Pages

Thursday, May 24, 2012

Talak halal tetapi dibenci Allah00

SAYA banyak menerima e-mel bertanyakan mengenai perceraian. Berlandaskan kepada pertanyaan demi pertanyaan tersebut saya mengambil keputusan untuk menulis mengenainya.
Penulisan ini mungkin akan dibuat dalam beberapa bahagian kerana bab perceraian ini amat rumit dan panjang. Apatah lagi melibatkan ramai orang.
Perceraian melibatkan kerosakan hubungan silaturahim antara dua keluarga, anak-anak, mahkamah dan masyarakat.
Ia bukan sesuatu yang manis. Tetapi sangat pahit dan perit bagi mereka yang melaluinya. Perceraian yang biasa kita dengar atau yang diamalkan oleh orang Malaysia ialah cerai melalui lafaz talak yang hanya boleh dibuat oleh suami.
Talak adalah hak suami kerana hanya suami yang boleh melafazkannya. (rujuk surah al-Baqarah ayat 229, surah al-Talaq ayat 1 dan surah an-Nisaa ayat 19).
Namun Nabi SAW dalam sebuah hadis bersabda: "Tidak ada perkara halal yang dibenci oleh Allah selain daripada talak." Dan: "Mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa sebab yang sepatutnya, maka haram ke atasnya bau syurga."
Daripada ayat al-Quran dan hadis di atas jelas bahawa perceraian adalah diharuskan namun ia adalah perkara yang paling dibenci Allah SWT. Jika seorang suami melafaz talak kepada isterinya, perbuatan itu tidak berdosa namun ia dibenci Allah.
Tentunya orang yang Allah benci, tempatnya kita tahu di mana. Bagi isteri pula, jika ia memohon cerai tanpa sebab, apatah lagi jika ia melakukan perkara-perkara yang menyebabkan suami terpaksa menceraikannya, maka wanita tersebut tidak akan masuk syurga.
Perceraian adalah jalan terakhir jika semua usaha memulihkan perkahwinan gagal. Ini kerana perceraian memberi kesan buruk bukan saja kepada pasangan suami isteri tetapi kepada anak-anak, keluarga terdekat dan masyarakat.
Dahulu di Malaysia, secara lazimnya, pasangan suami isteri yang bergaduh akan melafaz talak atau mentalakkan isterinya. Jika isteri yang ke pejabat kadi, isteri akan memohon fasakh.
Sehingga hari ini kekeliruan masih berlaku di mana isteri masih pergi ke pejabat agama atau pejabat kadi untuk memohon fasakh. Sedangkan di Malaysia, tempat memohon cerai adalah di mahkamah syariah.
Kekeliruan ini juga berlaku kerana pegawai kaunseling atau khidmat nasihat perceraian berada di pejabat agama dan bukannya di mahkamah syariah. Ada masanya seorang wanita menjadi begitu marah kepada mahkamah syariah kerana proses penceraiannya terlalu lambat.
Tetapi apabila disiasat rupa-rupanya dia masih menghadiri sesi kaunseling di pejabat agama dan kesnya belum didaftar di mahkamah syariah. Ini adalah kejahilan wanita itu sendiri kerana tidak tahu bahawa di Malaysia perubahan telah berlaku bagi undang-undang Islam di mana untuk menuntut cerai, mestilah ke mahkamah syariah dan bukan ke pejabat agama.
Proses kaunseling di pejabat agama juga bukan sesuatu yang wajib. Jika pasangan merasakan mereka tidak boleh bertangguh lagi, maka pergilah ke mahkamah syariah dan mohon bercerai tanpa kaunseling.
Tujuan utama kauseling ialah untuk cuba mendamaikan pasangan supaya tidak jadi bercerai.
Ini kerana Islam mengariskan susun atur cara untuk bercerai dan bukan melafaz talak secara terburu-buru seperti yang dinyatakan dalam surah al-Nisa ayat 19.
Biasanya menasihati satu sama lain dan jika itu tidak berkesan mencari orang tengah atau hakam. Malah sulh atau mediasi juga boleh dibuat bagi mendamaikan pasangan.
Namun dalam banyak kes, pasangan sudah 'bulat hati' untuk bercerai. Nasihat yang diberikan akan menjadi seperti mencurah air ke daun keladi.
Rasanya, Malaysia mempunyai rekod kahwin cerai yang sangat menarik iaitu dari sependek 11 hari ke 45 tahun kahwin dan bercerai.
Memang jumlah perceraian orang Islam meningkat, tetapi ia bukan sesuatu yang membimbangkan. Bagi saya banyak perceraian mungkin kerana pasangan lebih berinformasi dan menyebabkan perceraian dapat diuruskan dengan lebih baik.
Selain itu, mungkin kerana wanita berpendidikan dan mempunyai karier sendiri maka mereka lebih berani meneruskan kehidupan tanpa suami atau mungkin generasi hari ini terlalu banyak makan makanan segera sehinggakan hal nikah-cerai juga seperti makanan segera - cepat, ringkas dan segera.

No comments:

Post a Comment