LUQMAN al-Hakim adalah seorang tokoh yang menjadi
sebutan masyarakat Islam hingga kini, lebih-lebih lagi apabila
menyentuh mengenai mutiara kata dan ungkapan yang baik lagi terpuji.
Kebenaran
mengenai kewujudannya suatu masa dulu di perakui al-Quran apabila
kitab suci itu sendiri merakamkan nama beliau dan nasihat bermanfaat
daripadanya seperti yang dapat diperhatikan melalui surah Luqman.
“Dan
sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmah kebijaksanaan,
(serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah dan
sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu terpulanglah kepada dirinya
dan sesiapa yang ingkar dan tidak bersyukur maka sesungguhnya Allah
Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Luqman:12)
Al-Quran menceritakan secara umum personaliti Luqman seperti juga tokoh lain daripada kalangan nabi dan orang beriman.
Justeru, timbul sedikit perselisihan di kalangan ulama dan pengkaji mengenai latar belakang, kehidupan dan ketu runannya.
Malah, nama Luqman itu sendiri dikatakan adalah nama orang Ajam (orang asing), bukannya nama orang Arab.
Ibnu Kathir ada menyatakan dalam kitab sejarahnya: ‘Beliau ialah Luqman bin Unqaa’ bin Sadam.’
Tetapi, ada cerita dari as-Suhaili, dari Ibnu Jarir dan al-Qutaibi: ‘Beliau ialah Luqman bin Tharan.’ Gelarannya Abu An’am.
Al-Allamah al-Alusy berkata: “Kebanyakan pendapat me ngatakan beliau hidup di zaman Nabi Daud a.s.”
Katanya
lagi: “Orang juga berselisih pendapat apakah beliau seorang yang
merdeka atau hamba? Kebanyakan pihak mengatakan beliau adalah seorang
hamba Habsyi.”
Ibnu Qutaibah berkata: “Luqman adalah seorang
hamba Habsyi kepada seorang lelaki daripada kalangan Bani Israil.
Kemudian beliau dibebaskan dan diberikan harta.”
Diriwayatkan
dari Abu Hurairah r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
Adakah engkau semua tahu siapakah dia Luqman? Mereka pun menjawab:
Allah dan Rasul-Nya saja yang lebih tahu. Baginda bersabda: Dia adalah
seorang Habsyi.”
Pendapat yang mengatakan dia adalah seorang Habsyi adalah dari Ibnu Abbas dan Mujahid.
Al-Hassan
al-Basri berkata: “Luqman membina sebuah singgahsana di Ramlah, Syam.
Pada masa itu tempat terbabit masih lagi belum dibangunkan. Beliau
berada di sana se hinggalah lanjut usianya dan meninggal dunia.”
Ibrahim
bin Adham berkata: “Aku telah diberitahu bahawa kubur Luqman adalah di
antara Masjid Ar-Ramlah dan tempat didirikan pasar pada hari ini. Di
tempat terbabit terdapat 70 kubur nabi .”
Diriwayatkan oleh Ibnu
Abu Hatim, dari Abdullah bin Az-Zubair katanya: “Aku telah bertanya
kepada Jabir bin Abdullah: Apakah cerita terakhir yang sampai kepadamu
semua mengenai keadaan diri Luqman? Jabir menjawab: Dia adalah seorang
yang pendek, pesek hidungnya dari keturunan Naubah.”
Menurut
Ibnu Kathir, Luqman adalah seorang lelaki yang soleh, kuat beribadat
dan suka memberikan nasihat serta mempunyai kebijaksanaan yang amat
tinggi.
Katanya lagi, Luqman adalah seorang hamba yang banyak
berfikir dan mempunyai imaginasi yang baik, malah me ngasihi Allah
sehingga Allah mengasihinya.
“Beliau juga dianugerahkan dengan
kebijaksanaan iaitu lidahnya menuturkan kata-kata yang hak, hatinya
berfikir perkara baik sementara badannya bergerak dengan baik.
