Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan  memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat  adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan  lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.
Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga.  Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk  memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia  juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki  yang lain.
Begitu juga dengan isterinya yang kedua.  Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan  penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat  masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah  tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui  masa-masa yang sulit.
Sama halnya dengan isterinya yang pertama.  Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi  kehidupan keluarga ini. dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan  dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya.  Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang  ini tidak begitu memperdulikannya.
Suatu ketika, si pedagang  sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak  lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata  dalam hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku  meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup  sendiri."
Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya,  "Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang  indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan  menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu saja tidak!" jawab  isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi.  Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus  dan menghiris-hiris hatinya.
Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya,  "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir.  Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?". Isteri  ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi  jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya  itu.
Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya,  "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau  selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku  mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku? " Si isteri kedua menjawab  perlahan, "Maafkan aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh  menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan ku buatkan makam yang  indah buatmu." Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang  kini berasa putus asa.
Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku  akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan  meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke  arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang  berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti  orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, "Kalau  saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan  kubiarkan kau seperti ini isteriku."
Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini... ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita.  Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita  supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi  segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang  tersisa saat kita menghadapNYA.
ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.
ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman.  Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu  bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.
DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita.  Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan  kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah  yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah.  Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.
Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari! 

No comments:
Post a Comment