Q&A Tentang Hukum Hudud oleh Ustaz Fathul Bari
Soalan :
1. Ada pihak yang mahu laksanakan hudud, manakala ada pihak lain sebaliknya?
2. Benarkah rejam tidak termasuk dalam hukuman hudud?
Pertama sekali apabila kita membicarakan tentang hudud, ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan.
Apakah itu hukum hudud atau hukum-hukum Allah?
Yang tergambar dan digembar-gemburkan dalam fikiran kebanyakan kita ialah potong tangan. Hudud itu rejam orang sampai mati (bagi pelaku zina yang sudah berkahwin), hukum bunuh pancung, hukum sebat dan rotan, salibkan bagi peritiwa hirabah yakni samun dan rompak. Setakat itu yang digambarkan tentang hudud. Kita tidak bercerita dan memberikan kefahaman yang benar kepada masyarakat tentang hudud. Lebih-lebih lagi kepada non-Muslim.
Para ulama memberikan definisi hudud : “Hukuman yang telah ditentukan (jumlah bilangan dan kaedah perlaksanaan) di sisi syara’ dilaksanakan terhadap sesuatu maksiat yang dilakukan, yang melibatkan hak Allah.”
Di sana ada hak Allah dan ada hak manusia. Hak manusia ini yang membezakan antara hukuman hudud dan hukuman qishas. Qishas ialah hukuman balas, sebagai contoh kesalahan mencederakan seseorang menjadi buta akan dikenakan hukuman balas yang sama dengan membutakan mata pelaku kesalahan.
Manakalan hukum hudud adalah hak Allah. Sekali imbas seperti tiada apa-apa kaitan antara mencuri dan hak Allah. Bahkan kalau diikutkan jika boleh barang curian itu dikembalikan, mungkin itu dirasakan lebih baik. Namun begitu, di sisi Islam hukuman had tetap perlu dilaksanakan. Hukuman had tidak boleh dimaafkan. Hal ini berlaku hanya apabila ia dilaporkan kepada pemerintah.
Ini bertepatan dengan apa yang Nabi katakan, “Allah melaknat oleh yang memberi ampun dan meminta ampun (bagi kesalahan hudud)”.(Imam Malik dalam Muwathha, kitab Hudud)
Secara umumnya hukuman hudud ini bertujuan untuk menjaga 5 perkara asas(dharuriyayul khams)yang termasuk di dalamnya menjaga agama, nyawa, harta, keturunan dan akal.
Contohnya:
(1) hukuman mencuri bertujuan untuk menjaga harta.
(2) hukuman zina pula dikenakan untuk menjaga nasab dan keturunan.
(3) al-hirabah (rompakan) bertujuan untuk menjaga harta.
Mungkin ada dikalangan kita merasakan ada hukuman Islam zahirnya kelihatan kejam. Sebagai orang Islam, perasaan ini tidak boleh muncul dalam hati kita walaupun sedikit. Haram hukumnya ada di dalam hati umat Islam, merasakan hukum Islam itu kejam.
Pernahkah kita melihat peragut yang berjaya ditangkap oleh orang awam? Apakah tindakan yang dilakukan tidak sanggup dilihat. Banyak rakaman di youtube menunjukkan penjenayah ini dilayan jauh lebih teruk dari apa yang Islam tentukan.
Islam mengatur hukuman dengan cara yang terhormat. Islam mengatur hukuman untuk memberi rasa insaf kepada pesalah dan masyarakat awam yang menyaksikan hukuman.
Antara kaedah perlaksanaan hukuman hudud ialah dibacakan ayat al-Qur’an tentang hukuman, dibacakan kesalahannya di hadapan orang awam, dan setelah itu didoakan semoga Allah ampunkan kesalahan penjenayah tersebut, dan sekiranya hukuman mati dikenakan jenazahnya tetap diurus dengan cara yang terhormat. Bahkan Islam pelaku kesalahan itu tidak dibenar dicaci, dimaki.
Adakah Rejam Termasuk dalam Hukum Hudud?
