Pages

"Wahai Tuhan kami, anugerahkan kepada kami pasangan-pasangan dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam / ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. Ya Allah.... Jadikanlah pasangan kami... Pembantu kami dalam melakukan ketaatan kepada-Mu... Kekalkanlah kasih sayang kami hingga ke syurga-Mu... Tunjukilah kami jalan keluar .... Terhadap masalah-masalah yang kami hadapi ....

Hanya kepadaMu tempat kami mengadu ... Engkau Maha Berkuasa membuka hati-hati manusia... Jadikanlah anak-anak kami zuriat yang soleh... Lembutkanlah hati-hati mereka ... Masukkanlah Nuur HidayahMu ke dalam hati mereka... Ya Allah , Ampunilah dosa kami di atas kelalaian kami dalam mendidik mereka mengenali-Mu... Jauhkanlah mereka daripada pengaruh-pengaruh... Yang merosakkan akhlak dan aqidah mereka... Jauhkanlah mereka daripada kawan-kawan yang jahat ... Kurniakanlah kami kekuatan untuk terus menasihati dan mendoakan mereka ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa menunaikan solat ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa ringan melakukan ketaatan kepada-Mu ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa mendoakan kami ketika kami berada di dalam kubur...."

aurat

aurat

Friday, August 10, 2012

Himpunan Hadis Ramadhan... (bhg. 2)

11. Banyakkan Amalam Dihari Yang Kesepuluh Terakhir Ramadhan.

Daripada Aisyah r.a. katanya:

“Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang kesepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya) Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian :
Islam menuntut umatnya yang berpuasa agar berusaha untuk menambahkan amal ibadat mereka apabila masuk hari yang kedua puluh satu Ramadhan sehingga akhir, kerana di malam-malam tersebut akan berlaku Lailatul Qadar.

Oleh itu adalah sangat digalakkan untuk kita memperbanyakkan amal ibadat beriktikaf di dalam masjid melakukan sembahyang-sembahyang sunat seperti sunat taubat, sunat tahajjud, sunat tasbih, sunat hajat dan sebagainya selain daripada sunat tarawikh, membaca al-Quran dan berzikir.

Bagi para suami, inilah saatnya merebut peluang beribadah bersama keluarga dengan mengajak isteri mereka bangun beribadat bersama-sama. Mudah-mudahan rumahtangga yang dibina sentisa aman dan mendapat rahmat daripada Allah SWT.


12. Ramadhan Dibuka Pintu syurga Dan Ditutup Pintu Neraka.

Abu Hurairah r.a. berkata, RasulullahSAW bersabda:

“Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian:
Kelebihan bulan Ramadhan ialah meluasnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan pada masa yang sama Allah SWT menutup pintu neraka dan merantai segala syaitan yang berkeliaran.

Umat Islam yang berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengamalkan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang ditegah serta tidak berpuasa melainkan kerana iman dan tidak kerana riya' (agar dilihat orang), sum'ah (agar didengar orang), ikut-ikutan, maka baginya keuntungan dan pahala yang berlipat ganda banyaknya bahkan syaitan sedikitpun tidak diberi kesempatan untuk menggoda atau menghasut mereka.

Bagi orang yang berpuasa tetapi masih bergelumang dengan dosa bermakna bahawa puasanya sama sekali tidak bermanfaat baginya. Yang diperolehinya hanyalah lapar dan dahaga dan Allah SWT tidak akan menerima amalannya.


13. Tatatertib Wanita Di Dalam Masjid.

Yahya bin Qaza’ah menyampaikan kepada kami, daripada Ibrahim bin Said, daripada az-Zuhri, daripada Hind binti Harith daripada Ummu Salamah katanya :

Apabila rasulullahSAW memberi salam, wanita-wanita bangun ketika selesai salam baginda dan baginda duduk sekejap pada tempatnya sebelum baginda bangun."

Katanya: Kami berpendapat wallahu a’lam, itu adalah bertujuan supaya wanita-wanita beredar lebih dahulu daripada lelaki.”

(Riwayat al-Bukhari)

Huraian:
Sebarang perkara yang mendatangkan fitnah, hendaklah dielakkan apalagi dalam mengerjakan ibadat solat sedangkan solat itu bertujuan mencegah kekejian dan kemungkaran. Oleh itu bagi wanita yang mengerjakan solat di masjid seboleh-bolehnya mengelak daripada sebarang fitnah yang berpunca daripada berbagai perkara seperti bertabarruj (berdandan atau bersolek), ikhtilath (bercampurnya antara lelaki dan perempuan), memakai wangi-wangian dan lain-lain. Maka apabila selesai mengerjakan solat cepat-cepatlah pulang ke rumah dan jangan sekali-kali mendedahkan diri pada pandangan lelaki yang bukan mahram sebagaimana yang dimaksudkan di dalam hadis di atas.


