Pages

Thursday, May 24, 2012

Tegahan mencontohi orang bukan Islam

Berfesyen itu tidak salah tetapi biarlah menepati syariat-Nya. - Gambar hiasan


SAYA mempunyai sedikit kemusykilan mengenai umat Islam yang berpakaian menyerupai seorang paderi, biarawati, atau pope. Perkara ini terlintas apabila saya berpeluang menyaksikan satu demonstrasi membantah kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin baru-baru ini.
Ada seorang dua yang saya kira sebagai pelajar institusi pengajian tinggi berpakaian seperti seorang paderi dan penganut Yahudi, sedangkan jelas pada raut wajah mereka adalah orang Melayu dan apabila saya bertanya namanya, ternyata mereka beragama Islam.
Persoalannya apakah sebagai umat Islam kita boleh berpakaian sebegitu dengan tujuan berlakon menjadi penganut agama lain?
Jawapan
Daripada Abdullah bin Umar, baginda Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dikira daripada kaum tersebut." (riwayat Abu Daud, no: 4031, al-Tabraniy di dalam al-Awsath).
Rasulullah SAW pernah bertanya kepada Anas bin Malik apa persiapan kamu untuk menghadapi hari Kiamat? Anas menjawab tidak banyak wahai Rasulullah, akan tetapi saya sangat mencintai Allah dan Rasul-Nya, lalu baginda bersabda: Seseorang itu akan bersama orang yang cintainya di akhirat kelak. (riwayat Imam al-Bukhari, Adab al-Mufrad, no:270).
Perkataan "menyerupai", dalam hadis yang pertama menjadi kunci perbahasan dalam persoalan yang ditimbulkan.
Adakah dikira menyerupai Yahudi atau Nasrani sekiranya ada di kalangan orang Islam yang berpakaian seperti mereka? Sebelum dijawab ada baiknya kita lihat dulu, kepada beberapa permasalahan. Antaranya, adakah pakaian yang dipakai oleh orang Islam, pakaian yang dikhususkan kepada golongan Yahudi atau Nasrani sebagai pakaian yang khusus untuk ibadat mereka.
Melalui pakaian tadi makruf bahawa ia adalah pakaian ibadat Yahudi dan Nasrani. Sekiranya pakaian tadi tidak berbentuk pakaian khusus untuk ibadat Yahudi dan Nasrani, maka ia tidak menjadi masalah, sekiranya dipakai oleh orang Islam.
Namun dalam lakonan yang dilakonkan oleh beberapa orang pelajar dalam menunjukkan protes mereka terhadap Yahudi yang tidak kenyang dalam menindas orang Islam.
Watak Yahudi dilakonkan, mungkin dengan tidak ada watak tersebut tidak sampai mesej yang hendak disampaikan. Paling penting dilakonkan bukan dengan niat mengajak orang ikut Yahudi, tetapi supaya orang Islam tahu yang menindas orang Islam di Palestin ialah bangsa Yahudi.
Keadaan ini hanya untuk tujuan menyampaikan mesej kepada khalayak. Namun, tidak boleh menjadikan pakaian seperti lelaki Yahudi, Pope dan biarawati.
Di sini kita berpendirian bahawa perbuatan menjadikan pakaian khusus ibadat agama lain sebagai fesyen adalah menyerupai bangsa tersebut, malahan menyerupai pendeta dan ahli ibadat adalah haram.
Dengan demikian orang yang mencontohi mereka akan dibangkitkan bersama mereka. Sedang orang Islam telah ditegah daripada mengikut atau mencontohi orang bukan Islam.
Pada masa yang sama, seolah-olah orang Islam lupa bahawa bangsa Yahudi dan Nasrani tidak akan berdiam diri selagi mana umat Islam tidak hancur.
Cukuplah dengan apa yang kita lihat hari ini, bagaimana orang Islam tunduk dan patuh kepada Yahudi dan Nasrani dalam banyak keadaan, janganlah sampai mencontohi mereka dalam sistem kehidupan.
Puncanya kurangnya ilmu agama dalam diri orang Islam. Cuba sama-sama kita perhatikan banyak mana sunnah Rasulullah SAW yang dapat kita buat dalam sehari semalam.
Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesebuah kaum itu selagi mana mereka tidak mengubahnya… ( al-Ra'd: 11). Maksudnya, apa yang kita lihat hari ini kebanyakannya adalah dengan kehendak kita sendiri.
Pada masa yang sama perkataan "menyerupai" boleh diluaskan lagi dengan memahaminya menyerupai para solehin dan ulama dari kalangan orang Islam. Menyerupai mereka dalam kesungguhan menimba ilmu, dalam menyampaikan dan beramal. Dengan demikian, Allah SWT akan membangkitkannya bersama orang yang dicontohinya.

No comments:

Post a Comment