Sebelum
Ramadhan menjelma, eloklah kita memantapkan pengetahuan tentang ibadah
puasa termasuklah mengenai perkara-perkara yang membatalkan dan tidak
membatalkan puasa.
Pertama
sekali, amat penting untuk umat islam mengetahui perkara-perkara asas
yang membatalkan puasa, sebagaiamana disepakati oleh para ulama. Ia
terdiri daripada empat perkara, iaitu:
- 1. Makan
- 2. Minum
- 3. Bersetubuh(Jima’)
- 4. Haid dan Nifas.
Adapun
tentang perkara-perkara lain yang membatalkan puasa, ia tidaklah
disepakati oleh para ulama, jadi umat islam perlulah bertolak ansur dan
berlapang dada. Cuma, janganlah sampai membebankan atau memberatkan
hingga menyukarkan kita melakukan ibadat puasa.
Ulama
terbilang dunia ketika ini, iaitu Dr Yusoff Al-Qaradhawi yang juga
Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia pernah menyebut dan meluah rasa
kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan
perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan
skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang
benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati
ulama sahaja.
Beliau
berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para
ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar
57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang
kurang sesuai.
Jadi, di
ruangan yang terhad dan terbatas ini, saya akan memaparkan beberapa
perkara yang tidak membatalkan puasa. Ia merupakan keputusan Seminar
Fekah Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar
1418 bersamaan 14-17 Jun 1997. Artikel asal tersebut saya rujuk dari
blog Abu Anas Madani
Menurut ahli majlis/peserta seminar tersebut telah sepakat bersetuju bahawa perkara-perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA.
- 1- Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga.
- 2- Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung).
- 3- Memasukkan ubat melalui faraj, memasukan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin).
- 4- Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray.
- 5-Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.
- 6- Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah (seperti glukos yang mengenyangkan).
- 7- Penderma atau menerima pemindahan darah.
- 8- Oksigen dan Gas Bius.
- 9- Semua jenis bahan yang boleh menyerap kedalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat.
- 10- Mengambil sampel darah untuk ujian makmal.
- 11- Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain.
- 12- Teropong dalam rongga perut (endiskopi) untuk mencari punca penyakit.
- 13- Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk kedalam perut.
- 14- Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat kedalamnya (contoh; IUCD, alat pencegah kehamilan dalam rahim).
- 15- Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain.
Pendapat majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA:
- 1- Ubat titis hidung, semburan hidung (inhalers) dan ubat sedut.
- 2- Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur.
- 3- Pembedahan yeng melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya.
- 4- Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut.
- 5- Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya kedalam perut.
Alhamdulillah,
dengan penjelasan ini semoga terjawab persoalan yang sering menjadi
pertanyaan dan kemusykilan bagi para muslimin dan muslimat sekelian.
Selamat menjalani ibadat puasa, semoga Allah menerima semua amalan baik
kita dan memberi kekuatan dan hidayah untuk kita istiqamah melakukannya.
No comments:
Post a Comment