Pages

Saturday, February 2, 2013

Tafsir Qur'an Karim : Rukun Iman

RUKUN IMAN (Kepercayaan/Pegangan).


Keimanan bagi diri seorang Mukmin itu ada ENAM (6):

1) Beriman Kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

- Mengi'tiqadkan (meyakini) bahawa Allah itu satu, tidak beranak, tidak berbapa, dan tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala;

"Yang menciptakan langit dan bumi, Dia mengadakan jodoh (pasangan) bagimu, daripada (jenis) dirimu, begitu juga jodoh-jodoh pada binatang-binatang ternak, sehingga kamu menjadi ramai. Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai-Nya. Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Asy-Syura 42:11)

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala;

" [1] Katakanlah (ya Muhammad): Dialah Allah yang Maha Esa. [2] Allah yang dituju* (untuk meminta hajat). [3] Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan (berbapa). [4] Dan tidak ada satupun yang menyerupai-Nya."
(Al-Ikhlas 112:1-4)

* Maksud Ash Shamad (ayat 2) : Yang dimaksud/disengaja dan dituju untuk meminta segala hajat. Maka Allah hanya satu-satunya tempat meminta hajat. Bukan kepada kubur-kubur, batu-batu, jin-jin atau malaikat sekalipun.

- Dia yang mula-mula sekali (tidak berawal) dan paling akhir (tidak berakhir, tidak mati).

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala;

"Dia yang awal dan yang akhir, yang lahir dan yang batin, dan Dia Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu." 
(Al-Hadiid 57:3)

Dia (Allah) berserta kamu di mana pun kamu berada, yang bermaksud; Allah mengetahui setiap perkara tentang kamu, keadaan kamu dan di mana pun kamu berada. Allah tidak bertempat, yang bertempat itu ialah makhluk-Nya, sedang Allah tidak serupa dengan suatu apa pun.

- Dia berkuasa menjadikan langit dan bumi, matahari dan bulan, bintang-bintang dan tiap-tiap sesuatu yang lain.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala;

"Yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah akan ada bagi-Nya anak, sedang Dia tidak mempunyai isteri? Dia menciptakan tipa-tiap sesuatu dan Dia Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu."
(Al-An'am 6:101)

Ayat ini adalah sanggahan kepada orang-orang Yahudi yang mengatakan 'Uzair anak Allah, orang-orang Nasrani mengatakan Isa (nabi) anak Maryam sebagai anak Allah, dan orang-orang musyrikin mengatakan para malaikat adalah anak-anak Allah. Kenyataan ini tidak lain hanyalah kerana kebodohan mereka.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala;

"Sesunguhnya Tuhanmu ialah Allah, yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arasy. Dia tutupkan malam kepada siang dan mengiringinya dengan segera. Dia ciptakan matahari, bulan dan bintang-bintang yang tunduk di bawah perintah-Nya. Ingatlah, kepunyaan Allah hak ciptaan dan segala urusan. Maha Berkat Allah, Tuhan Semesta Alam."
(Al-A'raaf 7:54)

Dalam ayat ini disebutkan bahawa Allah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa. Tetapi masa itu bukanlah seperti enam hari atau enam jam seperti yang kita alami melainkan enam masa pada sisi Allah seumpama sehari bersamaan seribu tahun, sebagaimana yang disebut di dalam surah Al-Hajj ayat 47;

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala;

"Mereka minta segerakan seksa kepada Engkau, pada hal Allah tiada akan memungkiri janji-Nya. Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti seribu tahun dari apa yang kamu hitung." 
(Al-Hajj 22:47)

Sehari pada hari kiamat, 50 ribu tahun lamanya;

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala;

"Malaikat-malaikat dan roh naik kepada-Nya dalam sehari, yang lamanya lima puluh ribu tahun."
(Al-Maa'rij 70:4)

Sesungguhnya masa dan waktu di sisi Allah adalah masa yang amat panjang; tiap-tiap masa itu berlainan sifatnya dari yang lain.

- Dia hidup dan tidak mati.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala;

"Tawakkallah (berserah) kepada (Allah) Yang Hidup, yang tiada mati, dan tasbihlah serta memuji-Nya. Cukuplah Dia Maha Mengetahui segala dosa hamba-Nya." 
(Al-Furqan 25:58)

- Dia mendengar lagi melihat (tetapi bukan dengan telinga dan mata seperti manusia, tetapi sesuai dengan sifat-Nya).

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala;

"Demikian itu, kerana Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Al-Hajj 22:61)

- Dia berkata-kata (tetapi bukan seperti perkataan manusia, tetapi sesuai dengan sifat-Nya).

