Pages

Monday, March 12, 2012

Islam pentingkan hubungan baik


ADAKAH kita patut memaafkan seseorang jika dia pernah menghamburkan kata-kata kesat kepada kita sedangkan dia tidak pernah berasa kesal dan memohon maaf.

Walaupun saya sangat marah dengan tindakannya itu tetapi alhamdulillah, saya tidak pernah membalas balik atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya. 

Saya juga tidak pernah mengganggu hidupnya selama ini. Hal itu terjadi kerana teman lelaki saya tidak berterus terang dengan saya.

Saya amat sayangkan dia dan tidak mahu melepaskannya kepada wanita lain.

FARAH,
Kuala Lumpur



ISLAM amat mementingkan hubungan baik sesama manusia. Setiap individu perlu menjaga tingkah laku dan kata-kata mereka.

Perbuatan mencaci, mengherdik atau menghina antara manusia amat dilarang dalam Islam. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang
yang zalim” (Surah al-Hujurat ayat 11).

Islam menganjurkan supaya kita sentiasa bermaaf-maafan sesama sendiri lebih-lebih lagi jika ia membabitkan hubungan antara keluarga dan sahabat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nur ayat 22).

Mudah memaafkan kesalahan orang lain pastinya seseorang itu dapat hidup dengan tenang dan bahagia kerana kita percaya Allah itu Maha Adil.

No comments:

Post a Comment