1. Ibadah korban bermaksud; menyembelih binatang ternakan
pada hari raya korban (10 dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq (11, 12 & 13
dzulhijjah) dengan niat mendekatkan diri kepada Allah.
2. Masa ibadah korban bermula apabila terbit matahari
pada hari raya korban (10 zulhijjah) dan meninggi sedikit. Namun paling baik
dilewatkan sedikit hingga matahari naik segalah dan selepas selesai solat hari
raya.
Hukum ibadah korban
1. Hukum ibadah korban ialah sunat muakkad. Makruh
meninggalkannya bagi yang mampu. Ibadah sunat ini menjadi wajib jika
dinazarkan.
2. Bagi sebuah keluarga, ibadah korban adalah sunat
kifayah, iaitu digalakkan seorang ahli keluarga melakukan ibadah korban bagi
pihak ahli keluarga yang lain. Abu ‘Ayyub RA menceritakan; “Pada zaman Nabi SAW
seorang lelaki menyembelih korban bagi pihak dirinya dan juga ahli keluarganya”
(Muwatta’ Imam Malik; 1770).
3. Harus melakukan korban untuk orang telah mati atau
meniatkan pahala korban untuknya.
Fadhilah ibadah korban
1. Sabda Nabi SAW; “Tidak ada amalan yang paling disukai
Allah pada hari raya korban melebihi dari menyembelih korban. Binatang korban
akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, kuku-kukunya dan bulu-bulunya”
(Sunan at-Tirmizi; 1496, hasan).
2. Sabda Nabi SAW; “Bagi setiap helai bulu binatang
korban satu kebajikan” (Sunan Ibnu Majah; 3127, dhaif).
Syarat-syarat binatang korban
1. Binatang ternakan yang sah dibuat korban ialah;
biri-biri (berumur genap 1 tahun), kambing (genap 2 tahun), lembu (genap 2
tahun), kerbau (genap 2 tahun) dan unta (genap 5 tahun).
2. Seekor biri-biri dan kambing hanya untuk seorang.
Adapun lembu, kerbau dan unta harus dikongsi tujuh orang.
2. Disyaratkan binatang tidak cacat dengan nyata. Menurut
hadis; tidak sah korban dengan binatang yang buta sebelah matanya, yang
tempang, yang nyata sakitnya dan yang terlalu kurus (Musnad Ahmad; 18510,
isnadnya soheh).
3. Sunat memilih binatang korban yang paling elok. Lagi
elok, lagi sempurnalah pahalanya.
Perkara yang disunatkan ke atas orang yang melakukan
korban
1. Tidak membuang apa-apa rambut/bulu dan kuku dari
badannya sehinggalah selesai korbannya di sembelih (Soheh Muslim; 1977).
2. Menyembelih sendiri korbannya jika mampu. Jika tidak mampu,
sunat melihat binatang korbannya disembelih.
3. Ketika sembelihan dilakukan sunat ia mengucapkan
seperti berikut;
·
إِنَّ صَلَاتِي
وَنُسُكِي وَمَحْيَاي وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ
وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ
·
اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنّيْ
وَأَهْلِيْ بَيْتِي
“Ya Allah,
terimalah korban ini dariku dan dari ahli keluargaku”.
Cara pengagihan daging korban
1. Wajib sebahagian dari daging korban disedekahkan
kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, iaitu sekurang-kurangnya satu kadar
yang dapat dinamakan sedekah (iaitu 1/2 kilo atau 1 kilo).
2. Daging korban harus jika hendak disedekah kesemuanya
kepada fakir miskin. Namun sunat orang yang melakukan korban menikmati sedikit
darinya mengikut sunnah Nabi SAW dan mengambil berkat darinya.
3. Sunat daging korban diagihkan kepada tiga pihak; (1)
Untuk dimakan diri dan ahli keluarga, (2) Disedekahkan kepada fakir miskin, (3)
Dihadiahkan kepada rakan-rakan, jiran tetangga dan sebagainya sekalipun mereka
kaya/berada.
4. Dilarang menjual apa-apa bahagian dari binatang korban. Ia
menghilangkan pahala korban. Termasuk dilarang ialah memberi upah kepada tukang
sembelih atau orang-orang kerja dengan daging korban. Jika diberikan atas nama
hadiah atau sedekah diharuskan.
5. Sebahagian ulamak mengharuskan memberi daging korban
kepada orang kafir yang berbaik dengan orang Islam. Sebahagian ulamak
melarangnya.
6. Korban nazar dan korban untuk orang telah mati; wajib
disedekahkan kesemua dagingnya kepada fakir miskin.
No comments:
Post a Comment