Dunia islam kian tercabar; dicabar dan dihina oleh
musuh-musuh islam. Umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa melihat
saudara seagamanya ditindas. Hal ini sudah dapat diramal oleh Nabi
Muhammad saw sejak dulu lagi, dalam hadithnya:
"Umat lain akan
meratah kamu dengan rakus sebagaimana anjing-anjing yang mengelilingi
hidangan makanan. Sahabat bertanya adakah kerana bilangan umat islam
yang sedikit? Baginda menjawab Tidak, bahkan jumlah kamu masa itu banyak
sebagaimana banyaknya buih di permukaan air banjir. Allah mengikis
perasaan gerun di dalam hati musuh terhadap kamu 'al-wahan'. Sahabat
bertanya apa dia wahan itu ya Rasulullah. Jawab baginda "cintakan dunia
dan bencikan akhirat".
Mari kita renung sejenak tentang kebenaran
sabda Rasulullah ini. Jumlah umat Islam pada hari ini mencecah lebih 1
billion, satu angka yang ramai. Mereka bertebaran di muka bumi ini;
kebanyakannya tinggal di negara yang dikurniakan Allah hasil bumi yang
lumayan.
Sumber ekonomi yang kukuh dan tenaga kerja yang ramai
boleh menjadi aset memajukan negara dan sekaligus memartabatkan Islam
sehingga disegani seantero dunia. Persoalannya ialah Kenapa
faktor-faktor ini tidak dimanfaatkan? Kenapa umat Islam kini menjadi
lemah dan mudah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam? Sebaliknya
musuh Islam yang mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh menjalankan
pelbagai strategi melumpuhkan dan memporak-perandakan negara Islam.
Hasil
kekayaan bumi milik negara Islam dieksploit oleh musuh Islam. Negara
Iraq yang kaya dengan sumber minyak dijajah dalam pelbagai bentuk
hinggakan minyak sendiri pun tak boleh dijual untuk kegunaan rakyat.
Kekayaan yang mereka perolehi hasil bumi negara Islam digunakan bagi
membina kilang-kilang senjata untuk membunuh umat islam.
Nabi
menjelaskan punca kelemahan ini ialah wujudnya kecintaan kepada dunia
mengatasi kecintaan kepada akhirat. Apabila kecintaan ini meresap dan
menjadi budaya hidup umat, Allah memasukkan perasaan berani dalam hati
musuh Islam dan pada masa yang sama mencabut keberanian itu dalam hati
orang Islam lalu digantikan dengan peasaan penakut: takut kepada musuh
Islam.
Kejatuhan Baghdad ketika diserang oleh orang-orang Mongol
sepatutnya dijadikan teladan supaya peristiwa hitam ini tidak akan
berulang kembali. Adakah faktor-faktor kejatuhan Baghdad mula meresap
dalam masyarakat dewasa ini. Masalah rasuah sekarang semakin menjadi. Ia
telah meresap dalam pelbagai organisasi kepimpinan. Keadaan begini
memudahkan musuh Islam menggunakan wang ringgit untuk membeli pucuk
pimpinan supaya tercapai hasrat mereka melumpuhkan umat Islam sendiri.
Jika dibiarkan berleluasa bukan saja ekonomi umat islam merudum malahan
negara juga turut tergadai.
Bagaimana keadaan realiti masyarakat
Islam sekarang? Sudahlah ekonomi lemah ditokok pula dengan pelbagai
penyakit dan gejala sosial. Bagaimana dapat membasmi keruntuhan akhlak
sekiranya media massa semakin galak menonjolkan isu-isu ganas dan seks.
Isu pemulihan hanya sekadar melepas batuk di tangga dan seolah-olah
'lain sakit lain pula ubat yang diberi'.
Pelancaran TV Mega dan
Astro serta alat komunikasi lain bukan menjadi ubat gejala sosial dewasa
ini malah menjadikannya lebih kronik. Babak-babak yang tidak sepatutnya
ditonton sudah menjadi semakin lumrah dan video lucah pula dapat dibeli
oleh sesiapa sahaja. Bukankah ini menjadi pemangkin ke arah gejala yang
lebih dahsyat? Umat Islam kini tidak mempunyai ketahanan dan iman yang
kuat untuk menangkis serangan yang hebat ini. Semua ini adalah antara
strategi dan perancangan musuh Islam yang tidak akan redha terhadap
perkembangan Islam selamanya. Bayangkan apa yang akan berlaku beberapa
tahun lagi dengan kemunculan teknologi IT yang semakin canggih.
Firman
Allah dalam Al-Quran "Orang Yahudi dan Nasrani sekali-kali tidak redha
terhadap kamu buat selama-lamanya sehinggalah kamu mengikut carahidup
mereka."
Masjid kian terpinggir dengan kewujudan kilang yang
banyak. Manusia lebih suka ke kilang daripada masjid. Kilang diimarahkan
siang dan malam tetapi masjid menjadi lengang,cuma diimarahkan dengan
karpet dan keceriaan. Bukankah ini juga perancangan musuh islam?
Lantaran cinta kepada dunia sanggup menjauhi masjid dan berkejaran ke
kilang.
Dalam hadith tadi, Nabi memberi 2 faktor berlakunya
begini: cintakan dunia dan benci kepada mati. Umat Islam generasi
pertama dulu cintakan mati kerana dapat bertemu dengan Allah segera.
Oleh sebab itu bila ada panggilan jihad, mereka sukarela bergabung
tenaga memerangi musuh Islam. Mereka tidak takut menghadapi mati.
Sebaliknya masyarakat Islam hari ini takut kepada mati malahan
mengingatkan mati pun dianggap menyekat kemajuan. Mereka takut mati
kerana memikirkan dosa yang terlalu banyak dilakukan dan sedikitnya
amalan pahala yang dibuat. Akhirnya semangat jihad memperjuang dan
menegakkan agama Allah pudar dan terhakis.
Oleh itu, sama-samalah
kita menginsafi diri dan bertaubat di atas segala keterlanjuran yang
kita lakukan. Hanya dengan kembali kepada Allah, segala penyakit akan
terubat, insyaallah.
No comments:
Post a Comment