Imam Bukhari Rahimahullah dalam Shahihnya:
Telah meriwayatkan kepada kami `Ali bin `Abdillah,telah meriwayatkan kepada kami Sufyan,daripada Az-Zuhri,daripada `Ubaidillah,daripada Ibnu `Abbas radiallahu`ahuma,katanya: `Umar radiallahu`anhu berkata:
"Aku takut akan dipanjangkan zaman untuk manusia, hingga akan ada yang berkata: " Kami Tidak mendapati (hukum) rejam dalam Kitab Allah, lantas mereka akan sesat disebabkan meninggalkan kewajiban yang telah Allah turunkannya, maka ketahuilah sesungguhnya rejam adalah hak ke atas sesiapa yang berzina dan dan dia seorang muhson (sudah berkahwin, janda, duda dll) jika telah tertegaknya bukti, atau mengandung atau pengakuan- Kata Sufyan ( At-Thauri): beginilah aku telah hafal- maka ketahuilah : Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam telah merejam (menegakkan hukum rejam) dan kami pun merejam selepasnya (kewafatannya)"
(HR Bukhari no:6829, Kitab Hudud, bab Pengakuan berzina, Muslim no:1691, Kitab Hudud,Bab Rejam Janda yang berzina, dan ini lafaz Imam Bukhari)
Hal ini telah dinukil secara ijma’ oleh ahli ilmu. Kecuali beberapa ilmuwan semasa yang mereka melihat agak kurang sesuai hukum rejam itu dilaksanakan ketika ini. Lantas mereka mengalihkan hukuman rejam itu dari hudud kepada ta’zir. Atas alasan masyarakat hari ini tidak punya kekuatan iman untuk melaksanakan hukuman ini dan melihat kepada suasana.
Saya berpendirian, bahawa hal ini tidak tepat. Ini kerana hukuman had adalah ketetapan dari Allah seperti dijelaskan,
“Ini adalah ketentuan hukum Allah, dan jangan kamu melanggarnya.”(Surah At-Talaq, ayat 1).
Ini adalah ketetapan kadar yang datang dari syara. Oleh sebab itu, para ulama’ ahlus sunnah terdahulu telah ijma’ tentang hal ini. Tidak ada khilaf dari kalangan mereka kecuali sebilangan yang tidak dikira kedudukan mereka.
Perlaksanaan Hukum Hudud
Berikut merupakan contoh perlaksanaan hukuman hudud di Arab Saudi.
Seorang lelaki dikenakan hukum qishas kerana membunuh seorang lelaki lain. Pada ketika mangsa dibunuh, dia meninggalkan seorang isteri yang sedang hamil. Perlaksanaan hukuman bunuh balas ditunda sehingga wanita itu melahirkan anak dan anaknya dewasa. Ini kerana pihak mahkamah mahu mendapatkan keputusan dari anak itu sama ada mahu memaafkan kesalahan bunuh itu (dengan bayaran ganti rugi : diyat) atau sebaliknya. Hal ini berlaku kerana di dalam Islam ‘kemafaan’ itu lebih didahulu dan diutamakan berbanding hukuman. Cukup mendapat kemaafan dari salah seorang ahli waris untuk menolak hukuman qishas yang dikenakan. Ini antara conoth keindahan hukuman Allah yang tidak ditampilkan kepada masyarakat.
Yang selalu digembar-gemburkan ialah hukuman potong tangan, rejam dan hukuman pancung sahaja.
Polemik Hudud
Kalau sebelum ini kita boleh mengadakan kempen tentang NKRA, KPI, Islam Hadhari, Satu Malaysia atau negara berkebajikan, maka sepatutnya juga membuat kempen untuk memberi penerangan tentang hudud.
Apa yang berlaku ialah di satu pihak sibuk hendak laksanakan. Manakala di satu pihak yang lain pula, merasakan ia masih belum sesuai. Jika tidak sesuai sepatutnya kita kemukakan apakah perkara-perkara yang perlu dilakukan. Kita tidak boleh berhenti sekadar menyatakan ’tidak sesuai’. Seharusnya kita berikan satu alternatif, seperti menubuhkan suruhanjaya atau badan tertentu yang berkecuali. Ini adalah kerana ia urusan Islam dan bukan urusan parti semata-mata. Undang-undang ini tidak akan dilaksanakan oleh parti sebaliknya melalui umat Islam itu sendiri.
Kita boleh undang pakar-pakar undang-undang Islam untuk duduk bersama berbincang, begitu juga wakil-wakil dari Negara yang sudah berpengalaman melaksanakan hudud dan juga pakar perlembagaan untuk melihat ruang-ruang dalam perlembagaan yang boleh dibaiki untuk melaksanakan hukum hudud ini.
