Pages

Thursday, March 15, 2012

Muslimin Acuan Al-Quran

Muslimin Acuan Al-Quran 
Ialah seorang muslimin yang beriman 
Yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah SWT 
Yang sentiasa haus dengan ilmu 
Yang sentiasa dahaga dengan pahala 
Yang solatnya adalah maruah dirinya 
Yang tidak pernah takut berkata benar 
Yang tidak pernah gentar melawan nafsu 

Muslimin Acuan Al-Quran 
Ialah muslimin yang menjaga tutur katanya 
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya 
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya 
Yang sentiasa membuat kebaikan kerana sifatnya yang pelindung 
Yang mempunyai ramai kawan 
Dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang 

Muslimin Acuan Al-Quran 
Ialah muslimin yang menghormati ibu bapanya 
Yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tua dan keluarga 
Yang bakal menjaga keharmonian rumahtangga 
Yang akan mendidik anak dan isteri mendalami agama Islam 
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan 
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menunggu akhirat 
Muslimin Acuan Al-Quran 
Sentiasa bersedia untuk agamanya 
Yang hidup dibawah naungan Al-Quran dan mencontohi sifat Rasulullah SAW 
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara 
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah keatasnya

Muslimin Acuan Al-Quran 
Tidak pernah membazirkan masa 
Yang matanya kepenatan kerana kuat membaca 
Yang suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir 
Yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan 
Yang bangun subuhnya penuh dengan kecerdasan 
Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan 

Muslimin Acuan Al-Quran 
Sentiasa mengingati mati 
Yang baginya hidup didunia adalah ladang akhirat 
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibajai dan dijaga 
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian 

Muslimin Acuan Al-Quran 
Ialah muslimin yang tidak pernah terpesona dengan buaian dunia 
Kerana dia mengimpikan syurga 
Disitulah rumah impiannya 
Bersama wanita acuan Al-Quran 

Mari Fahami Apa Itu Hukum Hudud

Q&A Tentang Hukum Hudud oleh Ustaz Fathul Bari

Soalan :

1. Ada pihak yang mahu laksanakan hudud, manakala ada pihak lain sebaliknya?
2. Benarkah rejam tidak termasuk dalam hukuman hudud?

Pertama sekali apabila kita membicarakan tentang hudud, ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan.

Apakah itu hukum hudud atau hukum-hukum Allah?

Yang tergambar dan digembar-gemburkan dalam fikiran kebanyakan kita ialah potong tangan. Hudud itu rejam orang sampai mati (bagi pelaku zina yang sudah berkahwin), hukum bunuh pancung, hukum sebat dan rotan, salibkan bagi peritiwa hirabah yakni samun dan rompak. Setakat itu yang digambarkan tentang hudud. Kita tidak bercerita dan memberikan kefahaman yang benar kepada masyarakat tentang hudud. Lebih-lebih lagi kepada non-Muslim.

Para ulama memberikan definisi hudud : “Hukuman yang telah ditentukan (jumlah bilangan dan kaedah perlaksanaan) di sisi syara’ dilaksanakan terhadap sesuatu maksiat yang dilakukan, yang melibatkan hak Allah.”

Di sana ada hak Allah dan ada hak manusia. Hak manusia ini yang membezakan antara hukuman hudud dan hukuman qishas. Qishas ialah hukuman balas, sebagai contoh kesalahan mencederakan seseorang menjadi buta akan dikenakan hukuman balas yang sama dengan membutakan mata pelaku kesalahan.

Manakalan hukum hudud adalah hak Allah. Sekali imbas seperti tiada apa-apa kaitan antara mencuri dan hak Allah. Bahkan kalau diikutkan jika boleh barang curian itu dikembalikan, mungkin itu dirasakan lebih baik. Namun begitu, di sisi Islam hukuman had tetap perlu dilaksanakan. Hukuman had tidak boleh dimaafkan. Hal ini berlaku hanya apabila ia dilaporkan kepada pemerintah.

Ini bertepatan dengan apa yang Nabi katakan, “Allah melaknat oleh yang memberi ampun dan meminta ampun (bagi kesalahan hudud)”.(Imam Malik dalam Muwathha, kitab Hudud)

Secara umumnya hukuman hudud ini bertujuan untuk menjaga 5 perkara asas(dharuriyayul khams)yang termasuk di dalamnya menjaga agama, nyawa, harta, keturunan dan akal.

Contohnya:

(1) hukuman mencuri bertujuan untuk menjaga harta.
(2) hukuman zina pula dikenakan untuk menjaga nasab dan keturunan.
(3) al-hirabah (rompakan) bertujuan untuk menjaga harta.

Mungkin ada dikalangan kita merasakan ada hukuman Islam zahirnya kelihatan kejam. Sebagai orang Islam, perasaan ini tidak boleh muncul dalam hati kita walaupun sedikit. Haram hukumnya ada di dalam hati umat Islam, merasakan hukum Islam itu kejam.

Pernahkah kita melihat peragut yang berjaya ditangkap oleh orang awam? Apakah tindakan yang dilakukan tidak sanggup dilihat. Banyak rakaman di youtube menunjukkan penjenayah ini dilayan jauh lebih teruk dari apa yang Islam tentukan.

Islam mengatur hukuman dengan cara yang terhormat. Islam mengatur hukuman untuk memberi rasa insaf kepada pesalah dan masyarakat awam yang menyaksikan hukuman.

