GOLONGAN yang menyebar khabar angin dan surat layang
bagi memburuk-burukkan orang lain adalah manusia yang tidak mencintai
keharmonian dan kestabilan hidup.
Dalam hal ini, Rasulullah
bersabda bermaksud: Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana
perbuatan itu adalah satu pembohongan besar.
Janganlah mencari
berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya
jadikanlah diri kamu semua bersaudara-mara. (Hadis riwayat Bukhori
dan Muslim)
Baginda mengingatkan umatnya agar sentiasa menjauhi diri daripada terjerumus ke dalam perbuatan keji.
Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain, sebenarnya timbul
daripada perasaan tidak berpuas hati dan dengki khianat atas sebab
tertentu.
Perbuatan sebegini melambangkan betapa rendahnya moral
si pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak
segala pertimbangan dan rasional akal anugerah Allah.
Ini kerana
diri dikuasai nafsu marah dan dengki khianat berpanjangan. Jika pun
sesuatu tuduhan itu ada kebenarannya, orang yang mengambil kesempatan
berbuat demikian perlu mengadakan bukti kukuh dan munasabah bagi
membuktikan kebenarannya. Bukannya dengan mencantumkan cerita yang
dibawa dari mulut ke mulut dan dijadikan modal menyebarkan wasangka
buruk dan tuduhan palsu.
Akibat perbuatan itu, akan wujud dendam
berpanjangan di antara yang menuduh dan kena tuduh. Masing-masing ingin
membuktikan tuduhan yang dibuat adalah benar.
Allah berfirman
bermaksud: "Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang
membawa berita, maka periksalah dengan teliti kebenarannya agar kamu
tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya
yang menyebabkan kamu menyesali perbuatan kamu itu." (Surah
al-Hujurat, ayat 6)
Islam juga melarang umatnya daripada perasaan
suka mengorek rahsia orang lain. Peribahasa Melayu ada menyebut, jangan
jaga tepi kain orang. Tetapi dalam beberapa hal yang membabitkan
berlakunya kebatilan dan sumbang dalam masyarakat, dibolehkan berbuat
demikian. Ini untuk menegahnya agar tidak terus menular dalam hidup
bermasyarakat dan ajaran agama.
Tetapi apa yang berlaku dalam
masyarakat hari, perbuatan mencari rahsia orang lain bukan menegah
daripada perkara sumbang. Ia sebaliknya untuk mendapatkan maklumat
peribadi seseorang. Maklumat itu kemudian dijadikan alat membalas dendam
kepada orang itu.
Islam menuntut umatnya agar menyembunyi keaiban
orang lain walaupun mengetahuinya. Ini kerana Allah akan menyembunyikan
keaiban kita daripada terhebah kepada orang lain.
Telinga adalah
pancaindera anugerah Allah. Justeru, Muslimin hendaklah menjaga telinga
mereka daripada mendengar berita atau khabar angin yang masih belum
tentu kebenarannya.
Tetapi jika terpaksa mendengarnya atas faktor
keadaan, maka dituntut agar tidak pula menjadi penyebar apa yang
didengar kepada orang lain. Ini mengelakkan daripada turut terbabit
sebagai penabur fitnah yang bakal memporak-perandakan kehidupan
bermasyarakat.
Rasulullah bersabda bermaksud: "Beruntunglah orang
yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban sendiri." (Hadis riwayat
Muslim)
Satu sifat orang yang suka menyebar khabar angin dan fitnah ialah hasad dengki dan iri hati.
Hasad dengki dalam definisi lengkap membawa maksud mencari jalan atau ikhtiar menghilangkan nikmat yang ada pada orang lain.
Kesannya besar, bukan saja kepada orang yang didengki, malah akan terpalit kepada seluruh anggota masyarakat.
Rasulullah bersabda bermaksud: "Berhati-hatilah kamu terhadap hasad
dengki kerana ia boleh merosakkan amal kebaikan kamu seperti api memakan
sekam." (Hadis riwayat Muslim).
No comments:
Post a Comment