BERFESYEN kini dilihat satu kemestian. Ia begitu 
sinonim dengan golongan hawa. Memang menarik sekali apabila melihat 
seorang wanita tampil berjubah atau bertudung kepala dengan pelbagai 
rekaan menarik.
Namun, bertudung bukan sekadar berfesyen, tetapi niat si pemakai adalah menutup aurat.
Islam
 tidak menetapkan syarat khusus etika berpakaian asalkan bersih, menutup
 aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.
Allah 
berfirman yang bermaksud: "Katakanlah: Siapakah yang mengharamkan 
(memakai) perhiasan dikeluarkanNya untuk hambaNya dan rezeki (makanan) 
yang baik-baik? Katakanlah: Semua itu untuk orang yang beriman ketika 
hidup di dunia dan khusus untuk mereka pada hari kiamat. Demikian Kami 
terangkan ayat itu untuk kaum yang mahu mengetahuinya. Katakanlah: 
Sesungguhnya yang diharamkan TuhanKu, hanya semua yang keji, baik zahir 
atau yang batin, maksiat dan melampaui batas tanpa kebenaran atau kamu 
sekutukan Allah dengan sesuatu yang tidak diberi keterangan kepadanya 
dan kamu katakan terhadap Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui". (Surah
 al-A'raaf ayat 32 hingga 33).
Memakai perhiasan (pakaian yang 
baik dan bersih) sangat besar faedahnya untuk menjaga kesihatan manusia.
 Begitu juga menjaga kehormatan.
Memakai pakaian yang baik itu 
melahirkan nikmat Allah dan terima kasih kepada-Nya. Orang mukmin 
diberikan pahala menerusi niat atas pekerjaan baik itu.
Perhiasan menjadi tidak baik jika ia berlebih-lebihan, seolah-olah hidup hanya untuk tujuan berhias.
Malah,
 tidak keterlaluan dikatakan melihatkan perkembangan fesyen semasa kini 
ia turut tempias kepada golongan lelaki yang semakin bijak bergaya.
Lelaki metroseksual. Itulah istilah yang digunakan bagi menggambarkan lelaki moden yang menjaga setiap inci penampilan mereka.
Namun, di sebalik perubahan yang dilihat menuju pemodenan adakah Islam melarang umatnya bergaya atau berfesyen?
Jika
 diteliti setiap orang pasti ingin tampil menarik apabila menghadiri 
majlis keraian seperti hariraya, perkahwinan, ke tempat kerja atau 
bersantai.
Islam memandang cara berpakaian mengikut gaya semasa 
diharuskan asalkan menutup aurat serta sopan, tidak terlalu ketat 
sehingga menampakkan susuk tubuh, bersederhana, dapat membezakan antara 
lelaki dan perempuan serta jangan nipis hingga menampakkan warna kulit 
atau bentuk badan.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Dan 
katakanlah kepada perempuan yang beriman: Hendaklah mereka merendahkan 
pandangan dan menjaga kehormatannya, dan janganlah mereka memperlihatkan
 perhiasannya, kecuali apa yang biasa nampak daripadanya, dan hendaklah 
mereka tutupkan tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan 
perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah 
suami mereka atau anak mereka atau anak suami mereka atau saudara mereka
 atau anak saudara lelaki mereka atau anak saudara perempuan mereka atau
 perempuan Muslimat atau hamba sahayanya atau pelayan lelaki yang tidak 
mempunyai keinginan (syahwat) kepada perempuan, atau kanak-kanak yang 
belum mengerti mengenai aurat perempuan. Janganlah kamu berjalan sambil 
menggoyangkan kaki supaya diketahui orang perhiasannya yang tersembunyi 
(gelang kaki). Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang 
beriman, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan". (Surah An-Nur ayat 
31).
Nabi Muhammad ketika hayatnya suka pakaian berwarna putih terutama untuk solat Jumaat dan menghadiri majlis keramaian.
Ini
 kerana putih itu asal daripada segala warna lain selain dilihat suci 
dan bersih. Walaupun Nabi amat suka kepada pakaian berwarna putih, 
apabila hariraya Nabi memakai pakaian berwarna dan baru (bersih).
Dalam soal berpakaian Rasulullah sendiri bersifat terbuka dengan syarat ia tidak melanggar batas syariah.
Baginda
 memakai pakaian dari Yaman, Najran dan Mesir. Dalam hadis dari 
al-Mughirah bin Su'bah, beliau berkata, "Sesungguhnya Nabi Muhammad 
memakai jubah Rom- dalam sebahagian hadis disebut jubah Syamiah (negeri 
Syam)- yang sempit kedua-dua tangan bajunya." (Riwayat al-Bukhari, 
Muslim al-Tirmizi, al-Nasai).
Angin peralihan daripada pakaian 
tradisi seperti baju Melayu bagi lelaki manakala wanita dengan baju 
kurung dan kebaya yang lebih moden menghakis ciri menutup aurat seperti 
digariskan dalam Islam.
Dari awal lagi, Islam tidak pernah melarang umatnya bergaya dan mengikuti aliran fesyen selagi ia bertepatan dengan hukum agama.
Yang
 penting, pastikan pakaian itu daripada jenis kain tebal, tidak nipis, 
jarang atau terlalu ketat. Jika bertudung, pastikan penampilan kemas.
Elakkan terlalu selekeh, comot atau memakai pakaian sehingga berbau dan mengganggu orang lain terutama ketika bersolat.
Kaum wanita boleh memakai seluar jeans yang dipadankan dengan kemeja atau blaus, tetapi perlu memenuhi syarat.
Bagi lelaki, walaupun aurat mereka dari pusat ke lutut, tidak bermakna mereka boleh berpakaian sesuka hati.
Amalan berseluar pendek atau memakai pakaian koyak tidak sesuai dan melanggar peraturan menutup aurat.
Malah,
 jika seseorang mahu dilihat seorang yang zuhud sehingga mengenakan 
pakaian yang buruk, koyak serta kelihatan selekeh, ia turut dilarang.
Dari sudut psikologi, banyak kes rogol berpunca daripada cara berpakaian wanita yang terlalu menghairahkan dan seksi.
Jika
 wanita menjaga aurat, ia membendung nafsu yang tidak terarah itu. 
Menurut Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti 
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Salam Muhamad Shukri, 
berkata Islam tidak pernah menetapkan kod pakaian terhadap umatnya.
"Namun, wanita perlu memilih pakaian yang menutup aurat," katanya.
Abdul Salam berkata, wanita boleh bergaya dan berhias dalam keadaan tertentu, tetapi hanya untuk suaminya.
"Secara fitrahnya, manusia sukakan sesuatu yang cantik dan indah, tetapi perlu disesuaikan dengan keadaan.
"Menjalani kehidupan sebagai orang Islam, kita sentiasa terikat dengan adab dan tingkah laku," katanya.
Mengulas
 berkenaan fesyen dan gaya terkini terutama wanita yang bertudung tapi 
masih mendedahkan anggota tertentu seperti dada, beliau berkata ia tidak
 diiktiraf fesyen menutup aurat.
"Fesyen yang digayakan perlu mengikut tatacara dan adab yang menonjolkan wanita Muslimah iaitu menjaga auratnya.
"Seorang wanita itu tidak hanya menjaga maruah dirinya, malah ia membawa imej dan maruah wanita mukmin," katanya. 
No comments:
Post a Comment