SETIAP minggu kita bertemu hari Jumaat. Hari yang 
sepatutnya dinanti-nantikan setiap umat Islam agar dapat dimanfaatkan 
sebaik mungkin.
  Hari Jumaat melambangkan keutuhan dan kesepaduan 
umat Islam. Seluruh umat berhimpun di rumah Allah bagi meraih keredaan 
dan kerahmatan-Nya.
  
  Sesungguhnya kemuliaan hari Jumaat yang 
juga digelar 'Saiyyidul ayyam' terpahat dalam banyak hadis Rasulullah. 
Antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sebaik-baik hari yang terbit
 padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam, 
dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari itu, dan kiamat akan 
terjadi pada hari Jumaat". (Hadis riwayat Muslim) Pada hari Jumaat juga 
perlu melakukan banyak kebajikan dan berdoa. Sabda Rasulullah yang 
bermaksud: "Pada hari itu (hari Jumaat) tidaklah seorang yang beriman 
meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dimakbulkan 
permintaannya." (Hadis riwayat Muslim) Rasulullah menyatakan bahawa 
antara waktu yang mustajab doa adalah ketika imam duduk di antara dua 
khutbah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya saat yang 
mustajab (berdoa) itu di antara duduk imam antara dua khutbah hingga 
selesai sembahyang Jumaat." (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud) Setiap 
individu Muslim dianjurkan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat.
  
  Amalan membaca surah al-Kahfi menyelamatkan daripada fitnah Dajal. 
Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Barang siapa yang membaca sepuluh ayat
 terakhir dari surah al-Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah Dajal." 
(Hadis riwayat Ahmad) Kita dikehendaki bersegera menghadirkan diri ke 
masjid untuk bersolat. Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: 
"Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan 
solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk 
mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah 
berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika 
kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (Surah al-Jumu'ah ayat 9) 
Namun, selepas selesai solat Jumaat, umat Islam digalakkan untuk 
meneruskan aktiviti dan urusan mereka kembali. Firman Allah yang 
bermaksud: "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu
 di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa 
yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah
 banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan
 di akhirat)." (Surah al-Jumu'ah ayat 10) Begitulah keindahan Islam yang
 diatur dengan sebaik-baiknya mengikut aturan Allah. Perkara itu dapat 
difahami menerusi maksud sabda Rasulullah: "Sesiapa yang mandi pada hari
 Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di 
rumahnya, kemudian dia pergi menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah 
tengkuk orang lain, solat seperti mana yang ditetapkan untuknya, diam 
ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka 
semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam 
tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu." (Hadis riwayat
 Ibnu Hibban dan al-Hakim) Walaupun besar ganjaran yang dihamparkan 
Allah kepada kita pada hari Jumaat, ramai masih alpa beberapa perkara. 
Terdapat individu Muslim yang sanggup meninggalkan solat Jumaat tanpa 
alasan. Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "Barang siapa mendengar 
panggilan azan pada hari Jumaat dan tidak mendatanginya, kemudian 
mendengarnya dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak 
mendatanginya, maka Allah akan menutup hatinya dan menjadikan hatinya 
seperti hati orang munafik." (Hadis riwayat Baihaqi) Namun, bagi mereka 
yang hadir solat Jumaat, pastikan anda menjaga tertib, antaranya berbual
 ketika khatib membaca khutbah.
  
  Sabda Rasulullah yang 
bermaksud: "Jika kamu berkata-kata kepada teman kamu (dengan perkataan) 
'diam' sementara imam sedang berkhutbah, maka kamu melakukan laghw 
(perkara sia-sia)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Mendengar khutbah
 Jumaat dengan teliti serta mengambil peringatan daripadanya ialah 
sesuatu yang dituntut. Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila 
al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan 
sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat." 
(Surah al-A'raf, ayat 204) Hal berkenaan bertepatan dengan firman Allah 
yang bermaksud: "Sesungguhnya ini adalah umat kamu, umat yang satu. Dan 
Aku (Allah) adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku (Allah)." (Surah 
al-Mu'minun ayat 52) 
No comments:
Post a Comment