1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah 
menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah 
susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual. 
2) 
Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap 
di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan 
bajunya untuk membantu isterinya di dapur. 
Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga. 
3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang." 
4)
 Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar 
waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang 
mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi
 bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan 
mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang 
kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada 
apa-apa wahai Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku 
puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya. 
5)
 Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul 
isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas
 soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala.
 Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." "Aku tidak 
bertanya alasanmu," sahut Nabi s. a. w. "Aku menanyakan mengapa engkau 
memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?" 
6) Pernah 
baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah 
lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda 
dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan 
kedudukannya sebagai pemimpin umat. 
7) Pada suatu ketika baginda
 menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda 
antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka 
mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda 
yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak 
tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanyasetelah selesai 
bersembahyang, 
"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan 
menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?" 
"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar." 
"Ya 
Rasulullah...  mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami 
mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau 
sedang sakit...  " desak Umar penuh cemas. Akhirnya Rasulullah 
mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang 
kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat 
menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi 
halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda. 
"Ya Rasulullah! 
Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak 
akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan lembut, 
"Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi 
Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila 
aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?" "Biarlah kelaparan 
ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang 
kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat 
kelak." 
8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor. 
9)
 Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh 
seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh 
rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam 
masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu. 
10) 
Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang 
sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke 
tuanan. 
11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung 
tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di 
depan ramai mahupun dalam keseorangan. 
12) Pintu Syurga telah 
terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di 
waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadat hinggakan pernah 
baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. 
13) 
Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. 
Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engaku 
telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?" Jawab
 baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang 
hamba? 
Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."
Rasulullah s. a. w. bersabda,"SAMPAIKANLAH PESANKU WALAUPUN SEPOTONG AYAT.." 
No comments:
Post a Comment