Pages

"Wahai Tuhan kami, anugerahkan kepada kami pasangan-pasangan dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam / ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. Ya Allah.... Jadikanlah pasangan kami... Pembantu kami dalam melakukan ketaatan kepada-Mu... Kekalkanlah kasih sayang kami hingga ke syurga-Mu... Tunjukilah kami jalan keluar .... Terhadap masalah-masalah yang kami hadapi ....

Hanya kepadaMu tempat kami mengadu ... Engkau Maha Berkuasa membuka hati-hati manusia... Jadikanlah anak-anak kami zuriat yang soleh... Lembutkanlah hati-hati mereka ... Masukkanlah Nuur HidayahMu ke dalam hati mereka... Ya Allah , Ampunilah dosa kami di atas kelalaian kami dalam mendidik mereka mengenali-Mu... Jauhkanlah mereka daripada pengaruh-pengaruh... Yang merosakkan akhlak dan aqidah mereka... Jauhkanlah mereka daripada kawan-kawan yang jahat ... Kurniakanlah kami kekuatan untuk terus menasihati dan mendoakan mereka ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa menunaikan solat ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa ringan melakukan ketaatan kepada-Mu ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa mendoakan kami ketika kami berada di dalam kubur...."

aurat

aurat

Saturday, February 2, 2013

Tafsir Qur'an Karim : Rukun Islam, Hukum Dan Syari'at.

RUKUN ISLAM (Syariat / Perintah Allah).

Agama Islam didirikan di atas LIMA (5) perkara:

1) Mengakui bahawa tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan mengakui Nabi Muhammad sebagai utusan Allah.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"Maka ketahuilah (ya Muhammad), bahawa sesunguhnya tidak ada Tuhan, melainkan Allah dan minta ampunlah (kepada-Nya) untuk dosa engkau danuntuk (dosa) orang-orang beriman lelaki dan orang-orang beriman perempuan. Allah mengetahui tempat bolak balikmu (mencari penghidupan) dan tempat diammu." (Muhammad 47:19)

"Laa ilaaha illa-laah." Inilah asas yg utama (akidah) bagi agama Islam iaitu i'tiqad (keyakinan) bahawa yang disembah ialah Allah yang Esa, tidak pada selain-Nya sama ada makhluk yang hidup atau makhluk yang mati. Asas kedua ialah "Muhammadur Rasulullah."

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar." (Al-Fath 48:29)

Dan setiap orang kafir yang mahu memeluk agama Islam haruslah melafazkan dengan Qalbi (di dalam hati) dan Qauli (sebutan dengan lidah) dan mengakui dengan keyakinan bahawa "Tiada Tuhan Selain Allah, Muhammad utusan Allah - Laa ilaaha illa-laah, Muhammadur Rasulullah."


2) Mengerjakan Sembahyang (kecuali perempuan haidh, orang gila dan anak kecil).

Orang-orang Yahudi mengatakan bahawa merekalah yang benar dan akan masuk syurga. Orang-orang Nasrani (Kristian) mengatakan pula bahawa merekalah yang benar dan akan masuk syurga. Lalu Allah menegaskan bahawa yang benar dan akan masuk syurga ialah orang-orang yang tunduk dan patuh mengikut perintah Allah. Merekalah yang mendapat pahala di sisi Tuhannya tanpa ketakutan dan kedukaan.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"[109] Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [110] Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan. [111] Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar"." (Al-Baqarah 2:109-111)


3) Mengeluarkan Zakat.

Terdapat DUA (2) jenis zakat yang telah di tetapkan oleh syarak:

a. Zakat Fitrah : Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Zakat Fitrah hanya dikeluarkan pada bermula awal Ramadhan hingga sebelum terbenam matahari 1 syawal ( Catatan : Waktu Makruh- Selepas solat sunat hari raya hingga terbenam matahari).

b. Zakat Harta : Jenis-jenis harta dikenakan zakat adalah seperti Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Binatang Ternakan, Zakat Pertanian, Zakat Wang Simpanan, Zakat Emas & Perak, Zakat Saham, Zakat Ma'adin, Kunuz dan Rikaz.


