Sesungguhnya tanda-tanda kematian menurut Ulama’ 
adalah benar dan wujud. Cuma amalan dan ketakwaaan kita saja yang akan 
membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasullullah saw 
diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga 
dan sahabat secara langsung kesukaran menghadapi sakaratul maut dari 
awal hinggalah akhir hayat baginda.
  
  Imam Al-Ghazali 
diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu 
menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratul maut secara bersendirian.
 Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, 
wuduknya serta kafannya sekali. Cuma sampai bahagian tubuh dan kepalanya
 sahaja, beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal 
untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia
 untuk mengkafankan bahagian mukanya.
  
  Adapun riwayat-riwayat 
ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah swt tidak pernah 
berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk 
menjadi kita supaya bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap 
Allah swt. Walau bagaimanapun, semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada
 orang Islam sahaja manakala orang kafir iaitu orang yang menyekutukan 
Allah, nyawa mereka akan terus direntap tanda sebarang peringatan sesuai
 dengan kekufuran mereka kepada Allah swt.
  
  Antara tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa bahagian;
  
  Tanda 100 hari sebelum hari mati
  Ini adalah tanda pertama dari Allah swt kepada hambanya dan hanya akan
 disedari oleh mereka yang dikehendakiNya. Walaubagaimanapun semua orang
 Islam akan mendapat tanda ini. Cuma sama ada mereka sedar atau tidak 
sahaja. Tanda ini berlaku lazimnya selepas waktu Asar.
  
  
Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut ke hujung kaki akan mengalami 
getaran seakan-akan menggigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru 
disembelih di mana jika perhatikan dengan teliti kita akan mendapati 
daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi 
mereka yang sedar, akan bertindak di hati bahawa mungkin ini adalah 
tanda mati, maka getaran ini akan hilang setelah kita sedar akan 
kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau hanyut
 dengan kenikmatan dunia tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan 
lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Bagi yang sedar akan 
kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan 
masa yang ada mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan 
dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.
  
  
  Tanda 40 hari sebelum hari mati
  Tanda ini juga akan berlaku sesudah Asar. Bahkan pusat kita akan 
berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan 
gugur dari pokok yang letaknya di atas Arasy Allah swt. Maka malaikat 
maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas
 kita ,antaranya ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan tetapi
 malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika 
ini terjadi, mereka yang terpilih akan merasakan seakan-akan bingung 
seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya
 untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan 
dicabutnya.
  
  Tanda 7 hari
  Tanda ini akan diberikan
 hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang 
sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera utnuk makan.
  
  Tanda 3 hari
  Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita 
iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka 
berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak 
najis dan akan memudahkan urusan orang yang memandikan kita nanti.
  
  Ketika itu juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi 
orang yang sakit, hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat 
dikesan jika kita melihatnya dari sisi. Telinganya akan layu di mana 
bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya 
yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.
  
  Tanda 1 hari
  Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu 
denyutan disebelah belakang iaitu di bahagian ubun-ubun di mana ini 
menandakan kita tidak akan sempat menemui waktu Asar keesokan harinya.
  
  Tanda Akhir
  Akan berlaku keadaan dimana kita akan merasakan satu keadaan sejuk 
dibahagian pusat dan ianya akan turun kepinggang dan seterusnya akan 
naik ke bahagain halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap 
kalimah syahadah dan berdiam diri serta menantikan kedatangan malaikat 
maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah swt yang telah 
menghidupkan kita dan sekarang mematikan kita pula.
  
  Penutup
  Sesungguhnya marilah kita bertakwa dan berdoa kepada Allah swt semoga 
kita adalah diantara orang-orang yang dipilih oleh Allah yang akan 
diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda mati ini semoga kita akan 
membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan sama ada dari 
Allah swt mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan 
hutang-piutang kita.
  
  Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat 
Allah swt Yang Maha Berkuasa lagi Pemurah dan Maha Mengasihani maka 
diriwayatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia masih boleh diubah 
dengan amalan doa dari kita sendiri ataupun dari doa dari orang lain. 
Namun ianya adalah ketentuan Allah swt semata-mata.
  
  Oleh itu,
 marilah bersama-sama berusaha dan berdoa semoga kita diberi hidayah dan
 petunjuk oleh Allah swt serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan
 dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah swt 
sama ada di dunia mahupun akhirat.
  
  Apa yang baik datangnya dari Allah swt dan apa yang silap dari kelemahan saya sendiri.
  
  Wassalam. 

No comments:
Post a Comment