Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya 
sentiasa kretif dalam mendidik isteri. Allah bekalkan kepada kita kaum 
lelaki kekuatan akal yang rasional, tidak terlalu emosional atau mudah 
didorong oleh perasaan.Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan 
wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,
 ditambah dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah 
keluarga, suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa. 
Firman Allah yang bermaksud: 
"lelaki
 adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah
 melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah 
menafkahkan sebahagian daripada hartanya." 
Tercetusnya 
kebahagiaan rumahtangga ialah apabila suami dapat menggunakan kekuatan 
akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri - 
makhluk yang kuat perasaannya. 
Secara mudah, bolehlah dikatakan 
lelaki adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan
 wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. 
Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan 
daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang
 untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya 
strategi dalam mendidik isteri. 
Kaum wanita memang dibekalkan 
dengan sembilan nafsu dan akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu
 dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu seks 
semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah tidak 
sabar, mudah prasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat 
tersinggung dan sebagainya. Pendekata, hasil dorongan nafsu itulah 
lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga 
bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan 
satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah wanita mesti 
dipandu atau dibimbing oleh lelaki agar segala tindak tanduknya tidak 
melulu ikut perasaan semata-mata. 
Sembilan nafsu pada diri 
wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan 
rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu 
suami terpaksa belajar sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita 
atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulan
 nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun 
adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran kita. 
Kebijaksanaan
 mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada 
seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan sumi menurut 
saja kemahuan isteri sehingga isteri besar kepala. Manakala 
kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan 
nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh membahayakan isteri.
 Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan 
tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran
 tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan bepandukan 
ilmu tasauf. 
Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu 
wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka 
mengganggu Rasulullah saw. Tatkala Rasulullah saw lalu di sebelah 
rumahnya dia akan membaling sampah kepada Rasulullah saw. Adakalanya dia
 menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan 
dilalui oleh Rasulullah saw. Bahkan pernah juga dia membaling najis 
semasa Rasulullah lalu di sebelah rumahnya. Tetapi sedikit pun tidak 
dipedulikan oleh baginda Rasulullah saw. 
Suatu hari Rasulullah 
rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya
 baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan. 
Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya jiran perempuan tersebut. 
Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu baginda naik ke rumahnya dengan 
tujuan untuk berziarah. Rasulullah bertanyakan khabar dan tolong 
memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan 
tersebut melihat akhlak Rasulullah sanggup menziarai dan membantunya 
tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar Rasulullah 
menghadapi kerenah perempuan tua itu menyebabkan terbuka hatinya memeluk
 Islam. 
Pada masa yang lain, pernah Rasulullah melintasi 
sekumpulan kaum perempuan, lalu baginda memberi salam. Tetapi tiada 
siapa pun yang menjawab salam baginda. Baginda memberi salam sekali 
lagi. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri
 salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa 
mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua mereka menjawab, 
"Kami sengaja mahu Rasulullah saw mendoakan untuk kami." 
Begitu 
Rasulullah saw mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran baginda
 rasanya tercabar, tetapi Rasulullah masih dapat menunjukkan akhlak yang
 paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan yang 
pendek akalnya, kita kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak 
dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu 
perkara. Tetapi kita kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum 
perempuan memang sediakala lemahpemikirannya. Oleh itu, kita kaum lelaki
 mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa
 rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang. 
Suatu ketika 
datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah dan bertanya tentang mandi 
hadas. Rasulullah menjawab, "Ambillah sepotong kain perca yang sudah 
dikasturikan lalu berwuduk dengannya."Perempuan itu terpinga-pinga 
kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi 
pertanyaannya, "Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?" Sekali lagi 
Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya 
masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah meminta kepada Siti Aisah 
supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata, 
"Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika 
kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti," 
Yang 
dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah 
sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada 
itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri 
pengasih. Sekalipun jika dia seorang pemimpin. 
Ada waktu-waktu 
yang tertentu apabila suami bersama isteri, kita hendaklah merendahkan 
sifat ego kita. Seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah tatkala bersama
 Siti Aishah. Sewaktu Rasulullah dinikahkan dengan Siti Aishah, umur 
baginda 55 tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama
 tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah,
 ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah 
diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya 
Rasulullah menang dalam perlumbaan tersebut. Bermakna sewaktu bersama 
isteri adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa 
menjatuhkan mertabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh 
isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti 
pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut 
saja segala kemahuan isteri. Di sinilah perlunya ketegasan seorang 
suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula 
bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan 
kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan. 
Sebagai
 orang yang ditua-tuakan dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk 
mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh 
kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya
 apabila fikiran terganggu emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau
 ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih 
lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan 
marahnya pada suami. Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal 
ialah tatkala dia sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut 
taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama 
perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain). 
Bagaimana
 sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang 
dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai 
kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya 
setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan 
prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk?
 Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan 
marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana 
berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga 
perasaan marahnya kendur. Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada 
perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. 
Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan 
sungguh-sungguh. Saya bukanlah menggalakkan suami mengambil kesempatan 
melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. 
Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan 
syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan 
suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya. 
Hal ini
 pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah saw. Suatu hari 
isteri-isteri datang menemui baginda dan Siti Aishah, yang mewakili 
mereka semua, bertanya, "Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri 
Rasulullah, yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?" Rasulullah 
tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawabnya. 
Bahkan baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji 
akan memberikan jawapannya kemudian. 
Bagaimana harus dijawab 
kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak 
dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini 
diakui oleh Allah. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya 
supaya jangan ada dikalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya 
kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang lain. 
Berbalik
 kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah saw mendatangi 
isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun 
tidakm menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya 
sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahi 
sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada 
isteri-isteri yang lain. Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah saw 
menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi 
jawapan kepada persoalan yang dikemukakan. 
Maka 
berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara
 mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti 
jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara mereka. 
tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah, baginda pun berkata, "Isteri 
yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya." Maka 
tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka 
dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan 
suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri. 
Satu 
perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang 
kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab
 leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu 
strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus 
dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga 
sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang 
berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur 
barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. 
Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun 
pagi pada kala panas terik. Rasulullah juga pernah berhadapan dengan 
kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah 
pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan 
ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah 
baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara
 tersebut. 
Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak 
kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu 
pangasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela 
mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan 
anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan
 pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang 
atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami 
dengan masalah-masalahnya bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan 
masalah suaminya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: 
"Barangsiapa memiliki isteri yang solehah maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya." 
Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: 
"Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah." 
Apabila
 wanita dapat dididik dengan betul maka ia dapat memberi kebaikan kepada
 seluruh umat kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan 
datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah akan
 membahagiakan seluruh isi alam. 

No comments:
Post a Comment