Antara kaedah perlaksanaan hukuman hudud ialah dibacakan ayat al-Qur’an tentang hukuman, dibacakan kesalahannya di hadapan orang awam, dan setelah itu didoakan semoga Allah ampunkan kesalahan penjenayah tersebut, dan sekiranya hukuman mati dikenakan jenazahnya tetap diurus dengan cara yang terhormat. Bahkan Islam pelaku kesalahan itu tidak dibenar dicaci, dimaki.

Adakah Rejam Termasuk dalam Hukum Hudud?

Imam Bukhari Rahimahullah dalam Shahihnya:

Telah meriwayatkan kepada kami `Ali bin `Abdillah,telah meriwayatkan kepada kami Sufyan,daripada Az-Zuhri,daripada `Ubaidillah,daripada Ibnu `Abbas radiallahu`ahuma,katanya: `Umar radiallahu`anhu berkata:

"Aku takut akan dipanjangkan zaman untuk manusia, hingga akan ada yang berkata: " Kami Tidak mendapati (hukum) rejam dalam Kitab Allah, lantas mereka akan sesat disebabkan meninggalkan kewajiban yang telah Allah turunkannya, maka ketahuilah sesungguhnya rejam adalah hak ke atas sesiapa yang berzina dan dan dia seorang muhson (sudah berkahwin, janda, duda dll) jika telah tertegaknya bukti, atau mengandung atau pengakuan- Kata Sufyan ( At-Thauri): beginilah aku telah hafal- maka ketahuilah : Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam telah merejam (menegakkan hukum rejam) dan kami pun merejam selepasnya (kewafatannya)"

(HR Bukhari no:6829, Kitab Hudud, bab Pengakuan berzina, Muslim no:1691, Kitab Hudud,Bab Rejam Janda yang berzina, dan ini lafaz Imam Bukhari)

Hal ini telah dinukil secara ijma’ oleh ahli ilmu. Kecuali beberapa ilmuwan semasa yang mereka melihat agak kurang sesuai hukum rejam itu dilaksanakan ketika ini. Lantas mereka mengalihkan hukuman rejam itu dari hudud kepada ta’zir. Atas alasan masyarakat hari ini tidak punya kekuatan iman untuk melaksanakan hukuman ini dan melihat kepada suasana.

Saya berpendirian, bahawa hal ini tidak tepat. Ini kerana hukuman had adalah ketetapan dari Allah seperti dijelaskan,

“Ini adalah ketentuan hukum Allah, dan jangan kamu melanggarnya.”(Surah At-Talaq, ayat 1).

Ini adalah ketetapan kadar yang datang dari syara. Oleh sebab itu, para ulama’ ahlus sunnah terdahulu telah ijma’ tentang hal ini. Tidak ada khilaf dari kalangan mereka kecuali sebilangan yang tidak dikira kedudukan mereka.

Perlaksanaan Hukum Hudud

Berikut merupakan contoh perlaksanaan hukuman hudud di Arab Saudi.

Seorang lelaki dikenakan hukum qishas kerana membunuh seorang lelaki lain. Pada ketika mangsa dibunuh, dia meninggalkan seorang isteri yang sedang hamil. Perlaksanaan hukuman bunuh balas ditunda sehingga wanita itu melahirkan anak dan anaknya dewasa. Ini kerana pihak mahkamah mahu mendapatkan keputusan dari anak itu sama ada mahu memaafkan kesalahan bunuh itu (dengan bayaran ganti rugi : diyat) atau sebaliknya. Hal ini berlaku kerana di dalam Islam ‘kemafaan’ itu lebih didahulu dan diutamakan berbanding hukuman. Cukup mendapat kemaafan dari salah seorang ahli waris untuk menolak hukuman qishas yang dikenakan. Ini antara conoth keindahan hukuman Allah yang tidak ditampilkan kepada masyarakat.

Yang selalu digembar-gemburkan ialah hukuman potong tangan, rejam dan hukuman pancung sahaja.

Polemik Hudud

Kalau sebelum ini kita boleh mengadakan kempen tentang NKRA, KPI, Islam Hadhari, Satu Malaysia atau negara berkebajikan, maka sepatutnya juga membuat kempen untuk memberi penerangan tentang hudud.

Apa yang berlaku ialah di satu pihak sibuk hendak laksanakan. Manakala di satu pihak yang lain pula, merasakan ia masih belum sesuai. Jika tidak sesuai sepatutnya kita kemukakan apakah perkara-perkara yang perlu dilakukan. Kita tidak boleh berhenti sekadar menyatakan ’tidak sesuai’. Seharusnya kita berikan satu alternatif, seperti menubuhkan suruhanjaya atau badan tertentu yang berkecuali. Ini adalah kerana ia urusan Islam dan bukan urusan parti semata-mata. Undang-undang ini tidak akan dilaksanakan oleh parti sebaliknya melalui umat Islam itu sendiri.

Kita boleh undang pakar-pakar undang-undang Islam untuk duduk bersama berbincang, begitu juga wakil-wakil dari Negara yang sudah berpengalaman melaksanakan hudud dan juga pakar perlembagaan untuk melihat ruang-ruang dalam perlembagaan yang boleh dibaiki untuk melaksanakan hukum hudud ini.

Jika hal ini tidak berlaku, pihak yang menyatakan perlaksanaan hudud ini masih belum sesuai akan dianggap dan dituduh sebagai anti-hudud.