Jika hal ini tidak berlaku, pihak yang menyatakan perlaksanaan hudud ini masih belum sesuai akan dianggap dan dituduh sebagai anti-hudud.
Di suatu pihak lain pula yang bersungguh-sungguh mahu melaksanakan hudud, apakah usaha penjelasan yang telah kalian lakukan kepada masyarakat? Dan apakah keutamaan yang paling mendesak dalam masyarakat? Dalam keadaan kelab malam masih banyak, pusat urut masih banyak beroperasi dan arak masih dijual secara terbuka dan mudah diperoleh.
Sedangkan khalifah Umar al-Khattab pernah menangguhkan hukuman potong tangan kepada pencuri pada musim kemarau. Ini menunjukkan bahawa perlaksanaan hukum diraikan mengikut suasana. Kalau suasana tidak menutup kepada pintu-pintu yang membawa kepada maksiat, maka tidak boleh dilaksanakan hukum ini. Perlu diberikan kefahaman agama dan menutup ruang-ruang menjurus kepada maksiat. Justeru itu kita melihat hukum ini banyak dilaksanakan setelah hijrah Nabi ke Madinah, setelah umat faham tentang Islam. Untuk itu, buat tempoh ketika ini penjelasan adalah perkara yang penting. Tanpa penjelasan masyarakat akan terus berkeras dengan pendirian masing-masing dan boleh mengakibatkan perpecahan.
Apabila kita berbicara tentang agama kita tidak boleh prejudis dan tidak boleh ada kecenderungan kepada parti tertentu atau kelompok tertentu. Apabila kita mengulas tentang agama kita, maka kita bercakap kerana agama kita. Tidak ada alasan lagi untuk kita berpolitik dalam isu-isu sebegini. Ini adalah hukum Allah swt.
Sesi soal jawab Kuliah Ringkasan Sahih Bukhari 29 September 2011 di Yayasan Ta’lim.
Disalin secara bebas dari rakaman : http://www.youtube.com/watch?v=jfVP-25Xcfs
Diedit oleh : Abu Abdillah Riduan Khairi, Biro Penerbitan dan Multimedia iLMU
Pages
"Wahai Tuhan kami, anugerahkan kepada kami pasangan-pasangan dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam / ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. Ya Allah.... Jadikanlah pasangan kami... Pembantu kami dalam melakukan ketaatan kepada-Mu... Kekalkanlah kasih sayang kami hingga ke syurga-Mu... Tunjukilah kami jalan keluar .... Terhadap masalah-masalah yang kami hadapi ....
Hanya kepadaMu tempat kami mengadu ... Engkau Maha Berkuasa membuka hati-hati manusia... Jadikanlah anak-anak kami zuriat yang soleh... Lembutkanlah hati-hati mereka ... Masukkanlah Nuur HidayahMu ke dalam hati mereka... Ya Allah , Ampunilah dosa kami di atas kelalaian kami dalam mendidik mereka mengenali-Mu... Jauhkanlah mereka daripada pengaruh-pengaruh... Yang merosakkan akhlak dan aqidah mereka... Jauhkanlah mereka daripada kawan-kawan yang jahat ... Kurniakanlah kami kekuatan untuk terus menasihati dan mendoakan mereka ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa menunaikan solat ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa ringan melakukan ketaatan kepada-Mu ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa mendoakan kami ketika kami berada di dalam kubur...."aurat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Translate
Muhasabah Diri Sebelum Tidur
"Sabda Rasulullah :"Barangsiapa memaafkan kesalahan saudaranya yang Islam, Allah akan mengampuni dosa-dosanya pada hari Kiamat..."
(Hadis Riwayat Ibn Hibban)
بِاسْمِكَ اللّهُمَّ أَحْيَاوَأَمُوتُ
Bismikallahumah Ahya Wa'amut...
"Sabda Rasulullah :"Barangsiapa memaafkan kesalahan saudaranya yang Islam, Allah akan mengampuni dosa-dosanya pada hari Kiamat..."
(Hadis Riwayat Ibn Hibban)
بِاسْمِكَ اللّهُمَّ أَحْيَاوَأَمُوتُ
Bismikallahumah Ahya Wa'amut...
No comments:
Post a Comment