MENGENAI SYAITAN
  
  DALAM sebuah Hadis, daripada Safiyah binti Huyay r.a. dinyatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, yang bermaksud…….
  
  “Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam menurut pembuluh darah.” – Muttafaq alayh
  
  [Riwayat Bukhari & Muslim]
  
  Sesetengah Ulama’ telah mengambil sandaran daripada Hadis ini untuk 
menyatakan tentang sandaran daripada Hadis ini untuk menyatakan tentang 
keupayaan syaitan menembusi batin manusia, menyebabkan berlakunya 
rasukan.
  
  Berdasarkan keterangan Hadis di atas, juga 
Hadis-hadis lain yang jelas, ternyata bahawa gangguan iblis dan syaitan 
terhadap manusia hakikatnya wujud, bukan sesuatu yang mustahil.
  
  Sasaran utama gangguan makhluk ini terhadap manusia ialah pada otak.
  Apabila ini berlaku, ia akan melahirkan simtom-simtom ataupun gangguan
 yang berkaitan dengan otak, seperti tidak sedarkan diri, menjerit, 
bercakap sendiri, lari dari rumah dan sebagainya yang berlaku dalam 
keadaan tidak dapat mengawal diri.
  
  Sasaran gangguan kedua 
ialah pada hati, menyebabkan timbulnya rasa sedih, kecewa, rasa putus 
asa, rasa hendak bunuh diri, rasa risau tidak menentu dan sebagainya 
tanpa sebab yang jelas.
  
  Gangguan juga boleh berlaku serentak 
pada otak dan hati. Ia boleh berlaku, sama ada seseorang itu dalam 
keadaan tidak sedarkan diri seratus peratus, ataupun berada dalam 
keadaan sedarkan diri, namun kesedaran diri itu berlaku pada tahap 
minimum menyebabkan ia tidak berupaya bertindak atau berbuat sesuatu. 
Kondisi seumpama ini menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal 
dirinya seperti yang dijelaskan.
  
  Setengah-setengah orang 
mengatakan bahawa penyeru ke arah berbagai maksiat melalui hati itu 
ialah satu syaitan sahaja. Sementara setengah-setengah orang yang lain 
pula mengatakan ianya berbagai- bagai syaitan. Perbezaan pendapat di 
sini tidak mustahak sama sekali, kerana yang pentingnya ialah menentang 
syaitan sama ada satu atau ramai yang menjadi musuh kepada manusia itu.
  
  Walau bagaimanapun menurut riwayat-riwayat, syaitan itu adalah ramai, 
dan setiap jenis maksiat ada syaitannya yang tertentu. Menurut kata 
Mujahid, iblis itu mempunyai lima orang anak yang masing-masing 
menjalankan tugas-tugas tertentu menurut arahannya.
  
  Anak-anak iblis itu ialah :
  
  1. Thabr – yang bertugas ketika manusia ditimpa kecelakan atau
  kematian dengan menyuruhnya merosakkan diri sendiri seperti
  mengoyak-ngoyakkan pakaian, menampar muka dan apa juga kebiasaan yang terdapat di zaman jahiliah.
  
  2. A’war – yang bertugas sebagai penghasut melakukan zina dengan 
menggambarkan kepada manusia tentang keseronokan dan keindahan-
  keindahannya.
  
  3. Masut – yang membisikkan supaya manusia berdusta dan berbohong.
  
  4. Dasim – yang menghasut seseorang supaya marah kepada keluarganya dan menuduh mereka mendedahkan keaibannya.
  
  5. Zalanbur – yang bertugas merayau-rayau di pasar-pasar serta
  menghasut penjual dan pembeli mengadu terhadap kecurangan yang lain.
  
  Syaitan yang mengganggu manusia semasa sedang bersembahyang bernama 
“Khanzab”. Syaitan yang mengganggu manusia semasa berwudhu’ bernama 
“Walhan”.
  
  Menurut riwayat Umar bin Abdul Aziz bahawa seorang 
lelaki telah meminta kepada Tuhan agar menampakkan tempat duduk syaitan 
di dalam hati manusia. Lalu pada suatu malam dia bermimpi melihat jasad 
seorang lelaki yang jernih hingga boleh tembus dilihat sebelah dalamnya.
 Ia ternampak syaitan berbentuk seekor katak sedang duduk di sebelah 
kiri badan di antara bahu dan telinga dengan mempunyai belalai yang 
halus yang dimasukkan ke hati melalui bahu sebelah kiri itu serta 
mewaswaskannya. Apabila orang itu berzikir mengingati Allah, syaitan 
tersebut pun menarik belalainya.
  
  Setengah-setengah golongan 
yang dikasyafkan telah melihat syaitan dalam bentuk anjing sedang 
melapah bangkai dan mengajak orang ramai menyertainya. Bangkai itu 
adalah diumpamakan sebagai dunia.
  
  Penyaksian terhadap 
bentuk-bentuk syaitan seperti disebutkan itu adalah menggambarkan 
hakikat syaitan yang sebenarnya. Seperti yang diketahui hati itu 
mempunyai dua wajah. Satu wajah menghala ke alam ghaib iaitulah pintu 
masuk bagi ilham dan wahi, dan satu wajah lagi menghala ke alam syahadat
 (alam yang disaksikan oleh mata kasar).
  
  Tetapi gambaran yang
 disaksikan di alam syahadat itu tidak menggambarkan hakikat yang 
sebenarnya, bahkan ia boleh dikatakan lebih berupa sebagai khayalan 
semata-mata. Misalnya kita melihat seseorang yang cantik rup bentuknya. 
Tetapi yang sebenarnya batinnya adalah sangat buruk dan hodoh. Ini ialah
 kerana alam syahadat itu alam saduran.
  
  Sementara gambaran 
yang terdapat di dalam alam ghaib sebagaimana yang tergambar di hati itu
 adalah benar-benar menunjukkan hakikat yang selaras dengan sifat 
seseorang. Jika sifat seseorang itu buruk maka gambar yang disaksikan di
 dalam hatinya itu buruk juga. Kerana itulah syaitan dilihat dalam 
bentuk anjing, katak, babi dan sebagainya di dalam mimpi.
  
  Wallahu ta’ala a’lam……. 
No comments:
Post a Comment