MASA itu emas. Satu ungkapan yang sering disebut
tetapi gagal difahami secara mendalam maknanya oleh kebanyakan kita.
Ungkapan itu secara ringkas menunjukkan masa sangat penting dan perlu
dihargai kerana masa yang berlalu tidak mungkin akan kembali.
Kita
sering mendengar ungkapan ‘janji Melayu’. Ungkapan itu memberi makna
tidak baik kepada orang Melayu yang pasti seorang Muslim. Ungkapan itu
bukan saja menunjukkan sikap tidak menepati janji, tetapi juga sikap
mengabaikan masa di kalangan Muslim.
Ungkapan itu seolah-olah
menunjukkan orang Melayu suka tiba lewat. Di pejabat, majlis rasmi,
tidak rasmi atau kehadiran di mesyuarat, kerap kali ada saja yang tiba
lewat.
Mereka seolah-olah menganggap tiba lewat satu kelebihan dan
tidak langsung rasa bersalah mengabaikan masa yang ditetapkan bagi
sesuatu majlis. Inilah sikap sebahagian besar kita terhadap masa dan
sikap itu perlu diubah.
Ketibaan Ramadan bukan saja memberi
peluang kepada Muslim untuk meningkatkan ibadah dan membuktikan ketaatan
kepada Maha Pencipta tetapi juga membuka peluang menilai dan
memperbaiki diri termasuk menghargai masa.
Bagaimana cara
menghargai masa ketika Ramadan? Mereka yang menyedari kepentingan masa
akan menggunakannya sebaik mungkin, sama ada pada Ramadan mahupun bulan
lain.
Ketetapan masa untuk bersahur, berbuka dan beribadat dianggap rahmat dalam mengatur perjalanan hidup seorang Muslim.
Bukan
itu saja, masa melakukan kegiatan lain seperti bersama keluarga,
bekerja dan bermasyarakat juga digunakan sebaik mungkin kerana Ramadan
bukan saja bulan untuk meningkatkan keimanan tetapi juga memperbaiki
hubungan sesama manusia. Pendek kata, Ramadan adalah masa tepat untuk
memperbaiki lagi apa yang sudah menjadi kebiasaan.
Berbeza
dengan mereka yang tidak tahu menghargai masa. Ketetapan masa yang
diperuntukkan pada Ramadan dirasakan begitu menyeksakan. Mereka perlu
bangun awal untuk bersahur dan tanpa tidur lagi, perlu pula bersiap ke
tempat kerja. Rasa mengantuk dan keletihan terbawa-bawa di tempat kerja
dan ini mempengaruhi seseorang.
Perasaan terganggu itu memberi
kesan dalam perhubungan sesama manusia apabila kata-kata manis dan baik
tidak mampu diucap dan hanya senyum pudar dilontarkan. Dipendekkan
cerita, aturan masa yang ditetapkan pada Ramadan dirasakan begitu
mencabar dan menyeksakan.
Begitu juga penggunaan masa di
kalangan manusia. Walaupun ada pelbagai cara manusia menggunakan masa,
penggunaannya dengan cara yang betul dan bijak sangat dituntut. Apatah
lagi pada Ramadan mulia ini, penggunaan masa sebaik mungkin amat penting
kerana bulan penuh keberkatan ini menjanjikan pelbagai faedah.
Jika
tidak dimanfaatkan masa dengan kegiatan berfaedah, maka terlepas segala
keuntungan yang dijanjikan untuk seluruh Muslim. Oleh itu, masa ketika
Ramadan perlu digunakan sebijak mungkin.
Kebijaksanaan itu
meliputi kemampuan mengatur kegiatan yang dilakukan. Rancang masa untuk
bermunajat, menilai diri, berfikir mengenai ciptaan-Nya dan masa untuk
memenuhi keperluan hidup manusia seperti berehat, bekerja, berkeluarga
dan bermasyarakat.
Matlamat perancangan adalah melihat setiap
kegiatan dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan seterusnya bermanfaat
dalam kehidupan diri serta insan di sekeliling kita.
Penerangan
yang disebutkan di atas menunjukkan masa perlu dihargai dan dihayati
kepentingannya. Ketetapan untuk melakukan sesuatu perkara pada sesuatu
masa ketika Ramadan harus diterima sebagai kaedah mendidik diri setiap
Muslim.
Kerap kali kita mendengar Ramadan adalah bulan yang
penuh dengan unsur pendidikan meliputi pendidikan keimanan, persaudaraan
sesama Muslim, penjagaan kesihatan dan menghargai masa.
Oleh
itu, kita wajar menggunakan kelebihan bulan ini untuk mendidik diri dan
insan yang dikasihi. Pengajaran yang diperoleh hendaklah berterusan,
bukan hanya ‘hangat’ pada bulan mulia ini.
Untuk menghayati
kepentingan masa, hayati pepatah Arab yang menyebut, ‘masa seperti
pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu’.
Oleh
itu, berilah perhatian kepada penjagaan masa dan jangan izinkan diri
ditewaskan masa kerana ini akan merugikan diri. Ingatlah sesungguhnya
orang beriman itu sentiasa menghayati dan menggunakan masa yang ada
dengan sebaik mungkin.
No comments:
Post a Comment