Di suatu pihak lain pula yang bersungguh-sungguh mahu melaksanakan hudud, apakah usaha penjelasan yang telah kalian lakukan kepada masyarakat? Dan apakah keutamaan yang paling mendesak dalam masyarakat? Dalam keadaan kelab malam masih banyak, pusat urut masih banyak beroperasi dan arak masih dijual secara terbuka dan mudah diperoleh.

Sedangkan khalifah Umar al-Khattab pernah menangguhkan hukuman potong tangan kepada pencuri pada musim kemarau. Ini menunjukkan bahawa perlaksanaan hukum diraikan mengikut suasana. Kalau suasana tidak menutup kepada pintu-pintu yang membawa kepada maksiat, maka tidak boleh dilaksanakan hukum ini. Perlu diberikan kefahaman agama dan menutup ruang-ruang menjurus kepada maksiat. Justeru itu kita melihat hukum ini banyak dilaksanakan setelah hijrah Nabi ke Madinah, setelah umat faham tentang Islam. Untuk itu, buat tempoh ketika ini penjelasan adalah perkara yang penting. Tanpa penjelasan masyarakat akan terus berkeras dengan pendirian masing-masing dan boleh mengakibatkan perpecahan.

Apabila kita berbicara tentang agama kita tidak boleh prejudis dan tidak boleh ada kecenderungan kepada parti tertentu atau kelompok tertentu. Apabila kita mengulas tentang agama kita, maka kita bercakap kerana agama kita. Tidak ada alasan lagi untuk kita berpolitik dalam isu-isu sebegini. Ini adalah hukum Allah swt.

Sesi soal jawab Kuliah Ringkasan Sahih Bukhari 29 September 2011 di Yayasan Ta’lim.

Disalin secara bebas dari rakaman : http://www.youtube.com/watch?v=jfVP-25Xcfs

Diedit oleh : Abu Abdillah Riduan Khairi, Biro Penerbitan dan Multimedia iLMU 

Monday, March 12, 2012

Tak mahu hamil lagi


ISTERI saya mengadu tidak larat untuk mengandung dan bersalin lagi selepas ini. Kini usianya sudah menjangkau 36 tahun dan kami sudah memiliki empat cahaya mata.
Adakah Islam membenarkan seseorang mengikat saluran peranakan untuk mengelak daripada mengandung? 
FIRDAUS,
Kuala Lumpur
 

ISLAM membenarkan pencegahan kehamilan dalam keadaan tertentu. Antaranya jika kehamilan itu mendatangkan ke�mudaratan kepada ibu atau ibu mempunyai penyakit di bahagian rahim.

Menjarakkan kehamilan dibenarkan bagi memulihkan kesihatan ibu. Biasanya antara dua tahun.

Mengikat saluran peranakan (tiub falopio) menerusi kaedah ‘tubal ligation’ dibenarkan apabila ia benar-benar perlu dan mendapat nasihat daripada doktor Muslim.

Ini kerana ia berkemungkinan mendatangkan keburukan kepada ibu pada masa akan datang. Anda berdua boleh berbincang dan meminta pandangan doktor pakar kaedah
lain bagi menjarakkan kehamilan.

Jatuh talak jika dilafaz


SAYA sering bertengkar dengan suami kerana masalah cemburunya terhadap saya dengan bekas kekasih sebelum ini.
Kini saya sedang mengandung lima bulan anak sulung kami. Suami tidak memberi peluang langsung kepada saya dan bekas kekasih walaupun kami hanya berhubungan sebagai kawan. 
Dia bertaklik jika saya masih berhubung dengan lelaki itu, akan jatuh talak terhadap saya.

Malah jika timbul masalah kecil pun dia tetap berkata akan melepaskan saya selepas melahirkan anak nanti. Perkara itu membuatkan saya bingung memikirkan apakah nasib selepas melahirkan anak kelak.

Adakah jatuh talak jika suami berkata sedemikian selepas saya bersalin nanti?

HALEEDA,
Selangor




BERDASARKAN pemahaman saya, suami puan menyatakan hasrat untuk menceraikan puan selepas bersalin.

Bagaimanapun, talak tidak jatuh selagi suami tidak melafazkannya selepas itu.
Anda perlu banyak memohon doa kepada Allah supaya rumah tangga kekal dan tidak akan berlaku perceraian.

Cuba selesaikan masalah utama anda iaitu perasaan cemburu suami kepada bekas teman lama. Berjanji dengan suami untuk tidak lagi berhubung dengan bekas kekasih anda itu.

Berilah kasih sayang sepenuhnya buat suami dan anak yang bakal dilahirkan itu nanti.

Islam pentingkan hubungan baik


ADAKAH kita patut memaafkan seseorang jika dia pernah menghamburkan kata-kata kesat kepada kita sedangkan dia tidak pernah berasa kesal dan memohon maaf.

Walaupun saya sangat marah dengan tindakannya itu tetapi alhamdulillah, saya tidak pernah membalas balik atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya. 

Saya juga tidak pernah mengganggu hidupnya selama ini. Hal itu terjadi kerana teman lelaki saya tidak berterus terang dengan saya.

Saya amat sayangkan dia dan tidak mahu melepaskannya kepada wanita lain.

FARAH,
Kuala Lumpur



ISLAM amat mementingkan hubungan baik sesama manusia. Setiap individu perlu menjaga tingkah laku dan kata-kata mereka.

Perbuatan mencaci, mengherdik atau menghina antara manusia amat dilarang dalam Islam. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang
yang zalim” (Surah al-Hujurat ayat 11).

Islam menganjurkan supaya kita sentiasa bermaaf-maafan sesama sendiri lebih-lebih lagi jika ia membabitkan hubungan antara keluarga dan sahabat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nur ayat 22).