14. Allah Mengampuni Dosa Orang Yang Berpuasa.

RasulullahSAW bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan kepada Allah, maka sesungguhnya telah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian:
Puasa mencakupi pembatasan seluruh anggota tubuh bahkan hati dan pikiran daripada melakukan segala macam dosa. Imam Al-Ghazali berkata, "Betapa banyak orang berpuasa yang sebenarnya berbuka, dan yang berbuka padahal berpuasa.”

Yang berbuka tetapi sebenarnya berpuasa adalah yang makan dan minum, tetapi menjaga seluruh anggota tubuhnya dari perbuatan dosa. Dan yang berpuasa tetapi sebenarnya berbuka adalah yang lapar dan haus, tetapi tercemar anggota tubuhnya dengan perbuatan dosa.

iSesungguhnya iman dan nafsu yang jahat tidak mungkin boleh bersama kerana mustahil orang yang kuat imannya disertai oleh nafsu yang liar. Begitu juga tidak akan berlaku orang yang bernafsu liar mendakwa imannya kuat. Maka bulan Ramadhan merupakan peluang bagi umat Islam menundukkan nafsunya kerana peningkatan iman tidak akan berlaku sekiranya nafsu gagal dijinakkan. Sedangkan seseorang itu hanya akan mencapai tahap jihad yang paling tinggi apabila terlebih dahulu berjaya mengekang dan menjinakkan nafsu dalam dirinya.

‘Dengan penuh keimanan’ sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis di atas bermaksud yakin dengan janji-janji Allah SWT dan melaksanakan perintah-perintah Allah dengan penuh keikhlasan iaitu mencari keredhaan daripada Allah semata-mata, bukan berpuasa sekadar ikut-ikutan dengan tujuan untuk berbangga-bangga (riya&rsquo , mendapatkan pujian atau habuan dunia.


15. Puasa Orang Yang Musafir.

Dari Hamzah bin Umar al-Islami, r.a. bahawa ia pernah bertanya Rasulullah SAW, katanya:

“Ya Rasulullah, rasanya saya tahan berpuasa dalam masa musafir, oleh itu adakah saya bersalah (kalau saya berpuasa)?”

Rasulullah SAW menjawab:

“Itu adalah satu rukhsah kemudahan) dari Allah Ta’ala, sesiapa yang menggunakan kemudahan itu (ia tidak berpuasa dalam masa musafir), maka itu adalah baik, dan sesiapa yang memilih untuk berpuasa maka orang itu tidak dikira bersalah.”

(Riwayat Muslim)

Huraian:
Orang yang sedang musafir dalam bulan Ramadhan, dibenarkan meneruskan puasa dan yang tidak tahan berpuasa mereka dibenarkan berbuka tetapi diwajibkan mengqadha’nya pada masa yang lain.

Islam adalah agama yang mementingkan kebajikan penganutnya. Ia memberi kemudahan (rukhsah) kepada sesiapa yang sedang sakit atau di dalam perjalanan (musafir), tidak berkemampuan dan sebagainya. Sama sekali tidak terdapat paksaan hingga mendatangkan kemudaratan. Oleh itu kita disuruh agar mengerjakan suruhan Allah dengan penuh keikhlasan, keyakinan dan ketaatan bahawa setiap segala perintah Allah itu mengandungi kebaikan dan hikmah yang tersendiri sama ada yang diketahui atau tidak oleh manusia.


16. Kewajipan Membayar Zakat.

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya:

“Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedakah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”

(Riwayat Abu Daud)

Huraian:
Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang-orang Islam. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada fakir miskin bagi membersihkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadhan.

Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum dan sebagainya atau di Malaysia, kadar bayarannya bersamaan dengan tiga cupak sukatan beras atau tiga kati dua belas tahil (dua Kilo 250 gram).

Pembayaran fitrah dengan menggunakan wang ringgit pula hendaklah dilafazkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini, kerana Allah.” (mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah).

Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadhan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.


