Al-Quran
 melalui surah Yusuf, ayat 69 mencatat bagaimana Nabi Ya’akub, ayahanda 
Nabi Yusuf telah membuat perancangan untuk mengurangkan risiko dengan 
memberi pesanan kepada anak-anaknya yang akan memasuki Mesir, 
  
  
  "Dan
 Ya'qub berkata: Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk 
dari satu pintu gerbang, tetapi masuklah dari pintu-pintu gerbang yang 
berlainan; namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang 
sedikitpun dari pada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) 
hanyalah hak Allah; kepadanyalah aku bertawakkal dan hendaklah kepadanya
 saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri"
  
  Merancang
 merupakan salah satu usaha manusia. Malah dalam ilmu pengurusan, 
perniagaan atau pengorganisasian, perancangan atau planning merupakan 
aspek penting. Ia satu bab di dalam buku teks perakaunan atau mana-mana 
bidang lain. Maksud saya, ia topik besar dan sangat penting. Terdapat 
buku yang membicarakan perancangan sebagai aspek khusus perbincangan.
  
  Pesanan
 Nabi Yaakub kepada anak-anaknya juga mengandungi beberapa elemen lain 
yang perlu dipertimbangkan. Misalnya, kita berusaha tetapi akhirnya 
Allah SWTlah yang menentukan samada apa yang kita rancangkan menjadi 
kenyataan atau tidak. Benar, kita selalu menyebut, "kita merancang, 
Allah menentukan". Malah saya selalu mendengar orang menulis dan 
menyebut, "perancangan Allah lebih baik dari perancangan manusia".
  
  Benar,
 ia kenyataan yang sangat benar. Mereka yang bersandar dengan falsafah 
ini - barangkali - akhirnya menemui satu lagi istilah yang boleh 
mendekatkan mereka dengan Allah SWT. Ia dinamakan Redha. Mereka yang 
redha akan bersabar dengan kegagalan mendapat apa yang dihajati. 
Mudah-mudahan suasana ini sentiasa benar dalam menjadikan manusia 
sebagai mereka daripada golongan terpilih. 
  
  Namun
 ada sesuatu sering kita pinggirkan apabila mendapati apa yang dirancang
 gagal. Penyerahan kepada perancangan Allah SWT tanpa membuat semakan 
terhadap perancangan sendiri. Misalnya, kita mahu bangun pada 1/3 malam 
tersisa, kunci jam dan tidur awal. Setiap hari begitu. Bila sampai 
masanya kita masih gagal bangun. Lalu sesuaikah jika kita berkata, "saya
 sudah merancang dan berusaha tetapi Allah yang menentukannya". 
  
  Perlindungan
 ini banyak membantu mereka yang sebenarnya tidak mahu berusaha secara 
bersungguh-sungguh untuk mengatasi satu detik kesukaran beramal ibadat. 
Di dalam ilmu pengurusan terdapat keperluan untuk melihat dan membuat 
analisis, kajian dan mencari jawapan kenapa perancangan yang dilakukan 
gagal dilaksanakan. Apakah yang boleh diperbaiki. Maksudnya, ia tidak 
setakat terhenti dengan perancangan semata-mata dan apabila gagal 
menyerahkannya kepada Allah SWT. 
  
  Dalam
 konteks beramal ibadat, ia lebih tertumpu kepada pertanyaan buat diri 
sendiri. Kenapa? Apakah kesukaran yang menyebabkan kita tidak boleh 
melakukannya. Bagaimana mahu mengatasinya sehingga berjaya. Malah ia 
perlu dilakukan dan dipertahankan secara konsisten. 
  
  
  Akhirnya,
 tanyalah diri sendiri dengan jujur dan jawapannya terkandung dalam diri
 yang akhirnya menyebabkan kita malu dengan Allah SWT. Jika tidak 
berlaku begitu, sebenarnya kita bersifat hipokrit dengan fitrah dalaman 
seorang manusia beragama Islam. 
  
  Semalam - ketika menyampaikan tazkirah Asar kepada Jemaah wanita Singapura - saya nyatakan sekali lagi, 
  
  "Sekarang,
 puan-puan semua menutup aurat dengan sempurna kerana baru selesai 
menunaikan solat Asar di Masjid Nabawi. Nanti bila mahu pulang ke 
Singapura, menaiki pesawat dan baru sahaja diampunkan dosa kerana 
melakukan umrah yang sempurna, menangis memohon keampunan Allah di Mekah
 dan Madinah... .. tiba-tiba kita kembali kepada diri kita yang asal. 
Tidak menjaga aurat dengan sempurna. Kenapa begitu? Tanyalah dengan 
jujur kepada diri sendiri... . in syaa Allah akan ada jawapannya". 
  
  Bukankah Baginda SAW pernah menyatakan,
  
  "Orang
 yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk 
hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang 
mengikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan 
angan-angan (yang banyak)"
  
  (Riwayat al-Tarmizi).
  
  Malam
 tadi seisi rumah tidak terjaga sehinggalah terdengar Muazzim qamat dari
 masjid terdekat. Letih berkemas? Tidak. Hakikatnya, kami tidak 
bersungguh berdoa untuk bangun awal kerana yakin ia rutin biasa. Tidak. 
Ia tidak boleh begitu. Benar, Allah yang Maha Berkuasa dan aturannya 
kita perlu meyakini DIA yang memberi kudrat untuk melakukan sesuatu. 
Namun ada aturan tertentu yang perlu dilaksanakan. 
  
  Setiap
 kali kita gagal melakukan sesuatu, berdiamlah sejenak, renunglah dengan
 mata hati - Insya Allah - terbuka sesuatu yang lebih bererti misalnya 
muncul sifat Maha Berkuasa dan Maha Hebat Allah SWT. Malah sifat hamba 
dan kerdil lagi fakir seorang manusia akan lebih terserlah. 
  
  
  Kami mohon keampunanMu ya Allah.
No comments:
Post a Comment