Mudah memaafkan kesalahan orang lain pastinya seseorang itu dapat hidup dengan tenang dan bahagia kerana kita percaya Allah itu Maha Adil.

Tiga syarat mandi wajib


SAYA remaja perempuan berumur 24 tahun ingin mengetahui cara mandi wajib yang sebenar kerana masih berasa was-was dengan apa yang saya lakukan selama ini.
Apa yang saya lakukan turut berbeza dengan kawan yang lain. Sebab itu, saya mahu tahu cara terbaik yang perlu dilakukan setiap wanita untuk mandi wajib yang betul dalam Islam. 
SOFEA,
Johor
 

MANDI wajib mempunyai peraturannya dan perlu diikut. Pertama, niat dengan lafaz ‘sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala’ atau ‘sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala’.

Bagi wanita adalah lebih lagi untuk menentukan mandi wajib itu kerana haid dan nifas ketika niat. Niat hendaklah dilakukan ketika air mula sampai ke badan.

Kedua, menghilangkan najis di badan sama ada yang jelas (‘ayni) atau tidak jelas (hukmi). Ketiga, menyampaikan air ke seluruh anggota badan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.

Apabila anda menunaikan ketiga-tiga perkara itu, mandi wajib anda menjadi sah.
Antara perkara sunat yang boleh dilakukan ketika mandi wajib termasuk (1) mengadap kiblat (2) membaca basmalah (3) membasuh dua tapak tangan (4) mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum mandi (5) menggosok seluruh anggota badan dengan tangan (6) berturut-turut (muwalat) tanpa putus-putus (7) tertib dengan mendahulukan perkara yang perlu didahulukan dan (8) membasuh sebanyak tiga kali (Haji Mohamed bin Jusoh, 1990).

Perkara sunat ini dilakukan untuk mendapat kesempurnaan dan ganjaran pahala

Sunday, March 11, 2012

4 Jenis Perempuan Yang Akan Menjadi Penghuni Neraka...

Assalamualaikum warahmatullah... 

Bismillahirrahmanirrahiim... 

Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan dalam kehidupan kita sama ada secara kita sedar ataupun secara tidak sedar. Dan sebaik-baik manusia ialah manusia yang segera berubah untuk memperbaiki kesilapan diri. Berikut adalah:

4 jenis perempuan yang akan menjadi penghuni neraka.

1. Perempuan yang jahat mulutnya dan perbuatan atas suaminya.

a. Terlalu banyak komplen. Ada sahaja yang tidak kena.
” Abang ni pun satu, beli ikan kecil-kecil sangat. Belilah yang besar sikit. Susah nak siang. ” komplen Lisa pada Yusry. Esoknya..
” Abang ni, beli ikan besar sangat, gelilah nak makan.” Komplen Lisa lagi. Ada sahaja yang tidak kena pada Yusry, suaminya.
Suka memburuk2an suami dibelakang suami samada kpd ibu bapa, sedara mara atau kawan2nya.

b. Curang pada suami.
Ketika suami tiada di rumah kerana pergi kursus, balik kampung, maka si isteri mengambil peluang dengan membawa lelaki lain masuk ke dalam rumahnya. Si isteri membuat perkara haram atau bergayut atau berchatting dgn lelaki lain.

c. Menyakitkan hati suami dengan mengungkit segala kekurangan suami setiap hari.
” Sedarlah diri awak tu, kos perkahwinan pun saya yang keluarkan. Nak harapkan awak dan keluarga awak, tak merasalah hidup senang seperti sekarang ni tau.” sehingga suaminya tidak terkata apa-apa.

2. Perempuan yang membuat suaminya barang yang tidak mampu (memperbodohkan suami, memaksa suami membuat perkara yang di luar kemampuan suami).

a. Menggunakan ilmu hitam agar suami patuh dan ikut segala kemahuan isteri.
” Itulah engkau, kalau dari dahulu, kau dengar cakap aku, beri suami kau makan nasi kangkang, sudah tentu sekarang ni kau tidak dimadukan. ”

b. Memaksa suami untuk membeli sesuatu di luar kemampuannya atau suaminya mampu tapi suami minta tangguhkan dulu sebab ada perkara lain yg lebih perlu.

” Abang, saya tak tahu, raya nanti saya nak kereta. ”
” Abang mana mampu yang. Yang tahukan, hutang kereta yang ada ni pun belum habis pembayarannya. ”

” Itu saya tak tahu. Yang saya tahu, saya nak kereta, saya nak kereta.”

3. Perempuan yang tidak mahu menutup aurat. Yang memakai perhiasan untuk tujuan bermegah-megah.
” Amboi, cantiknya isteri abang. Bila bergaya nak keluar rumah, mengalahkan artis nak ambil award.”
” Mestilah, bila orang tanya, isteri siapa yang cantik, bergaya, rambut ikal mayang tu..ha..abang juga yang akan dapat namakan. ”
” Iya tak ya juga. Bangga abang ada isteri cantik macam kamu ni.”

4. Perempuan yang tiada cita-cita melainkan makan, minum dan tidur.
Di suruh solat, tak nak. Di suruh berpuasa, tak nak. Di suruh belajar membaca Quran tak nak. Di suruh bertudung, tak nak. Apatah lagi hendak menutup aurat. Hidupnya hanya untuk bergembira dan berseronok. Hari-harinya di habiskan dengan berseronok, makan, minum dan tidur.
Semoga artikel ini ada manfaatnya untuk semua. Janganlah kita meninggalkan berpesan2 dan nasihat- menasihati dengan kebenaran... 

