Pages

"Wahai Tuhan kami, anugerahkan kepada kami pasangan-pasangan dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam / ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. Ya Allah.... Jadikanlah pasangan kami... Pembantu kami dalam melakukan ketaatan kepada-Mu... Kekalkanlah kasih sayang kami hingga ke syurga-Mu... Tunjukilah kami jalan keluar .... Terhadap masalah-masalah yang kami hadapi ....

Hanya kepadaMu tempat kami mengadu ... Engkau Maha Berkuasa membuka hati-hati manusia... Jadikanlah anak-anak kami zuriat yang soleh... Lembutkanlah hati-hati mereka ... Masukkanlah Nuur HidayahMu ke dalam hati mereka... Ya Allah , Ampunilah dosa kami di atas kelalaian kami dalam mendidik mereka mengenali-Mu... Jauhkanlah mereka daripada pengaruh-pengaruh... Yang merosakkan akhlak dan aqidah mereka... Jauhkanlah mereka daripada kawan-kawan yang jahat ... Kurniakanlah kami kekuatan untuk terus menasihati dan mendoakan mereka ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa menunaikan solat ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa ringan melakukan ketaatan kepada-Mu ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa mendoakan kami ketika kami berada di dalam kubur...."

aurat

aurat

Thursday, March 14, 2013

Sifat sombong adalah perangkap syaitan

Seorang ulama pernah menceritakan,'' Saya melihat ketika orang ramai sedang melakukan tawaf, seorang lelaki dikerumuni oleh pengikut-pengikutnya. Mereka melarang orang lain melaksanakan ibadah tawaf semata-mata kerana menghormati lelaki itu. Tidak berapa lama kemudian, saya juga melihat lelaki yang ditemui di depan Kaabah itu, berada di atas sebuah jambatan di kota Baghdad memohon simpati orang ramai. ``Dia memberitahu saya bahawa dia betul-betul takbur dan sombong di sebuah tempat yang semestinya kita semua bersikap rendah diri. Kini Allah memberikan satu bala atau cubaan kepadanya dengan keadaannya menderita di tempat yang semua orang berebut-rebut mencari kedudukan dalam soal duniawi.'' Peristiwa yang dipaparkan ialah akibat daripada perbuatan sombong, iaitu satu dosa kepada Allah dan hanya dilakukan oleh iblis yang enggan tunduk kepada perintah Allah s.w.t. Malah dalam surah al-A'raf ayat 16-17, Allah menjelaskan mengenai iblis yang berjanji akan menyesatkan manusia dan akan menghalang mereka dari jalan yang lurus. Salah satu perangkap yang dipasang oleh iblis laknatullah itu ialah sikap sombong. Dalam menjalani kehidupan seharian, iblis telah menjadikan sekurang-kurangnya empat ruang untuk menghasut manusia menjadi sombong.

Pertama, melalui ilmu pengetahuan, syaitan sentiasa menghasut orang-orang yang berilmu agar berlaku sombong dengan ilmu yang dimilikinya. Mereka yang terjebak dengan perangkap ini akan menganggap dirinya paling pandai, sedangkan orang lain dianggap bodoh dan bermartabat rendah. Seharusnya, semakin tinggi ilmu seseorang, semakin merendah diri disebabkan pengetahuan mengenai Allah, dirinya dan alam semula jadi semakin meningkat.

Beribadah Perangkap kedua ialah melalui amal ibadah. Ia adalah kesombongan secara halus yang ditiupkan oleh syaitan kepada mereka yang kuat beribadah kepada Allah. Melalui ibadah ini, syaitan akan mempengaruhi manusia untuk menganggap dirinya sudah bebas daripada azab Allah. Dia akan memandang dirinya lebih selamat daripada azab itu serta berhak mendapat pahala serta keampunan-Nya.

Cara ketiga ialah melalui harta kekayaan, syaitan akan menghasut mereka yang berharta untuk merasakan kenikmatan dunia adalah hakiki, oleh itu seluruh perhatian dicurahkan kepada usaha bagi menambah kekayaan. Apabila sudah memiliki kekayaan, dia merasa bahawa itu semua adalah hasil usahanya tanpa memikirkan bahawa ia adalah kurniaan dan sifat pemurah Allah s.w.t. Akibatnya dia menjadi sombong dan menganggap orang-orang miskin sebagai pemalas serta tidak layak untuk dikasihani, akhirnya sifat kedekut menjadi-jadi sehingga membawanya kepada kekufuran.

Cara keempat ialah melalui kekuasaan. Syaitan akan menghasut manusia untuk menggunakan kuasa yang dimiliki bagi menghirup sebanyak-banyaknya kenikmatan duniawi. Oleh itu tidak hairanlah pada masa ini kita lihat ada sesetengah manusia yang `bertarung' sesama sendiri untuk mendapatkan kekuasaan dan jawatan sehingga sanggup menghalalkan apa juga cara bagi mendapatkannya, yang penting kuasa menjadi miliknya. Bagaimanapun mereka tidak sedar bahawa kekuasaan yang dimiliki melalui cara demikian hanya akan menjerumuskan mereka ke lembah kebinasaan, dan lebih menyedihkan lagi mereka bukan sahaja lupa tanggungjawab kepada rakyat tetapi juga sanggup melakukan penyelewengan. Ternyata sekali permainan syaitan dan iblis untuk menghasut manusia ke arah kesesatan amat halus, hanya mereka yang benar-benar beriman kepada Allah mampu melepasi godaan syaitan tersebut. Justeru dalam menjalani kehidupan ini, tidak perlulah kita bersikap sombong terhadap segala yang kita miliki. Sesungguhnya di alam fana ini semuanya hanya pinjaman semata-mata.

Kita juga harus berhati-hati dengan perangkap syaitan yang tidak pernah berputus asa untuk menghasut manusia ke arah kejahatan. Rahmat Kita seharusnya sentiasa bersyukur dengan setiap rahmat yang diberikan oleh Allah s.w.t. serta tabah menghadapi setiap ujian-Nya. Sesungguhnya Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud; Dan ingatlah ketika Tuhan-Mu memaklumkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih. Oleh itu amalkanlah sikap rendah diri dalam apa juga yang kita lakukan. Sesungguhnya semakin rendah hati seseorang, semakin tinggi martabatnya di sisi Allah. Sebaliknya semakin sombong seseorang, maka semakin besarlah murka Allah kepadanya dan mereka yang sombong itu pasti akan menempuh kehancuran.

No comments:

Post a Comment

Translate

Muhasabah Diri Sebelum Tidur

"Sabda Rasulullah :"Barangsiapa memaafkan kesalahan saudaranya yang Islam, Allah akan mengampuni dosa-dosanya pada hari Kiamat..."
(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

بِاسْمِكَ اللّهُمَّ أَحْيَاوَأَمُوتُ
Bismikallahumah Ahya Wa'amut...