TANPA sebarang keraguan, al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang terkandung pelbagai khazanah ilmu bagi manfaat manusia.
  
  Firman Allah yang bermaksud: "Bagi tiap-tiap umat yang ada antara 
kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib 
diikuti oleh masing-masing)." (Surah al-Ma'idah ayat 48) Kebahagiaan 
hidup di dunia dan akhirat, hanya boleh dicapai jika manusia berpegang 
kepada kandungan al-Quran.
  
  
  Perkara ini dijelaskan oleh 
Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Rasulullah telah beriman kepada
 apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang 
yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya dan
 Rasul-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 285) Al-Quran kekal terpelihara 
daripada sebarang bentuk perubahan hingga hari kiamat.
  
  
Melihat kepada keistimewaan al-Quran, umat Islam perlu menjunjung 
ketinggian martabat kitab suci itu, semua haknya perlu ditunaikan. 
Antara hak al-Quran ialah untuk diimani, dibaca, dihafal, difahami, 
diamalkan dan hak untuk disebarkan isi kandungannya.
  
  
  
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan 
al-Quran, dan Kami-lah yang memelihara dan menjaganya." (Surah al-Hijr, 
ayat 9).
  
  
  Al-Quran perlu diimani kerana menolak al-Quran
 sehingga meragui isi kandungannya akan membuatkan umat Islam tercampak 
ke lembah kekufuran. Keimanan terhadap al-Quran turut berkait dengan 
keimanan kepada Rasulullah yang dipilih sebagai Rasul akhir zaman dan 
menyampaikan ajaran Islam seperti mana yang termaktub di dalam al-Quran.
  
  Selain itu, hak al-Quran untuk dibaca. Adakah kita membaca al-Quran 
setiap hari? Pernahkah kita memperuntukkan masa untuk membaca dan 
memahami al-Quran? Berapa ramai generasi muda hari ini tidak tahu 
membaca al-Quran? Jauhnya umat Islam daripada al-Quran akan menutup 
pintu rahmat dan keberkatan Allah dalam kehidupan mereka. Malah, 
hakikatnya al-Quran bakal memberi syafaat buat umat Islam di akhirat 
kelak. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Bacalah al-Quran, kerana ia 
pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada 
pembacanya." (Hadis riwayat Muslim) Kemudian hak al-Quran hak untuk 
dihafal. Terlalu banyak ganjaran bagi mereka yang mampu menempatkan ayat
 al-Quran dalam hati mereka. Jika al-Quran sudah terpahat dalam hati, 
maka diri akan sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk kemungkaran
 dan kemaksiatan. Rasulullah pernah memberi perumpamaan yang buruk bagi 
mereka yang tidak mempunyai al-Quran dalam hatinya.
  
  
  
Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang di dalam 
dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubah seperti sebuah rumah 
yang rosak." (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Ahmad, al-Hakim, dan al-Darimi)
 Hak al-Quran yang keempat ialah hak untuk difahami. Sesungguhnya inti 
pati al-Quran tidak akan dapat dibongkar jika umat Islam gagal memahami 
isi kandungan al-Quran. Pemahaman isi kandungan al-Quran boleh diperoleh
 menerusi kupasan tafsiran al-Quran di pelbagai media.
  
  Penguasaan bahasa Arab juga perlu diusahakan bagi memahami isi kandungan al-Quran.
  
  
  Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Pelajarilah al-Quran dan bacalah,
 serta tidurlah kalian. Sebab perumpamaan al-Quran dan orang yang 
mempelajarinya kemudian ia mahu membacanya, ibarat satu bejana yang 
penuh berisi minyak wangi yang baunya semerbak di merata tempat. 
Sedangkan perumpamaan orang yang mempelajari al-Quran, tetapi ia tidur 
sahaja, al-Quran hanya di dadanya sahaja (tidak dibaca); maka hal itu 
ibarat bejana yang berisi minyak wangi, tetapi tutupnya diikat 
rapat-rapat." (Hadis riwayat Ibnu Majah, al-Tirmidzi, al-Nasa'i, dan 
Ibnu Hibban) Al-Quran mempunyai hak untuk diamalkan. Berdosa jika 
mengetahui isi al-Quran, namun tidak mengamalkannya. Jika al-Quran tidak
 dipelihara atau diamalkan, ia bakal mengheret Muslim ke pintu neraka. 
Berbahagialah bagi mereka yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi 
kandungannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Orang Mukmin yang 
membaca al-Quran dan mengamalkan isinya, ibarat buah yang manis, rasanya
 enak dan baunya harum." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi,
 dan lain-lain) Hak al-Quran yang terakhir ialah untuk disebarkan isi 
kandungannya. Perkara itu menjadi perjuangan Rasulullah ketika hayatnya 
yang diteruskan salaf al-salih dan golongan ilmuan Islam. Hakikatnya, ia
 membuktikan Islam cintakan ilmu dan menggalakkan budaya ilmu disuburkan
 untuk faedah umat manusia.
  
  
  Rasulullah bersabda yang 
bermaksud: "Orang yang paling baik antara kalian adalah yang mempelajari
 al-Quran dan mengajarkannya." (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Dawud, 
al-Tirmizi dan al-Darimi) 
No comments:
Post a Comment