Nota : Sumber artikel, ceramah Ustaz Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz

Permudahkan Nikah Cegah Penzinaan.


Permudahkan Nikah Cegah Penzinaan

1. Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini , Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj" dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

2. Taysir Az Ziwaj ialah "Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

3. Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

4. Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui .

An Nuur : Ayat 32

5. Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :

  • Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan
6. Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagaiNikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :

  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad [ Ijab Qabul ]
cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :

  • Masih menuntut di kolej atau uniersiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

7. Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

8. Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

9. Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

10. Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

11. Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

12. Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

13. Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

14. Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

15. Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

16. Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak ,tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti .

Wednesday, March 7, 2012

Pelihara tujuh anggota badan


UMAT Islam wajib memelihara tujuh anggota mereka iaitu mata, telinga, lidah, tangan, kaki, perut dan kemaluan untuk kesejahteraan dan keselamatan di dunia dan akhirat.

Semua anggota itu adalah suatu nikmat dan perlu kita syukuri.

Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat yang Allah beri), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih. (Surah Ibrahim, ayat 7)

1) Mata ? untuk membaca al-Quran dan melihat perkara yang baik dan tidak berunsur maksiat
seperti bahan lucah atau aurat yang diharamkan kita daripadanya

2) Telinga ? mendengar sesuatu yang baik.

3) Lidah ? perbanyakkan mengucapkan zikir, puji-pujian kepada Allah dan menghindari
kata-kata nista, mengumpat dan mengeji orang.

4) Tangan ? digunakan ke arah kebaikan bagi diri dan kebajikan orang lain,
bukan untuk perkara haram.

5) Kaki ? untuk berjalan ke tempat yang baik, seperti masjid, surau, sekolah dan
ke tempat lain bagi mencari ilmu, bukan ke tempat maksiat.

6) Perut - mengisi makanan yang halal dan tidak berlebihan. Makanlah untuk
menguatkan tubuh bagi memudahkan beribadat kepada Allah.

7) Kemaluan ? untuk tujuan yang diredai Allah dan menghindari zina dan rogol.

Monday, March 5, 2012

Mengagung-Agungkan Rasulullah Di Bulan Kelahirannya

Dah 3 hari kita di bulan kelahiran Rasulullah. Mungkin kita boleh banyakkan bertasbih, bertahmid dan berselawat, memuji Nabi Muhammad Sallallahualaihi Wassalam. Saban tahun kita akan menyambut maulid atau maulud nabi tapi yang sedihnya kita sekadar mengingati Nabi pada masa itu sahaja. Cuti am sempena Maulidul Rasul tahun ni, back2back dengan Thaipusam. Yang kita tau, seronok dapat cuti. Agaknya jika tiada sambutan memperingati maulid .. lagilah .. agaknya nak sebut Rabi'u-(a)l_auwal pun tidak terkeluar bunyi .. bergulung lidah!

Sambutan memperingati Maulid Nabi SAW ini .. suatu tarbiyah .. suatu pendidikan .. belajar menghargai apa yang dikurniakan Allah SWT .. belajar memperingati satu tarikh yang sangat penting dalam sejarah kehidupan beragama .. belajar menyingkap kembali detik-detik peristiwa sejarah yang membawa kesan dalam kehidupan manusia sejagat .. belajar meng appreciate atas terjadinya suatu peristiwa yang telah begitu banyak mendatangkan kebaikan diseluruh alam berzaman-zaman .. peluang untuk setiap kita review .. setakat mana kita mempunyai info mengenai seorang insan terpilih dan apa juga yang dilaluinya .. diperjuangkannya .. disampaikannya .. dilaksanakannya .. dirintisnya .. diwasiatkannya .. untuk kita lanjutkan .. untuk kita teruskan .. untuk kita hayati .. dalam ruang lingkup kehidupan yang serba sementara ini!


Sirah Baginda boleh diulangkaji .. dirujuk semula .. dihijaukan semula dalam ingatan .. disuburkan semula dalam jiwa .. dipanaskan semula dalam semangat jihad! Bahawa kehadiran setiap kita hari ini .. bukan sekedar untuk bermain-main .. bukan sekedar untuk bersenda gurau .. bukan sekedar untuk mengisi suatu ruang masa .. bukan sekedar untuk melalui suatu proses hayat .. tetapi .. ada suatu misi yang mesti kita capai .. ada suatu tugas yang perlu kita laksanakan .. ada suatu amanah yang perlu kita tunaikan! Bahawa insan yang diutus sebagai rahmat seluruh alam telah wafat .. bahawa kita adalah ummat Baginda SAW .. bahawa kita ada kerja yang perlu dilakukan ..

[Kamu semua adalah sebaik-baik ummat yang dikeluarkan untuk seluruh manusia, kamu menyuruh kepada kebaikan, dan kamu menghalang kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah]!

Jika kita benar kasih Baginda Nabi SAW .. mengapa tarikh lahirnya tidak kita ingati .. mengapa tarikh kenabiyannya tidak kita syukuri .. mengapa tarikh hijrahnya tidak kita pelajari .. mengapa tarikh kewafatannya tidak kita tangisi .. mengapa perjuangannya tidak kita contohi .. mengapa kerisauannya tidak kita ambil perhatian .. mengapa harapannya tidak kita jadikan kenyataan .. mengapa sunnah-sunnahnya tidak kita hidupkan?

