Pages

Thursday, May 24, 2012

Bengkel perabot jadi realiti

KIRA-kira 10 tahun lalu, kehidupannya sekeluarga penuh ranjau. Siang malam berusaha mencari cahaya untuk kehidupan, tetapi tetap sukar.
Sudah namanya kehidupan, sesiapapun tidak akan dapat lari daripada ujian. Bahkan, ujian itulah yang menjadikan manusia lebih bersyukur kala mendapat nikmat, tidak takbur bahkan lebih beringat.
Jejak Asnaf kali ini mencungkil pengalaman silam Isnun @ Abdullah Paijan, 39, dan juga wawasan masa hadapannya. Isnun yang ditemui baru-baru ini, tidak lokek berkongsi pahit-maung masa lalu. Mudah-mudahan mampu menjadi iktibar buat orang lain, supaya lebih sedar akan nikmat kehidupan yang diberikan Allah SWT.
"Saya mulai dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada tahun 2004. Semasa itu, kehidupan cukup sempit. Bayangkan, saya hidup dengan terpaksa meminjam daripada orang pada setiap bulan. Tanpa sedar, akhirnya jumlah pinjaman saya sudah menjadi RM8,000," bicara Isnun berkongsi kisah silamnya.
Katanya, rumahnya pula tidak seperti rumah orang lain. Apa tidaknya, pada sebelah malam mereka berjaga tanpa elektrik. Ditambah pula dengan keadaan rumah yang belum siap sempurna dan tiada tingkap.
"Lebih sedih, jika menjelang musim raya, saya akan bawa anak dan isteri ke kedai dan kami akan cari kain yang sudah dianggap lusuh atau rosak. Dengan harga kain RM1 semeter, itulah sahaja yang mampu saya beli dan saya akan minta isteri menjahit bagi dibuat baju," kata bapa kepada tujuh orang anak itu.
Namun, ujian paling getir di sebalik kemiskinan itu ialah apabila Isnun sendiri ditimpa penyakit sehingga sebulan terlantar tanpa sebarang pencarian. Ketika itulah kawan-kawan yang simpati, mencadangkan agar Isnun cuba mengadu nasib kepada LZS.
"Saya menggagahkan diri menemui pegawai zakat dan bermula dari tahun 2004, saya mulai disantuni dengan wang zakat. Permulaannya, saya diberikan bantuan pendidikan untuk anak-anak supaya mereka dapat belajar dengan selesa.
"Lanjutan daripada itu, pihak LZS merasakan saya ini harus dibanci. Hasilnya, saya layak dikategorikan sebagai asnaf miskin di LZS. Dengan status itu, saya layak menerima pelbagai lagi jenis bantuan yang disediakan. Beruntung rasanya, kerana kesusahan saya dibantu oleh LZS. Malah tidak dibiarkan melarat terus.
"Memang jelas terasa perbezaannya apabila sudah menerima bantuan daripada LZS. Jika dahulu, kehidupan kami serba susah, kini semua semakin mudah. Anak-anak pun lebih ceria menghadapi hari muka. Maklumlah, mereka tidak perlu risau lagi dengan sekolah, sudah ada yang membantu, insya-Allah," akui Isnun.
Tahun 2006, Isnun kemudiannya mencari pekerjaan baharu di sebuah kilang perabot. Di kilang itu, dia menerima imbuhan bulanan sebanyak RM1,500. Namun, dilihat kepada tanggungannya seramai lapan orang, maka jumlah pendapatan itu jauh daripada mencukupi.
"Walaupun RM1,500 tetapi ia lebih banyak berbanding sebelum ini, kerana dulu gaji saya hanya RM800. Bahkan ada kalanya lebih rendah, kerana saya dibayar berdasarkan hari bekerja. Kerja pula berdasarkan projek," ujar Isnun.
Lalu, sepanjang hampir enam tahun bekerja di kilang perabot itu, Isnun tidak lupa mengutip pelbagai ilmu, kemahiran dan pengalaman. Kini, beliau sudah mahir membuat pelbagai jenis perabot, seperti katil, almari, rak pameran, meja, kerusi dan sebagainya lagi.
Akhirnya, tergerak di hatinya sendiri untuk mencuba bakat menjadi usahawan perabot. Siapa tahu, ia adalah lorong baginya mencari punca cahaya yang lebih terang untuk diri dan keluarganya. Masakan selama-lamanya dia akan bergantung harap dengan orang lain.
"Saya mencuba memohon bantuan perniagaan daripada LZS dan ternyata, LZS tidak ragu dan sangsi dengan kesungguhan saya ini. Buktinya, hari ini LZS telah memberikan bantuan berupa modal perniagaan bagi saya membina sebuah bengkel perabot berjumlah lebih RM20,000. Bagi saya, jumlah ini amat bermakna," katanya.
Isnun terharu dengan sumbangan itu dan baginya, ia adalah satu cara untuk dia merubah masa hadapannya.
"Tahniah saya ucapkan kepada LZS dan juga seluruh pembayar zakat di negeri ini. Usaha anda dan sumbangan anda semua, amat bererti bagi orang-orang seperti saya membina sebuah kehidupan.
"Semoga Allah SWT akan memberikan yang lebih baik untuk anda semua," tuntas Isnun dengan nada penuh kesyukuran.
Nota: Isnun @ Abdullah bin Paijan menerima tempahan perabot kayu dan beliau boleh dihubungi di lot 4200, Jalan Sazuli, Kampung Bukit Hijau, 45800 Jeram, Selangor atau di talian 013-3378700.

No comments:

Post a Comment