Pages

Thursday, May 24, 2012

Kisah manusia yang mencari syurga

Noraniza Idris sempat melayan para peminatnya sewaktu mempromosikan buku Tunjukkan Aku Jalan Ke Syurga pada Pesta Buku Antarabangsa 2012 di PWTC, baru-baru ini.



TENTU anda mahu tahu apa yang berlaku seterusnya, bukan? Tentu juga anda mahu tahu siapa yang menceritakan kisah ini, kerana dia tentunya orang yang agak terkenal. Apakah pula dosa yang telah dilakukannya?
Sementara itu, hati sesiapa sahaja pasti akan tersentuh apabila membaca pergolakan perasaan penyanyi lincah, Farra, atau nama sebenarnya Farihah Mohamed Arshad. Kira-kira 10 tahun lalu, nama Farra cukup terkenal melalui lagu Bagaikan Puteri.
Ketika itu Farra adalah bintang baru yang cukup menyinar. Namun tiada siapa tahu, walaupun hidupnya agak mewah, Farra bagaikan terperangkap di sebuah persimpangan.
Memetik kata-kata Farra: "Dalam hidup ini kita perlu memilih hanya satu jalan. Jalan A atau jalan B. Jika saya memilih untuk berada di jalan Allah, saya terpaksa meninggalkan dunia popular saya.
"Sayang pula rasanya meninggalkan dunia glamor yang sudah berada dalam genggaman. Tetapi jika saya memilih dunia, saya takut akan dimurkai Allah.
"Saya berbelah bahagi. Namun hati saya lebih berat kepada untuk berubah. Saya teringat ketika itu, seorang ustaz berkata, siapa yang memilih akhirat, dia akan mendapat kedua-duanya sekali iaitu dunia dan akhirat, tetapi sesiapa yang memilih dunia, dia akan menjadi hamba dunia buat selama-lamanya."
Apa yang berlaku seterusnya kepada Farra?
Inilah keistimewaan buku Tunjukkan Aku Jalan Ke Syurga (TAJKS). Buku terbaharu terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. ini menghidangkan kisah-kisah yang amat menginsafkan dan mengajak pembaca memikirkan pelbagai persoalan.
Bukan sahaja kisah di atas, semua 32 cerita yang dihimpunkan dalam buku ini membawa konsep dan tema yang sama, iaitu keinsafan. Ada yang menakutkan, sebahagian lagi menggembirakan, tetapi tetap mengajak pembaca ke destinasi yang sama iaitu ke jalan syurga, selepas cerita-cerita dari Mekah, Insaf dan Akhirnya Ku Temui Cinta-Mu.
TAJKS merupakan sebuah lagi kompilasi kisah-kisah ketuhanan terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd.
Lebih istimewa, antara yang berkongsi pengalaman di dalam buku ini adalah selebriti-selebriti terkenal dalam bidang seni hiburan tanah air, iaitu Noraniza Idris dan Nora J (penyanyi), Aida Khalida dan Ainina Ahmad B (pelakon), Sham Kamikaze (pemuzik) dan Pian Cecupak (pelawak).
Kisah-kisah mereka itu sebahagian besarnya tidak pernah anda baca di mana-mana media. Gaya persembahannya sangat muda membuatkan kita terasa dekat dan dapat merasai pergolakan perasaan pencerita.
Sangat mengesankan
Cerita-cerita lain yang berkaitan dengan alam kematian, sakaratul maut, pengembaraan minda bawah sedar ke alam ghaib, balasan yang menimpa pelaku-pelaku maksiat dan sebagainya, amat mengesankan.
Barangkali kisah penderitaan serta penyesalan anak-anak gadis yang membunuh bayi adalah yang paling relevan dengan waktu sekarang. Ia wajib dibaca, lebih-lebih lagi oleh golongan remaja yang kini dikelilingi dengan pelbagai gejala sosial.
Kisah-kisah balasan kebaikan yang diperolehi oleh insan-insan yang warak pula membuatkan hati kita berasa tenteram dan menjadi rindu pada-Nya. Semua ini digabung dengan baik, menjadikan TAJKS sebuah buku yang menarik.
Ringkasnya, buku TAJKS adalah sebuah buku yang sangat mengesankan.
Ia memberikan motivasi diri, terutamanya kepada mereka yang hendak berubah ke arah kehidupan yang dituntut oleh Allah SWT.
Paling istimewa, buku setebal 212 halaman ini dijual dengan harga RM12.90 sahaja, sedangkan nilai cerita yang ditampilkan serta manfaat yang boleh diperolehi jika memilikinya, sangatlah mahal.
Anda boleh dapatkan buku ini di kedai-kedai buku dan majalah berdekatan atau hubungi Bahagian Pemasaran Utusan di talian: 03-89243843/3837.

No comments:

Post a Comment