Mengapa kita lebih peka atas tarikh-tarikh lain yang bersifat duniawi ..kita lebih ingat tarikh valentine's day .. kita lebih ingat tarikh April Fool .. .. kita lebih ingat tarikh itu ini yang sangat ciput kesannya .. malah negatif pula akibatnya .. untuk dunia dan akhirat kita?

Benar .. semua itu bukan bermusim ... detik demi detik .. jam demi jam .. hari demi hari .. namun manusia kadang alpa dan terlalai .. hayal dan terpesona dengan pujukan dan pesona rona-rona kehidupan dunia modern .. .. so .. adanya majlis atau acara sambutan seperti memperingati Maulid .. merupakan satu station atau satu checkpoint yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan berkenaan .. warm up semula .. sebelum meneruskan tapak-tapak teguh ke medan pengurbanan dan perjuangan .. selagi hayat dikandung bada. Setidak2nya buat kata Ustaz Don Danial..perbanyakkan baca Selawat Syifaa, Selawat Fatih, Selawat Munjiyat dan macam2 selawat lagi..  

Soal Jawab | Ragu solat qasar, jamak


SAYA mempunyai kemusykilan berkenaan solat jamak dan qasar. Dari pemahaman dan pengetahuan saya, solat itu boleh dilaksanakan jika jarak perjalanan melebihi dua marhalah atau 90 kilometer (km).
Jika saya dalam satu perjalanan yang jauh dan berhenti seketika untuk mengerjakan solat Zuhur kemudian dijamakkan dan qasar dengan Asar. 
Apa yang saya tahu jika saya sampai ke rumah sebelum masuk waktu Asar, bermakna solat jamak Asar saya tadi terbatal dan perlu solat Asar semula dengan empat rakaat seperti biasa.

Tetapi, saya keliru kerana ada pendapat mengatakan tidak perlu solat Asar semula kerana sudah dilaksanakan dalam perjalanan tadi. Jika saya ingin ke Pahang dari Ipoh, tetapi singgah bermalam di Kuala Lumpur selama dua hari sebelum meneruskan perjalanan ke Pahang, adakah saya masih boleh meneruskan solat jamak dan qasar?

Bagaimanakah cara pengiraan hari bagi melakukan solat jamak dan qasar itu?

ABDUL HAMID,
Perak 




ISLAM memberi keringanan bagi orang musafir untuk melakukan solat fardu dengan menjamak dan menqasarkan berlandaskan syarat tertentu.

Apabila sudah melaksanakan tanggungjawab seperti mengerjakan solat Zuhur dan Asar secara jamak dan qasar, pelaksanaan kewajipan solat sudah sempurna dan tidak perlu diulangi lagi seperti situasi di atas tadi.

Dengan kata lain, ia tidak terbatal hingga terpaksa mengulangi solat Asar.
Dalam keadaan bermusafir, menjamak dan menqasar solat boleh dilakukan selama tiga hari tiga malam apabila tidak berniat untuk menetap (bermukim).

Anda boleh melakukan solat jamak dan qasar ketika di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Pahang. Kemudahan untuk menunaikan solat secara jamak dan qasar ada dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa ‘mengqasar’ (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 101)

Soal Jawab | Nazar perlu segera ditunaikan


ADAKAH nazar mesti ditunaikan terus atau boleh dilakukan secara beransur-ansur?
HAZWANI, Johor 


NAZAR adalah janji atau sumpah untuk berbuat baik. Dalam istilah fekah, nazar bermaksud mewajibkan diri untuk melakukan perkara yang tidak wajib dalam syarak demi mendekatkan diri kepada Allah dengan menyebut lafaz menunjukkan sedemikian.

Menurut Sayyid Sabiq (2000: III: 86) terdapat dua jenis nazar iaitu nazar yang bersyarat dan tidak bersyarat. Contoh bersyarat ialah `apabila aku sembuh daripada penyakit, aku akan memberi makan tiga orang miskin’.

Apabila sembuh daripada penyakit, nazarnya itu mesti ditunaikan terus. Jika seorang bernazar tanpa syarat seperti bernazar untuk sembahyang dua rakaat, dia perlu segera menunaikannya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya, dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya...” (Surah al-Hajj ayat 29)

Jika masih belum menyempurnakannya, anda perlu segera berbuat demikian kerana ia seperti hutang yang perlu dilunaskan.

Apabila gagal menyempurnakan atau menarik balik, maka wajib membayar kifarah.

Soal Jawab | Lafaz talak tak jelas


SAYA bertengkar dengan suami, baru-baru ini dan dalam pertengkaran itu, suami berkata kepada saya ‘lebih baik saya lepaskan awak.’
Adakah itu termasuk dalam lafaz talak dan sah atau tidak lafaznya kerana ia berlaku melalui telefon. 
MIMIE,
Selangor
 

MEMANDANGKAN kata-kata termasuk dalam kategori lafaz tak sarih (jelas) dan hanya berbentuk cadangan semata-mata, talak tidak jatuh.

Bagaimanapun, penjelasan suami perlu diminta sama ada dia menceraikan puan atau tidak.

Perlu diingat bahawa setiap pasangan perlu mengawal diri daripada perasaan marah akibat dari pertelingkahan kecil.

Hidup berumahtangga memang perlu banyak bersabar.

Syaitan sentiasa mencari jalan menghancurkan perkahwinan dengan perceraian.

