Pages

Monday, March 11, 2013

Solat Fardu, Amalan Sunat Latih Umat Berdisiplin Dan Manfaat Masa

HASAN al-Basri berkata: “Sesungguhnya hati dapat hidup dan mati. Apabila dia hidup, kerjakanlah amalan sunat dan apabila ia mati cukuplah mengerjakan amalan fardu.”

Apabila iman berkurangan, maka kuranglah kesungguhan beribadah. Hati disibukkan dengan perkara melalaikan. Kenikmatan beribadat pula bertukar menjadi suatu bebanan. Mustahil untuk terus bangkit daripada penyakit ‘lemah iman ini’.

Untuk memulihkan hati, maka buatlah amalan wajib yang berkualiti. Sembahyang fardu mesti tetap dijaga khusyuk dan rukunnya.

Jika ubat yang ditelan itu menampakkan hasil, anda akan beransur-ansur pulih dan sihat. Tetapi, jangan terlalu lama meninggalkan ibadat sunat kerana ia umpama vitamin bagi hati, makanan tambahan untuk hati yang sihat. Ibadat sunat berfungsi menjaga kesegaran hati supaya tetap sihat dan bertenaga.

Jika mahu memilih tempat yang paling mulia di sisi Allah, tentulah pengorbanan yang dilakukan mesti sesuai dengan upah. Mana mungkin pengorbanan yang sedikit mengharap upah yang banyak. Kerana itulah syurga memiliki beberapa tingkatan (kelas) dan lapan pintu semuanya. Kalau mahukan terbaik, lengkap dengan kemudahan paling hebat milik tetamu kenamaan istimewa (VIP), anda harus menjadikan diri anda layak mendapatkannya.

Antara amalan sunat yang menjadi kegemaran jiran Rasulullah SAW di syurga daripada kalangan sahabat, syuhada dan salihin:

  • Tahajjud untuk mendapatkan kedudukan mulia di sisi Allah.
    Bangun di tengah malam, sangat berat dilakukan oleh orang yang terlalu kenyang dengan nafsu syahwatnya, terlalu letih dan sibuk mengejar dunia.

    Bagi orang yang susah bangun bermunajat, cubalah amalkan resipi ini. Tanamkan keyakinan dalam diri bahawa malam sentiasa menyimpan kejahatan makhluk-Nya. Kalau anda asyik dibuai mimpi, siapa yang boleh menolong jika unsur jahat itu masuk ke dalam rumah anda.

    Bangunlah, jaga rumah anda dengan sembahyang, nanti Allah akan menjaga anda. Semua alat keselamatan yang dicipta manusia itu sungguh lemah, hanya kuasa Allah satu-satunya penyelamat.


  • Sembahyang sunat sekurang-kurangnya 12 rakaat setiap hari.Sabda Baginda SAW yang bermaksud:“Tidaklah seseorang melakukan sembahyang sunat kerana mengharapkan keredaan Allah sebanyak 12 rakaat setiap harinya, melainkan Allah membina sebuah rumah untuknya di syurga.”(Hadis riwayat Muslim).

    Sememangnya orang yang berjaya di dunia ini amat mematuhi ‘disiplin masa’ yang mereka jalani setiap hari. Tahukah anda, sebenarnya antara fungsi solat fardu dan sunat adalah suatu pelajaran untuk mentaati masa yang dijadualkan oleh Allah SWT.

    Orang yang amanah dengan waktu solatnya sebenarnya melatih diri untuk amanah dengan waktu kerjanya. Mereka menjadikan solat itu sebagai masa terbaik untuk beristirahat. Gerakannya yang tenang dengan bacaan yang mententeramkan hati seolah-olah tempat melayan perasaan anda yang gelisah kerana beban tugas di tempat kerja.

    Rasulullah SAW apabila ditimpa kesusahan akan mententeramkan dirinya dengan sembahyang. Pada saat-saat genting, seperti dalam masa penentangan dan penindasan musuh, Baginda banyak melakukan sembahyang. Tetapi manusia kini, apabila hatinya risau, gelisah dan sakit, banyak yang mencari teman mengadu, meluahkan isi hati dan akhirnya mengumpat dan memfitnah, menuduh dan berprasangka buruk. Kenapa tidak adukan masalah kita kepada Yang Maha Berkuasa? Yang boleh merubah kesusahan kepada kesenangan? Kepada Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang?

    Solat sunat 12 rakaat ini tidak semestinya dikerjakan terus dalam satu masa. Pilihlah masa yang sesuai dan tidak memberatkan anda melakukannya. Dua rakaat yang ringan amat memadai asalkan dilakukan dengan khusyuk, dibandingkan dengan banyak rakaat tetapi hati lalai.


  • Puasa untuk menjauhkan diri daripada azab neraka.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:“Tidaklah seorang hamba berpuasa satu hari kerana Allah melainkan Allah menjauhkannya daripada api neraka sejauh 70 tahun perjalanan.”(Hadis riwayat Muslim)

    Puasa berfungsi untuk melemahkan nafsu jahat dan menyerap aura iman ke dalam diri. Sesiapa yang panas baran, gelojoh, tamak, kedekut, ujub dan takbur, ubatilah penyakit yang membunuh ini dengan berpuasa. Semakin lapar perut, semakin menurun tekanan kejahatan yang dihembuskan syaitan. Semakin haus dan kurang tenaga, semakin anda berasa perlukan Allah.


  • Membaca al-Quran dan zikrullah.Bagaimanakah membaca al-Quran yang baik? Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:“Sesungguhnya sebaik-baik suara yang membaca al-Quran, apabila kamu mendengarnya membaca, menjadikan kamu takut kepada Allah.”(Hadis riwayat Ibnu Majah)

  • Sedekah.Uthman bin Affan pernah membawa berpuluh-puluh unta bersama barang dagangannya, kemudian datang rombongan peniaga hendak membeli daripada beliau. Seseorang berkata: “Aku akan ganti satu barang dengan harga dua kali ganda. Yang lain berkata: Aku ganti satu barang dengan harga tiga kali ganda. Hingga ada yang menawarkan harga yang tertinggi: Aku ganti satu barang dengan harga lima kali ganda. Uthman bin Affan bertanya kepada mereka: “Siapakah yang boleh menggantikan satu dengan harga 10 kali ganda? Sesungguhnya Tuhanku menggantikan semua barang ini dengan 10 kali ganda. Aku memilih tawaran yang paling baik daripada kalian. Aku sedekahkan semuanya di jalan Allah.”

    Demikianlah hamba Allah yang membiasakan dirinya dengan amalan sunat. Buatlah amal menurut kesanggupan, tetapi nanti jangan menyesal jika berada di syurga yang lebih rendah daripada syurga yang tertinggi. Seolah-olah kita melihat bintang yang cantik berkilauan, boleh dilihat tidak boleh dicapai. Ingatlah semua amalan yang dilakukan hanya kerana satu cita-cita terbaik dalam hidup iaitu berada di sisi Allah sebagai insan teristimewa.

    Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang mana Allah berfirman yang maksudnya:“Tidak ada sesuatu yang paling Aku sukai yang dikerjakan oleh hamba-hamba-Ku untuk mendekatkan dirinya kepada-Ku selain melakukan yang fardu, dan mereka sentiasa mengerjakan yang sunat sehingga Aku mencintainya.”(Hadis riwayat al-Bukhari)

    Adakah sesuatu yang lebih tinggi nilainya daripada cinta Allah?

    Hanya orang yang bijak menghitung yang mengetahui hakikat ini.
  • No comments:

    Post a Comment