4) Puasa di bulan Ramadhan (tidak diwajibkan bagi musafir, orang sakit, dan perempuan haidh - tetapi wajib qada' .

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"[183] Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. [184] (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. [185] (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [186] Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." (Al-Baqarah 2:183-186)

Puasa itu ialah menahan nafsu daripada makan, minum, bersetubuh dengan perempuan (isteri) pada siang hari di bulan Ramadhan bermula dari terbit fajar shadiq hinggalah terbenam matahari. Hikmahnya ialah untuk mendidik rohani dan budi pekerti. Orang yang mampu menahan nafsunya kerana semata-mata mengikut perintah Allah, nescaya akan terdidik mengingat Allah tiap-tiap waktu, serta malu kepada-Nya sekiranya melakukan dosa. Oleh sebab itu ia tiada suka memakan hak orang dengan jalan menipu atau rasuah, meskipun amat tersembunyi. Sedangkan memakan yang halal kepunyaan diri sendiri dalam puasa pun ia dapat menahan nafsunya, apatah lagi mahu memakan yang haram, hak orang lain atau melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah (maksiat).

Selain itu, hikmah berpuasa itu ialah bagi mengingati orang-orang faqir dan miskin yang hidup mereka sentiasa dalam kelaparan. Maka, hal ini akan mendidik kita agar lembut hati serta mensyukuri segala nikmat (kesenangan) yang Allah berikan kepada kita selain kita digalakkan utk menderma (shadaqah) kepada mereka (faqir miskin).

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Al-Baqarah 2:195)


5. Menunaikan Haji di Makkah (Baitullah / Kaabah) bagi yang mampu.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya)." (Al-Baqarah 2:196)

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"[197] (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). [198] Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,'talbiah' dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya. [199] Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [200] Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia". (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. [201] Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka." [202] Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya." (Al-Baqarah 2:197-202)

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"[203] Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya. [204] Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). [205]
Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan."
 (Al-Baqarah 2:203-205)


BERKENAAN HUKUM

Di dalam al-Qur'an al-Karim terdapat beberapa suruhan atau perintah dan beberapa larangan. Suruhan itu ada DUA (2):

1) WAJIB - Setiap umat Islam mesti mengerjakannya, berpahala menjalankannya dan berdosa meninggalkannya, contoh; solat lima waktu, puasa Ramadhan, zakat fitrah dan lain-lain hukum yang ditetapkan oleh syariat.

2) SUNAT - Beroleh palaha mengerjakannya dan tidak berdosa jika meninggalkannya, seperti solat-solat sunat, puasa-puasa sunat, derma dan sebagainya.

Larangan itu ada DUA (2):

1) HARAM - Berdosa melakukannya dan mendapat pahala apabila meninggalkannya, seperti berzina, menipu, mencuri dan sebagainya.

2) MAKRUH - Beroleh pahala meninggalkannya dan tidak berdosa apabila melakukannya, namun perbuatan ini adalah perbuatan yang tidak disukai Allah dan Rasulnya, seperti masuk ke rumah orang tanpa memberi salam dan sebagainya.

Selain itu terdapat SATU (1) lagi hukum iaitu:

HARUS (Halal/Boleh) - Melakukannya dibenarkan dan meninggalkannya juga dibenarkan, tidak berpahala dan tidak berdosa.

No comments:

Post a Comment

Translate

Muhasabah Diri Sebelum Tidur

"Sabda Rasulullah :"Barangsiapa memaafkan kesalahan saudaranya yang Islam, Allah akan mengampuni dosa-dosanya pada hari Kiamat..."
(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

بِاسْمِكَ اللّهُمَّ أَحْيَاوَأَمُوتُ
Bismikallahumah Ahya Wa'amut...