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala;

"Ada beberapa orang rasul, telah Kami kisahkan kepada engkau sebelum itu, dan ada beberapa rasul (yang lain) tiada Kami kisahkan kepada engkau, Allah telah berkata-kata dengan Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan)."
(An-Nisaa' 4:164)

Adapun al-Qur'an itu ialah perkataan Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang disampaikan oleh Jibril kepada nabi Muhammad Shalallahu 'Alaihi Wasallam dalam bahasa Arab.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala;

"Sesungguhnya Kami turunkan al-Qur'an dalam bahasa Arab agar kalian memahaminya."
(Az-Zukhruf 43:3)

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala;

"Jika seseorang di antara orang-orang musyrik minta perlindungan kepadamu, hendaklah engkau perlindungi, sehingga mereka mendengar perkataan Allah (al-Qur'an), kemudian sampaikanlah dia ke tempat keamanannya (negeri). Demikian itu, kerana mereka satu kaum yang tiada mengetahui." 
(At-Taubah 9:6)

Ringkasnya, Allah itu bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan Maha Suci dari segala sifat kekurangan.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala;

"Sebab itu tasbihlah engkau, serta memuji Tuhanmu dan hendaklah engkau ternasuk orang-orang yang sujud."
(Al-Hijr 15:98)


2) Beriman Kepada Rasul-rasul Allah.

Beriman kepada rasul-rasul itu , iaitu mengi'tiqadkan bahawa Allah mengutus beberapa rasul (pesuruh) kepada manusia, untuk memberi khabar gembira dengan syurga dan khabar yang mengerikan tentang neraka. Allah subhanahu Wa Ta'ala telah mengutuskan ramai rasul-rasul bermula dari Nabi Adam Alaihi Salam hinggalah Nabi Muhammad Shalallahu 'Alaihi Wasallam junjungan kita.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"[83] Itulah hujah (keterangan) Kami, Kami anugerahkan kepada Ibrahim untuk kaumnya. Kami tinggikan darjat orang yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksanalagi Maha Mengetahui. [84] Kami anugerahkan kepadanya (Ibrahim) Ishaq dan Ya'qub. Keduanya itu Kami beri petunjuk dan Kami telah menunjuki Nuh sebelum itu dan di antara keturunannya (Kami tunjuki) Daud, Sulaiman, Ayyub, Yusuf, Musa dan Harun. Demikianlah Kami balasi orang-orang yang berbuat kebaikan. [85] Dan (Kami tunjuki juga) Zakaria, Yahya, 'Isa dan Ilyas. Semuanya itu orang-orang yang soleh. [86] Dan (begitu juga) Ismail (anak Ibrahim), Ilyasa',Yunus dan Luth. Semuanya itu Kami lebihkan (darjatnya) atas orang-orang dalam alam." 
(Al-An'aam 6:83-86)

-Rasul-rasul itu semuanya benar (tidak berdusta), lurus (bukan khianat), menyampaikan segala perintah Allah serta cerdik.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"[13] Tunjukkanlah kepada mereka suatu contoh, (iaitu) penduduk suatu negeri, ketika datang kepadanya beberapa orang utusan (Isa). [14] Ketika Kami utus kepada mereka dua orang (utusan), lalu mereka mendustakan keduanya, kemudian Kami perkuat dengan (utusan) yang ketiga, lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami (ketiga-tiganya) diutus kepadamu. [15] Sahut mereka itu: Kamu tidak lain, hanyamanusia seperti kami dan yang Maha Pengasih (Allah) tiada menurunkan suatu juapun; kamu tidak lain, hanya semata-mata berdusta. [16] Sahut utusan-utusan itu: Tuhan kami mengetahui, bahawa sesungguhnya kami diutus kepadamu. [17] Tiadalah kewajipan kami, melainkan menyampaikan dengan jelas."
(Yaasin 36:13-17)

Suatu hari Nabi Isa menghantar beberapa orang rasul (utusan) ke sebuah negeri yang penduduknya menyembah berhala. Mula-mula diutusnya dua orang utusan iaitu Nabi Yahya dan Nabi Yunus, lalu mereka mendustakan keduanya. Kemudian disokong dan dibantu oleh utusan yang ketiga iaitu Syam'un, lalu katanya: "Kami bertiga diutus kepada kamu, supaya kamu menyembah Allah dan meninggalkan menyembah berhala." Sahut mereka itu: "Kamu tidak lain hanya manusia juga seperti kami, kamu orang pembohong."

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"[50] (Lalu mereka mati), tiada tempat berwasiat (kepada anak-anaknya) dan tidak pula sempat pulang ke ahli rumahnya. [51] Dan sangkakala ditiup, lalu mereka keluar dengan segera dari dalam kuburnya menghadap Tuhan mereka. [52] Mereka berkata: Aduhai celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur)? Inilah yang dijanjikan oleh Rahman dan teranglah kebenaran rasul-rasul."
(Yaasin 36:50-52)


3.) Beriman Kepada Malaikat-Malaikat.

Beriman kepada para malaikat, iaitu mengi'tiqadkan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta'ala menjadikan satu 'alam rohani, namanya malaikat. Mereka itu mengikut apa sahaja perintah Allah dan menjalankan segala urusan-Nya.

