KEWAFATAN bapa saudaranya, Abu Talib Abdul Mutalib 
dan isterinya, Khadijah Khuwailid, membuat Nabi Muhammad SAW bersedih 
serta berduka kerana mereka adalah pembela Baginda dalam menyampaikan 
seruan Ilahi kepada golongan jahiliah penyembah berhala.Abu Talib 
memeliharanya dengan sokongan moral, manakala Siti Khadijah pula 
membelanya dengan sokongan material, semangat dan kasih sayang serta 
penuh pengertian terhadap tugas berat yang disandang oleh suaminya.
Bukan
 itu saja, kedua-dua mereka juga disegani dan dihormati masyarakat 
Quraisy, sehingga tahun kepergian mereka itu dikenal sebagai `Aam al 
Huzni atau tahun berduka cita.
Pemergian insan yang dikasihi 
adalah ujian Allah kepada hamba dan Rasul-Nya, Muhammad SAW serta kaum 
Muslim yang masih baru memeluk Islam. Keadaan ini juga membuat 
masyarakat musyrik Quraisy melakukan serangan dan tindakan terhadap 
agama yang baru muncul itu, sehingga Rasulullah SAW sendiri perlu 
mendapatkan teman seperjuangan dan umat yang lebih ramai lagi bagi 
memperkukuhkan pertahanan ummah.
Sementara itu, Rasulullah SAW 
tidak pernah patah semangat atau berputus asa dalam menyampaikan Islam 
kepada manusia dan dunia. Ujian demi ujian itu Baginda lalui dengan 
sikap tabah yakin dan tawakal.
Hakikatnya hidup dan kehidupan 
manusia, ada hal yang tidak dapat dijangkakan pancaindera manusia, 
tetapi ia hanya dapat ditilik oleh mata hati, iaitu kalbu yang disirami 
keyakinan dan kepercayaan.
Bukan semua yang tidak terjangkau 
pancaindera itu bererti tidak ada, sebaliknya bukan semua yang ada itu 
mesti dapat dijangkau dengan pancaindera. Atas dasar inilah, Allah 
memperjalankan Nabi Muhammad SAW pada waktu malam sepi dan mengangkatnya
 ke sisi-Nya.
Diperlihatkan Nabi Muhammad SAW pelbagai bentuk dan
 kiasan bagi menambah keyakinan serta ketabahannya dalam menempuh jihad 
suci selepas dia kembali nanti. Inilah yang dimaksudkan Allah dalam 
firman yang bermaksud: �Kerana kami hendak memperlihatkan kepadanya 
(Muhammad) akan tanda-tanda (Kebesaran) Kami... �
Semua kejadian 
dan peristiwa itu tidak akan bererti apa-apa jika tidak didasari oleh 
iman yang kuat, dan keyakinan mantap Nabi Muhammad SAW.
Selepas 
Rasulullah SAW menamatkan perjalanan peringkat pertama, Baginda diberi 
masa untuk beristirahat melepas lelah dan merenungkan kebesaran Ilahi di
 suatu tempat suci yang mempunyai nilai sejarah iaitu masjid al-Aqsa.
Peringkat
 kedua iaitu Mikraj, Rasulullah SAW diangkat Allah ke tempat yang 
tinggi, melalui tujuh lapis langit hinggalah ke sidrah al Muntaha. Pada 
setiap lapis langit itu Rasulullah SAW bertemu dengan rasul terdahulu 
daripadanya, mulai daripada Nabi Adam, Isa, Yahya, Yusuf, Idris, Harun, 
Musa dan Ibrahim Khalil Allah.
Semua pemberitaan itu tidak akan 
dapat diterima oleh manusia, kecuali dengan iman yang kukuh. Ini adalah 
ujian keimanan bagi manusia. 
Firman Allah yang bermaksud: �...  
dan tidaklah kami jadikan penglihatan yang Kami tunjukkan kepadamu itu, 
melainkan untuk ujian bagi manusia... ..� (Surah al-Israk, ayat 60) 
Memang
 benar, peristiwa Israk Mikraj menguji keimanan manusia. Selepas 
peristiwa itu diceritakan Rasulullah SAW kepada orang ramai, ada antara 
orang Islam kembali kepada kepercayaan asalnya, kerana dia meninjau 
peristiwa itu dari sudut kemampuan akalnya.
Sebaliknya ada pula 
orang Musyrikin Quraisy yang dengan rela hati memeluk agama Islam kerana
 mereka berjaya menilai peristiwa itu daripada aspek tinjauan 
metafisikalnya.
Sebenarnya ujian keimanan manusia bukan saja hanya berlaku di masa itu, tetapi dapat disaksikan pada masa sekarang ini. 
Abu
 Talib adalah pembela Islam, sekali gus pembela Nabi Muhammad SAW tetapi
 tidak mengikuti ajaran yang disampaikan anak saudaranya itu kerana 
mempertahankan maruah dan harga dirinya. Akhirnya beliau meninggal dalam
 kekufuran. 
Terhadap bapa saudaranya ini, Rasulullah SAW pernah 
bersabda: �Seringan-ringan azab di dalam neraka kelak ialah seperti 
seksa yang diderita oleh Abu Talib. Sahabat bertanya: Bagaimana 
ringannya Rasulullah? Rasul SAW menjawab: Seolah-olah orang yang memakai
 selipar yang diperbuat daripada timah paras sehingga menggelegak 
otaknya kerana panasnya.� 
Daripada riwayat ini jelaslah bagi 
kita, bahawa membela Islam saja belum cukup selagi seseorang itu belum 
mengikuti syariat atau hukum yang ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Titik
 terakhir wasiat suci Rasulullah SAW pada malam itu ialah Baginda 
diterima menghadap Allah dan diberikan amanah untuk semua makhluk-Nya 
iaitu mengerjakan solat lima waktu dalam sehari semalam.
No comments:
Post a Comment