Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh... 
  
  Bismillahirrahmanirrahiim... 
  
  Berbuat baik kepada musuh..? Seolah-olahnya tidak masuk akal. Iya.. 
Memang tidak masuk akal untuk orang yang ‘tidak mempunyai bahagian yang 
besar’ seperti kita.
  Lihat firman Allah ini yang bermaksud :
  
  "Tolaklah
 (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; 
apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan 
terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat 
karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan 
melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat 
diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang
 besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat." [Fussilat : 34-35]
  
  Syaikh al-Sa’di rahimahullah berkata dalam kitab tafsirnya ketika beliau mensyarahkan ayat ini :
  Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan suatu bentuk ihsan yang khas, yang
 mana ia mempunyai satu bahagian yang besar iaitu berbuat kebaikan 
kepada orang yang melakukan kejahatan kepada kamu. Allah berfirman 
(maksudnya) :
  
  “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik”,
  
  iaitu : Jika salah seorang makhluk Allah itu memperlakukan kamu dengan
 cara yang tidak elok, terutamanya mereka yang mempunyai hak yang besar 
ke atasmu seperti saudara-mara, sahabat-handai dan sebagainya, samada 
dengan perkataan atau perbuatan, maka hendaklah kamu balas ia dengan 
melakukan kebaikan kepada mereka. Jika mereka memutuskan perhubungan, 
maka kamu sambungkan ia, jika mereka menzalimi kamu, kamu maafkan dia, 
dan jika mereka mengutuk dan mengumpatmu, maka janganlah kamu balas 
(dengan umpatan dan kata-kata yang tidak elok) bahkan kamu maafkan 
mereka dan pergaulilah mereka dengan kata-kata yang lemah lembut. Dan 
jika mereka memulaukan kamu, dan tidak bercakap denganmu, maka 
berkatalah dengan baik kepada mereka dan ucapkanlah salam. Jika kamu 
membalas kejahatan dengan kebaikan, sesungguhnya akan terhasil faedah 
yang besar.
  
  “Apabila engkau berlaku demikian maka orang 
yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi
 seolah-olah seorang sahabat karib.”
  
  Dan tidaklah orang 
yang diberi petunjuk oleh Allah untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia
 ini kecuali mereka yang bersabar dan menahan diri mereka daripada 
perkara yang tidak disukainya, dan memaksa diri untuk melakukan sesuatu 
yang disukai oleh Allah. Kerana secara tabiatnya jiwa itu suka untuk 
membalas kejahatan dengan kejahatan dan tidak memaafkan, inikan pula 
hendak membalas dengan kebaikan?!
  
  Jika seseorang menyabarkan 
diri mereka, dan mengikut perintah Allah serta mengetahui betapa 
besarnya pahala dan tahu bahawa membalas kejahatan dengan kejahatan itu 
tidak memberi manfaat apa-apa pun kepadanya, bahkan ia akan menambahkan 
permusuhan dan membuat kebaikan kepada musuh itu tidak merendahkan 
martabatnya sedikit pun, bahkan siapa yang merendahkan diri kerana Allah
 maka Allah akan mengangkat darjatnya dan dimudahkan urusannya dan dia 
dapat melakukannya dengan mudah dan dengan rasa gembira.
  Dan sifat 
ini juga tidak dapat diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai 
bahagian yang besar, kerana ia merupakan akhlak hamba-hamba Allah yang 
terpilih yang mana ia akan mendapat ketinggian darjat di dunia dan 
akhirat.
  
  (Lihat : Tafsir al-Sa’di : 882) 
No comments:
Post a Comment