17. Puasa Sunat, Sembahyang Sunat, Dibulan Yang Dimuliakan.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, RasulullahSAW bersabda:

“Puasa yang lebih utama selepas Ramadhan ialah puasa di dalam bulan Allah yang dimuliakan iaitu bulan Muharram. Manakala sembahyang sunat yang afdhal selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat di waktu malam (terutama di malam bulan Ramadhan)”

(Riwayat Muslim)

Huraian:
Puasa sunat yang sangat dituntut kepada umat Islam mengerjakannya selepas daripada puasa fardhu (Ramadhan) ialah puasa pada bulan Muharram, sama ada di awal, di tengah atau di akhir bulan.

Islam menganjurkan kepada semua umatnya agar memperbanyakkan ibadat sunat termasuk solat sunat di mana sembahyang sunat yang paling mulia dan banyak kelebihannya di sisi Allah ialah sembahyang sunat di waktu malam, lebih-lebih lagi di waktu malam di bulan Ramadhan yang penuh berkat dan rahmat daripada Allah.


18. Hutang Puasa Orang Yang Meninggal Dunia.

Dari Aisyah r.a, bahawa RasulullahSAW bersabda:

”Sesiapa yang meninggal dunia dan ia mempunyai tanggungan puasa, maka walinya harus berpuasa untuk membayar tanggungannya.

(Riwayat Muslim)

Huraian:
Kelompok orang-orang yang tidak wajib puasa adalah orang tua yang tidak kuat untuk berpuasa, wanita yang sedang mengandung, dan wanita yang sedang menyusukan anaknya (boleh berbuka jika tidak mampu meneruskan kerana dikhuatiri akan mendatangkan mudharat pada ibu atau anak).

Puasa ibu bapa yang tertinggal boleh diganti jika diketahui jumlahnya tetapi jika tidak diketahui atau tidak diwasiatkan tidaklah perlu diganti, namun adalah lebih baik disedekahkan sedikit harta dan diniatkan untuk Allahyarham serta memohon keampunan atas segala dosa-dosa mereka kerana doa anak yang soleh adalah sedekah jariah yang akan sampai kepada si mati.

Namun orang yangmeninggal dalam keadaan mempunyai hutang nazar puasa, harus digantikan oleh walinya, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang wafat dan mempunyai hutang puasa nazar hendaklah diganti oleh walinya."

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Puasa adalah hak Allah, jika ditinggalkan maka ia menjadi hutang. Oleh itu orang yang berhutang atau walinya wajib melangsaikannya.


19. Puasa lidah.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, RasulullahSAW bersabda:

“Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian:
Kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja terletak kepada menahan makan dan minum sahaja dan perkara perkara yang membantalkan puasa, tetapi menjaga setiap anggota dari melakukan perkara yang mengosongkan pahala puasa. Bahkan inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti menjaga lidah dari mengeluarkan perkataan-perkata yang kotor atau sebagainya.

Orang yang berpuasa hendaklah banyak bersabar dalam menerima dugaan dan ujian daripada Allah SWT. Sekiranya mereka dimaki hamun dan diajak berkelahi oleh seseorang maka hendaklah ia berkata “aku berpuasa”.

Untuk mengelak dari melakukan perkara yang akan merosakkan pahala puasa, maka kita digalakkan agar banyak beristighfar kepada Allah, berzikir, membaca Al-Quran dan berselawat kepada Nabi dan sebagainya.


20. Tidak Mendapat Pahala Puasa Selain Dari Lapar Dan Dahaga.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa NabiSAW bersabda:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Huraian:
Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapan yang tidak baik) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala puasa oleh Allah selain mendapat lapar dan dahaga sahaja.

Puasa yang paling bernilai di sisi Allah SWT ialah puasa orang yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa di samping menambahkan amal ibadat sepanjang mereka berpuasa.

Maka amatlah malang dan ruginya bagi orang yang berpuasa, tetapi masih mengeluarkan perkataan-perkataan yang kotor memaki hamun dan sebagainya, sebagaimana biasa, sedangkan ia berpuasa, maka ia tidak mendapat apa-apa kelebihan atau pahala di sisi Allah SWT bahkan mendapat dosa pula.

No comments:

Post a Comment

Translate

Muhasabah Diri Sebelum Tidur

"Sabda Rasulullah :"Barangsiapa memaafkan kesalahan saudaranya yang Islam, Allah akan mengampuni dosa-dosanya pada hari Kiamat..."
(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

بِاسْمِكَ اللّهُمَّ أَحْيَاوَأَمُوتُ
Bismikallahumah Ahya Wa'amut...