SABAR dipandang mulia di sisi Allah kerana 
mendatangkan banyak kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain. Sikap 
itu perlu diamalkan setiap masa dalam kehidupan seharian.
  
  
Keperluan sabar dikategorikan kepada dua perkara iaitu sabar menahan 
diri daripada perkara yang disukai, tetapi dilarang oleh agama.
  
  Satu lagi sabar bermaksud menahan diri daripada keadaan yang tidak disukai atau kesusahan yang dihadapi.
  
  Sabar bererti menahan diri daripada mengikut kehendak hati atau 
perasaan yang mendorong melakukan perbuatan yang mendatangkan keburukan.
 Menahan diri ketika penderitaan, sanggup melakukan perkara sukar demi 
mendapat kebaikan dan bersedia menghadapi tempoh panjang untuk 
mendapatkan sesuatu.
  
  Allah menyebut orang bersabar bakal mendapat kegembiraan, petunjuk, keberkatan dan rahmat daripada-Nya.
  
  Sebab itu setiap orang mesti bersabar dalam menghadapi segala cabaran 
hidup. Janji dan jaminan yang diberikan oleh Allah kepada orang yang 
bersabar adalah bukti kebaikan yang tiada tolok bandingnya.
  
  Dr Yusof Al Qardhawi berkata ada lapan perkara yang boleh membantu meningkatkan kesabaran seseorang, iaitu:
  
  # Mengenali hakikat hidup di dunia yang penuh cabaran dan sementara.
  
  # Mengenali bahawa diri ini milik Allah dan manusia mempunyai had tertentu.
  
  # Yakin setiap perbuatan baik akan mendapat ganjaran Allah.
  
  # Yakin bahawa Allah akan membantu hambanya.
  
  # Berusaha mencontohi orang sabar.
  
  # Sentiasa memohon pertolongan dan keredaan Allah.
  
  # Sentiasa beriman kepada qadar dan sunnah Allah.
  
  # Berusaha menjauhi penyakit penghalang sabar seperti marah, sedih berlebihan, putus asa dan gopoh-gapah.
  
  Sabar boleh dibentuk dengan adanya harapan dan cita-cita untuk 
mendapatkan sesuatu. Hal ini kerana seseorang itu pasti berusaha 
bersungguh berlandaskan kesabaran untuk mencapai hasrat hati.
  
  Ibnu Qayim dalam bukunya, Al Madaraji menyebut hukum bersabar itu adalah wajib.
  
  Sifat sabar adalah kunci kejayaan, insan yang tidak tekun dan tidak 
sabar dalam menuntut ilmu tidak memperoleh pengetahuan. Pekerja yang 
tidak sabar dalam pekerjaan tidak akan dapat menyiapkan tugasnya 
mengikut jadual dengan mutu yang baik.
  
  Kesabaran sangat 
dikehendaki dan ada batasnya. Kita perlu mengelakkan sesuatu pihak 
menggunakan sifat kesabaran yang ada pada diri sebagai senjata 
memusnahkan diri kita.
  
  Oleh itu, setiap insan perlu mempunyai
 tahap sabar yang tinggi bagi mengatasi apa juga persoalan kehidupan. Ia
 bagi memastikan kehidupan dapat ditempuhi dalam keimanan tinggi. 

No comments:
Post a Comment