.
Hidup berumahtangga sangat memerlukan timbang rasa dan tolak ansur serta hormat menghormati.

No comments:

Post a Comment

Translate

Muhasabah Diri Sebelum Tidur

"Sabda Rasulullah :"Barangsiapa memaafkan kesalahan saudaranya yang Islam, Allah akan mengampuni dosa-dosanya pada hari Kiamat..."
(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

بِاسْمِكَ اللّهُمَّ أَحْيَاوَأَمُوتُ
Bismikallahumah Ahya Wa'amut...