TIDAK diharamkan seseorang kencing berdiri, 
terutamanya apabila adanya keperluan. Namun begitu kencing secara duduk 
itu adalah sunat kerana itulah kebiasaan yang dilakukan oleh Nabi S.A.W.
 berdasarkan hadith daripada ‘Aisyah R.A.: 
مَنْ حَدّثَكُمْ 
أنَّ النَّبِيَّ صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَبُوْلُ قَائِمًا 
فَلَا تُصَدِّقُوْهُ ، مَا كَانَ يَبُوْلُ إلَّا قَاعِداً 
Maksudnya:
 “Sesiapa yang menceritakan kepada kamu yang Nabi S.A.W. pernah kencing 
berdiri, maka janganlah kamu mempercayainya, tidaklah baginda kencing 
melainkan dengan duduk.” (HR al-Tirmizi, dan beliau berkata: “Hadith ini
 adalah yang paling sahih di dalam bab ini. Hadith ini juga di sahihkan 
oleh al-Albani di dalam sahih Sunan al-Tirmizi) 
Lajnah 
Daimah 5/88 (Badan Tetap Fatwa Arab Saudi) apabila ditanya tentang hukum
 kencing berdiri, mereka menyatakan keharusannya sambil menegaskan 
sunatnya kencing secara duduk dengan berdalilkan hadith di atas. 
Seterusnya mereka menyebut: 
“Ini disebabkan (kencing secara 
duduk itu) ianya lebih terlindung dan lebih terpelihara daripada terkena
 percikan kencingnya. Telah diriwayatkan hadith tentang keringanan 
kencing secara berdiri dengan syarat selamat daripada terkena percikan 
kencing pada pakaian dan badan, dan selamat dari terdedah aurat. 
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Huzaifah R.A. daripada Nabi 
S.A.W.: 
أنَّهُ أَتَى سُبَاطَةَ قَوْمٍ فَبَالَ قَائِماً 
Maksudnya: “Adalah baginda (S.A.W.) mendatangi kebun milik satu kaum, lalu baginda kencing secara berdiri.” 
Hadith
 ini dengan ucapan ‘Aisyah di atas tidak saling menafikan antara 
keduanya, ini kerana dari dua hadith di atas dapat difahami Nabi S.A.W. 
kencing berdiri disebabkan tenpat tersebut tidak memungkinkan baginda 
duduk atau boleh juga difahami hadith daripada Huzaifah itu menjelaskan 
kepada orang ramai yang kencing berdiri itu bukanlah suatu perbuatan 
yang haram. Di samping itu hadith Huzaifah juga tidak menafikan yang 
asal hukum kencing adalah seperti yang dinyatakan oleh ‘Aisyah R.’anha 
yang Nabi S.A.W. kebiasaannya kencing secara duduk, dan kencing secara 
duduk itu adalah Sunnah Nabi S.A.W. yang bukan wajib yang menjadikan 
haram jika kita tidak melakukannya.” 
Wallahu a’lam 

No comments:
Post a Comment