Soal Jawab | Tugas urus perkara mungkar


ISTERI saya seorang yang bekerjaya dalam sebuah syarikat telekomunikasi antarabangsa. Antara tugasnya ialah menyelaras perkara seperti ‘kick off meeting’ dan ‘annual dinner’.
Semuanya menjurus kepada kemungkaran seperti pendedahan aurat, pergaulan bebas, bersentuhan lelaki perempuan dan hiburan yang melalaikan. 
Program berbentuk keagamaan tidak pernah dijalankan walaupun diterajui orang Islam dan hampir 90 peratus pekerjanya Melayu Islam.

Berhak atau tidak saya mempersoalkan kerjayanya di situ? Apakah nasihat terbaik Dr boleh berikan kepada saya untuk menasihati isteri saya ini?

BAD,
Kuala Lumpur



SECARA umumnya, Islam membenarkan seorang wanita bekerja lebih-lebih lagi dalam lapangan yang memerlukan khidmat mereka seperti guru, jururawat dan doktor.

Apabila seorang wanita menjadi seorang isteri, tugas yang utama ialah menguruskan rumah tangga, mendidik dan membesarkan anak-anak dan menjaga kebajikan suami pula.

Jika isteri ingin bekerja, ia dibenarkan dengan keizinan suami. Tujuannya ialah menambah pendapat dan menampung perbelanjaan keluarga.

Di sini perlu ada kerjasama dan persetujuan dalam keluarga itu dalam merancang serta mengurus keluarga dan anak-anak.

Kerjaya yang diceburi pula dibenarkan dalam Islam. Dalam masalah ini, isteri boleh boleh berperanan berdakwah dengan mengubah acara tahunan kepada lebih Islamik.

Ini boleh dibuat secara perbincangan dan memberi cadangan kepada pihak atasan.
Setiap orang Islam bertanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan menentang kemungkaran.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu hendaklah dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu hendaklah dengan hatinya.
Namun, yang demikian ini adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim).

Seterusnya, jika teguran dan cadangan tidak diendahkan, isteri perlu meninggalkan atau tidak menyertai majlis sedemikian.

Ini kerana ia boleh merosakkan akhlak diri sendiri dengan terus menyertai majlis yang dipenuhi dengan kemungkaran seperti pendedahan aurat, pergaulan bebas, bersentuhan lelaki perempuan dan hiburan yang melalaikan itu. Itulah mungkin selemah-lemah iman.

Soal Jawab | Suami keliru isteri nusyuz


JIKA seorang suami diamanahkan arwah bapa mentuanya untuk menjaga keluarga isterinya, sedangkan isterinya memaki hamun serta tidak menghormati suaminya, apakah yang patut suami lakukan?

Kedua, suami tahu yang isterinya nusyuz dan banyak nasihat diberikan, tetapi isteri masih tidak berubah. 
Bapa suami juga banyak menasihati suami menceraikan isterinya, tetapi suami enggan berbuat demikian. Apakah jalan terbaik kepada permasalahan ini?

ROSIDI,
Melaka 


MENURUT al-Quran, lelaki adalah pemimpin bagi wanita. Ini kerana Allah memberi beberapa kelebihan kepada seorang lelaki, antaranya menanggung nafkah bagi wanita.

Bagi seorang wanita yang bergelar isteri, ia perlu taat kepada suami dan memelihara maruah diri terutama apabila suami tiada bersama.

Jika isteri tidak bersifat seperti yang dianjurkan Islam atau mungkin terlanjur (nusyuz), al-Quran memberi beberapa jalan menyelesaikan soal isteri bermasalah.

Antaranya, menasihat isteri secara baik. Ini sudah saudara lakukan dan boleh diulangi jika perlu. Seterusnya al-Quran mencadangkan suami memulaukan isteri daripada tempat tidur.

Dengan kata lain, suami perlu mengasingkan diri buat sementara daripada tidur bersama. Ini sebagai pengajaran kepada isteri.

Mudah-mudahan isteri kembali taat kepada suami dengan berbuat demikian. Ia boleh dilakukan sama ada secara langsung dengan memberitahu isteri atau tidak langsung, iaitu dengan terus tidur secara berasingan.

Jika isteri masih tidak taat kepada suami dan sikap derhaka (nusyuz) makin menjadi-jadi, tindakan berbentuk kekerasan boleh diambil dengan memukul secara betul dan bukan bertujuan mencederakan.

Kadangkala ada isteri yang mempunyai sifat ‘jahat’ berlebihan. Hanya dengan tindakan tegas dan keras membawa isteri kepada kebaikan.

Ini antara jalan-jalan yang diajar Islam. Semuanya itu dijelaskan dalam al-Quran, maksudnya: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki atas wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan dari harta mereka. Maka wanita yang salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara dirinya ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah. Dan wanita-wanita yang kamu bimbang melakukan nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka dan pulaukanlah mereka di tempat tidur dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka taatkanmu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Surah an-Nisa’ ayat 24)

Agama ajar manusia hidup bersistem

Wujud peradaban mulia dari segi jasad, roh bentuk masyarakat sempurna

SELAMAT bertemu lagi. Perkongsian saya pada minggu ini agak berat pengisiannya. Tetapi, saya fikir kita perlukan perbincangan ini untuk dijadikan dasar kepada beberapa perkara yang sudah sekian lama dan berterusan diperdebatkan dalam khalayak kita. Tujuan tulisan saya pada minggu ini ialah untuk membawa pembaca kepada falsafah atau dasar dan prinsip di dalam sesuatu budaya atau peradaban. Saya mahu pembaca sama-sama berfikir untuk menjadikan penghuni negara ini yang baik budi dan pekertinya serta membina budaya dan peradaban negara yang murni dan seterusnya menjadikan tanah air ini tempat yang teratur sistem sosialnya.

