Pages

Monday, March 5, 2012

Soal Jawab | Suami keliru isteri nusyuz


JIKA seorang suami diamanahkan arwah bapa mentuanya untuk menjaga keluarga isterinya, sedangkan isterinya memaki hamun serta tidak menghormati suaminya, apakah yang patut suami lakukan?

Kedua, suami tahu yang isterinya nusyuz dan banyak nasihat diberikan, tetapi isteri masih tidak berubah. 
Bapa suami juga banyak menasihati suami menceraikan isterinya, tetapi suami enggan berbuat demikian. Apakah jalan terbaik kepada permasalahan ini?

ROSIDI,
Melaka 


MENURUT al-Quran, lelaki adalah pemimpin bagi wanita. Ini kerana Allah memberi beberapa kelebihan kepada seorang lelaki, antaranya menanggung nafkah bagi wanita.

Bagi seorang wanita yang bergelar isteri, ia perlu taat kepada suami dan memelihara maruah diri terutama apabila suami tiada bersama.

Jika isteri tidak bersifat seperti yang dianjurkan Islam atau mungkin terlanjur (nusyuz), al-Quran memberi beberapa jalan menyelesaikan soal isteri bermasalah.

Antaranya, menasihat isteri secara baik. Ini sudah saudara lakukan dan boleh diulangi jika perlu. Seterusnya al-Quran mencadangkan suami memulaukan isteri daripada tempat tidur.

Dengan kata lain, suami perlu mengasingkan diri buat sementara daripada tidur bersama. Ini sebagai pengajaran kepada isteri.

Mudah-mudahan isteri kembali taat kepada suami dengan berbuat demikian. Ia boleh dilakukan sama ada secara langsung dengan memberitahu isteri atau tidak langsung, iaitu dengan terus tidur secara berasingan.

Jika isteri masih tidak taat kepada suami dan sikap derhaka (nusyuz) makin menjadi-jadi, tindakan berbentuk kekerasan boleh diambil dengan memukul secara betul dan bukan bertujuan mencederakan.

Kadangkala ada isteri yang mempunyai sifat ‘jahat’ berlebihan. Hanya dengan tindakan tegas dan keras membawa isteri kepada kebaikan.

Ini antara jalan-jalan yang diajar Islam. Semuanya itu dijelaskan dalam al-Quran, maksudnya: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki atas wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan dari harta mereka. Maka wanita yang salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara dirinya ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah. Dan wanita-wanita yang kamu bimbang melakukan nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka dan pulaukanlah mereka di tempat tidur dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka taatkanmu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Surah an-Nisa’ ayat 24)

No comments:

Post a Comment