“Sekiranya
beliau berbicara, bicaranya penuh bijaksana dan sekiranya beliau
berfikir, pemikirannya penuh bijaksana dan sekiranya beliau bergerak,
pergerakannya penuh bijaksana,” katanya.
Luqman adalah orang pertama yang dipengaruhi dengan hikmah serta beramal dengannya. Oleh kerana itu beliau sentiasa berfikir.
Beliau adalah seorang yang bijaksana, bersifat zuhud di dunia, tidak mengendahkannya dan tidak memandang ke padanya.
Dikatakan,
sesungguhnya rumah Luqman adalah sebu ruk-buruk rumah dan lebih daif
dari sarang labah-labah. Suatu ketika beliau pernah ditanyakan mengenai
keadaan terbabit lalu katanya: “Ini sudah cukup banyak bagi orang yang
akan mati.”
Luqman melalui pelbagai peristiwa dalam
kehidupannya, antaranya seperti diceritakan, suatu hari beliau masuk
ber temu Nabi Daud a.s yang sedang membakar baju besi, lalu beliau
ingin bertanya kepadanya namun Nabi Daud men diamkan diri.
Apabila
Nabi Daud menyelesaikan baju besi terbabit dan siap untuk dipakainya,
baginda berkata: “Engkaulah pemakai baju perang yang paling baik.”
Luqman pun berkata: “Berdiam diri itu adalah hikmah (kebijaksanaan), tetapi amat sedikit orang yang melaku kannya.”
Beliau
suka duduk lama bersendirian. Pada suatu hari tuannya lalu di
hadapannya lalu berkata: “Wahai Luqman, sesungguhnya engkau ini sering
kali duduk lama bersen dirian. Sekiranya engkau duduk dengan manusia
ternyata ia lebih baik buatmu.”
Dijawab Luqman: “Bahawa duduk
bersendirian itu aku dapat memahami bagaimana untuk berfikir. Sementara
lama berfikir penunjuk jalan ke syurga.”
Ibnu Kathir menegaskan
ulama salaf berselisih pendapat mengenai diri Luqman, sama ada dia
seorang nabi atau seorang hamba yang soleh tanpa taraf kenabian?
Antara dua pendapat ini kebanyakan mereka berpegang dengan pendapat kedua.
Dipetik
dari Ibnu Abbas katanya: “Luqman bukanlah se orang nabi mahu pun raja,
tetapi beliau seorang pengembala ternakan yang berkulit hitam. Allah
memerdekakannya dan sesungguhnya Dia reda dengan segala kata-kata dan
wasiat Luqman... ”
Mengenai sifat hikmahnya, Luqman al-Hakim
pernah di tanya, lalu beliau menjawab: “Aku tidak meminta sesuatu yang
sudah aku cukupi (ada) dan aku tidak melampau-lam pau dalam sesuatu yang
tidak berkenaan dengan diriku.”
Beiau juga pernah ditanya, dari
siapa mempelajari kata-kata hikmah itu, lalu katanya: “Dari orang yang
jahil dan bodoh. Setiap kali aku melihat suatu keaiban di kalangan
mereka, aku berusaha keras untuk menjauhinya.”
Dalam satu dialog dengan anaknya, beliau ditanya: “Wahai bapaku sifat manakah yang ada dalam diri manusia yang paling baik?”
Luqman menjawab: Agama.
Anaknya bertanya: Sekiranya ada dua?
Luqman: Agama dan harta.
Anaknya bertanya lagi: Sekiranya ada tiga?
Luqman: Agama, harta dan sifat malu.
Anaknya bertanya lagi: Sekiranya ada empat?
Luqman: Agama, harta, sifat malu dan akhlak yang baik.
Anak bertanya lagi: Sekiranya ada lima?
Luqman: Agama, harta, sifat malu, akhlak yang baik dan sifat pemurah.
Anaknya bertanya lagi: Sekiranya ada enam?
Luqman:
Wahai anakku, sekiranya lima sifat ini terkumpul dalam diri manusia,
dialah seorang yang bersih lagi bertakwa. Dia hanya bertuankan kepada
Allah dan menjauhkan diri dari syaitan.
No comments:
Post a Comment