APABILA tiba Rejab, ia menandakan Ramadan akan
berkunjung tiba tidak lama lagi. Ramadan ialah penghulu segala bulan
yang menjanjikan kelebihan luar biasa serta membuka peluang
seluas-luasnya kepada setiap Muslim memohon keampunan Allah s.w.t. Sabda
Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadan
dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, diampunkan baginya
segala dosa-dosa yang telah lalu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sebab itu, kenikmatan dan kerinduan menunggu Ramadan hanya dapat dirasai
jiwa yang peka terhadap hak dan tuntutan Allah. Puasa adalah perkara
asas dalam Islam. Ia antara tiang asas kepada agama yang menjadi kayu
ukur tahap keimanan seseorang Muslim. Namun, Islam tidak pernah
sekali-kali memberatkan hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu untuk
ditunaikan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Allah tidak memberati
seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala
kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang
diusahakannya." (Surah al-Baqarah ayat 286). Justeru, terdapat
sebahagian daripada kita yang mendapat rukhsah puasa pada bulan Ramadan
lalu iaitu kebenaran meninggalkan ibadat puasa apabila berhadapan
keadaan tertentu seperti orang yang dalam musafir, wanita haid atau
nifas, hamil, masalah kesihatan atau melakukan kerja yang terlalu berat.
Bagaimanapun, rukhsah bukanlah untuk mengecualikan mereka daripada
ibadah puasa tetapi wajip qada' (ganti) puasa itu. Firman Allah yang
bermaksud: "(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang
tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir,
(bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang
dibuka) itu pada hari-hari yang lain". (Surah al-Baqarah, ayat 184)
Mungkin terdapat golongan masyarakat yang amat teruja melakukan amalan
puasa sunat tetapi menunaikan qada' puasa Ramadan adalah lebih utama.
Hal ini dijelaskan menerusi sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: "Dan
tidaklah hampir kepada-Ku seseorang hamba dengan apa jua pun, maka yang
lebih Aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu (wajib) ke atas
mereka, dan sentiasalah mereka ingin mendampingi-Ku dengan mengerjakan
amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya." (Hadis riwayat Bukhari).
Menurut Syeikh Muhammad ibnu Soleh al-'Uthaimin, puasa sunat tidak boleh
ditunaikan melainkan sempurna puasa wajib iaitu puasa Ramadan. Keadaan
itu disandarkan melalui hujah berasaskan kepada sabda Rasulullah ketika
menyatakan kelebihan puasa enam hari di bulan Syawal. Sabda Nabi yang
bermaksud: "Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian
diikuti dengan enam hari dari bulan Syawal, maka ia (pahala puasa)
adalah seperti puasa setahun." (Hadis riwayat Muslim). Justeru,
sementara masih ada lagi masa berbaki sebelum tiba Ramadan, gunakan
peluang ini untuk qada' puasa Ramadan yang lalu. Ia boleh dijadikan
medan latihan sebelum kedatangan Ramadan kelak. Latihan berpuasa sebelum
kedatangan Ramadan dapat memberi isyarat awal kepada anggota tubuh
badan untuk berehat daripada aktiviti makan dan minum.
Malah,
lebih penting ia dapat mendidik nafsu memenuhi tuntutan Allah. Saidatina
Aisyah memberi contoh kepada kita bahawa amalan menunaikan qada' puasa
Ramadan pada bulan Syaaban iaitu hampir kepada datangnya Ramadan adalah
dibolehkan dalam Islam. Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud:
"Kewajipan ke atasku untuk puasa (qada') daripada puasa bulan Ramadan,
tidaklah aku menggantinya sehingga datang bulan Syaaban." (Hadis Riwayat
Muslim). Anas berkata, Rasulullah ditanya: "Apakah puasa yang afdal
selepas puasa Ramadan?" lalu Baginda menjawab: "Puasa di bulan Syaaban
iaitu untuk memuliakan Ramadan." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi). Justeru,
kita perlu berusaha melatih diri mengamalkan ibadat puasa sunat sebelum
tibanya Ramadan. Bagi mereka yang masih belum lagi menunaikan qada'
puasa Ramadan yang lalu, lunaskan hutang Allah itu segera. Menurut
mazhab Syafie dan juga jumhur ulama, bagi mereka yang gagal menunaikan
qada' puasa Ramadan yang lalu sehingga tiba Ramadan berikutnya, mereka
wajib membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin untuk setiap
hari tidak berpuasa, di samping kewajipan menunaikan qada' puasa yang
masih lagi tertanggung di atas bahunya.
No comments:
Post a Comment