Saya impikan setiap ahli masyarakat memberi sumbangan. Saya impikan setiap kita menyedari hakikat bahawa kewujudan kita adalah bagi meneruskan kelangsungan agama, bangsa dan negara kita – bukan semata-mata wujud untuk mencari kekuasaan dan kemewahan. 

Saya impikan setiap kita sedar tanggungjawab utama ini. Oleh itu perjuangan setiap kita adalah untuk kesentosaan negara tercinta, bukan untuk kepentingan diri sendiri atau ahli keluarga kita saja.

Tanggungjawab utama kita adalah untuk menjadikan budaya dan peradaban kita yang sentosa dan sempurna dari segi jasad dan rohnya. Meletakkan keduanya secara bersama dan seiring dengan tujuan supaya kita mempunyai peradaban yang bukan saja sempurna fizikal tetapi tenteram rohaninya. 
Kita mahukan negara yang mempunyai prasarana fizikal mencukupi (bahkan baik dan mewah). Pada masa sama kita juga mahukan peradaban yang mempunyai roh aman dan tenteram – jauh daripada jiwa yang kacau.

Kita tidak dapat menafikan bahawa peradaban yang mementingkan pembangunan jasad saja, (tanpa roh) boleh memberi manfaat dari segi fizikal dan materialnya. Kita lihat sudah banyak pembangunan fizikal di dalam peradaban yang memisahkan roh daripada jasadnya.

Kita lihat ini dalam peradaban Barat yang disandarkan kepada sekularisme atau pemisahan antara negara dan agama. Namun, apa yang didapati ialah tanpa makanan rohani, penghuni di dalam peradaban ini akan menjadi bankrap moralnya dan kucar-kacir aturan sosialnya. Peradaban sebegini akan melahirkan masyarakat yang lucut moral, mementingkan diri serta hilang harga diri.

Oleh itu, sekiranya peradaban negara ini dibina atas konsep kerohanian yang tidak jelas, atau bersandarkan kepada kebendaan dan menjurus kepada pemisahan antara jasad dan roh umpama falsafah sekularisme, maka sudah tentu peradaban kita juga akan menemui pengakhiran atau simpulan serupa. 

Dalam memperkatakan kedudukan roh dalam sesuatu peradaban, maka kita tidak boleh lari daripada menuntut pertolongan daripada agama atau ketuhanan. Agama dan ketuhanan itu mengajar manusia kepada hidup bersistem.

Melatih manusia kepada sistem hidup yang dikawal oleh satu sumber kuasa di luar kemampuan manusia itu sendiri. Kewujudan agama atau kawalan daripada luar bidang keilmuan manusia ini, walaupun mendapat tentangan, masih belum wujud hujah sejagat yang boleh menafikan sumbangannya. Oleh itu agama dan ketuhanan adalah unsur penting kepada peradaban. 

Walaupun begitu, sekiranya sesuatu peradaban itu tidak sepenuhnya menafikan agama atau ketuhanan, dan sekiranya ia tidak memberi nilai yang sesuai atau tidak meletakkan agama atau ketuhanan pada tempat yang benar dan tepat, maka ia tidak akan dapat mencapai natijah atau hakikat sempurna. Seterusnya ia akan mengundang kemusnahan kepada peradaban itu. 

Sudah banyak contoh yang menunjukkan kekeliruan dan kesan negatif dalam sebuah peradaban yang menolak agama dan ketuhanan. Kita juga lihat kadar kekeliruannya meningkat. Sebagai contoh mudah, kekeliruan susun atur nasab atau keturunan (family tree) dalam perkahwinan sejenis, homoseksual dan lesbian. 

Sudah tentu perkahwinan sejenis tidak dapat melahirkan zuriat. Ekoran itu, timbul pula kejayaan sains yang boleh menyediakan perolehan zuriat melalui sistem ibu tumpang bagi pasangan yang sama jantina. 

Kemudiannya anak yang dilahirkan itu dibesarkan dalam ‘keluarga’ yang hanya mempunyai ‘ibu bapa’ yang sama jantina – sama ada dalam pasangan homoseksual atau lesbian. Lama kelamaan, sistem ‘keluarga’ sebegini menjadikan manusia itu sendiri keliru. 

Pada fitrahnya, pasangan bermaksud berlainan jantina. Pada fitrahnya ‘ibu bapa’ adalah pasangan yang berbeza jantina. Oleh itu peradaban ini menjauhkan manusia daripada fitrahnya dan seterusnya meruntuhkan sistem sosial manusia itu sendiri. 

Oleh itu, peradaban yang mementingkan kehendak dan nafsu manusia yang tiada kawalan agama serta berfalsafahkan kebebasan semata-mata sudah terbukti kegagalannya dalam mengawal keperibadian dan keteraturan sosial fitrah kemanusiaan. 

Adakah kita mahu kekeliruan dan kecelaruan sebegini terjadi kepada peradaban kita. Sudah tentu kita tidak mahu. Jika itu kehendak kita, maka hendaklah kita terus berusaha dan menangkis sebarang percubaan atau tekanan untuk meletakkan nafsu manusia di atas segala kehendak agama dan ketuhanan. 

Saya percaya, tidak ada makhluk yang lebih mengetahui daripada ilmu dan pengetahuan Penciptanya.

Penulis ialah Profesor Madya di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)