Antara nama-nama Malaikat yang wajib kita ketahui adalah;

a. Jibril - Dia ialah penghulu segala malaikat. Tugasnya menyampaikan wahyu kepada rasul dan Nabi. Malaikat Jibril adalah satu dari nama-nama malaikat yang namanya disebut dalam al-Quran. Nama Malaikat Jibril disebut dua kali dalam al-Qur'an;

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"[97] Katakanlah: Barang siapa menjadi musuh bagi Jibril, maka sesungguhnya Jibril itu menurunkan Qur'an ke dalam hati engkau (ya Muhammad) dengan izin Allah, serta membenarkan (kitab) yang sebelumnya menjadi petunjuk dan khabar gembira bagi orang-orang beriman. [98] Barang siapa menjadi musuh bagi Allah, malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, Jibril dan Mikail, maka sesungguhnya Allah musuh bagi orang-orang kafir itu."
(Al-Baqarah 2:97-98)

b. Mikail - Tugasnya ialah menurunkan hujan untuk menghidupkan bumi, bintang-bintang, pokok-pokok, dan tumbuh-tumbuhan yang lain.

c. Izrail - Tugasnya ialah mengambil nyawa sekalian makhluk. Izrail juga dipanggil malaikat maut. Malaikat Izrail diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan yang serupa dengan malaikat Mikail baik wajahnya, saiznya, kekuatannya, lisannya dan sayapnya. Semuanya tidak kurang dan tidak lebih.

d. Israfil - Tugasnya ialah meniup sangkakala jikalau tiba masa hari Kiamat nanti. Dia akan meniup dengan tiga tiupan, pertama adalah tiupan mengejutkan, tiupan kedua adalah tiupan kematian dan tiupan ketiga adalah tiupan kebangkitan.

e. Raqib dan Atid - berada di kiri dan kanan setiap manusia. Malaikat Raqib di sebelah kiri mencatat amalan jahat sementara Malaikat Atid di sebelah kanan mencatat amalan baik. Tiap satu kebajikan ditulis dengan sepuluh ganda kebajikan manakala satu kejahatan ditulis dengan satu kejahatan sahaja. Kesimpulannya segala tingkah laku manusia tidak akan terlepas dari catatan kedua-dua malaikat ini.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"Tidak suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir."
(Qaaf 50:18)

f. Munkar dan Nakir - Kedua-dua malaikat ini bertugas menyeksa dan mengemukakan soalan-soalan kepada orang yang telah meninggal dunia di dalam kubur. Tidak ada seorang pun yang dapat melepaskan dirinya daripada kedua-dua malaikat ini walaupun di mana pun mereka mati.

g. Malik - Tugasnya menjaga neraka.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"Mereka berseru, 'Hai Malik, biarlah Rabb-mu membunuh kami saja'. Dia menjawab, 'Kamu akan tetap tinggal (di Neraka ini)'. Sesungguhnya Kami telah membawa kebenaran kepada kamu tetapi kebanyakan diantara kamu benci kepada kebenaran itu."
(Az-Zukhruf 43:77-78)

h. Ridhwan - Tugasnya ialah menjaga syurga.

i. Harut dan Marut - Keduanya termasuk malaikat yang namanya tertulis di dalam al Qur’an.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman(dan mereka mengatakan bahawa sesungguhnya Sulaiman itu mengamalkan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir(tidak mengamalkan sihir), hanya syaitan-syaitan itu yang kafir(mengamalkan sihir). Mereka mengajar sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat di negeri Babil(Babylon) iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan : "Sesungguhnya kami hanya cubaan(bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir(dengan mempelajari sihir ini dari kami)." Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dapat memisahkan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu(ahli sihir) tidak akan dapat memudaratkan kepada seseorang dengan sihirnya kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudharat dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi) telah pun mengetahui bahawa barangsiapa yang memilih ilmu sihir itu, tiada baginya keuntungan di akhirat dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir jika mereka mengetahui." 
(Al-Baqarah 2:102)

j. Ar Ra'd - Salah satu malaikat yang diserahi tugas untuk mengatur awan.

k. Zabaniah - Merupakan nama malaikat-malaikat yang ditugaskan untuk menyeksa orang-orang yang berada di neraka.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"[15] Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), [16] Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah. [17] Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya), [18] Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!"
(Al-'Alaq 96:15-18)


4) Beriman Kepada Kitab-Kitab Allah.

Beriman kepada kitab-kitab iaitu mengi'tiqadkan bahawa Allah menurunkan beberapa kitab suci kepada Rasul-Rasul-Nya, supaya disampaikan kepada umat mereka. Di antara kitab-kitab itu ialah Taurat bagi Nabi Musa, Injil bagi Nabi 'Isa, Zabur bagi Nabi Daud dan Al-Qur'an bagi Nabi Muhammad Shalallahu 'Alaihi Wasallam.


5) Beriman Kepada Hari Yang Kemudian.

Beriman kepada hari yang kemudian iaitu mengi'tiqadkan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta'ala bakal membangkitkan (menghidupkan) segala manusia, sesudah mati, (hari kiamat). Kemudian dibalas tiap-tiap orang menurut amalannya masing-masing. Baik dibalas dengan baik, buruk dibalas dengan buruk. Orang-orang Mukmin akan dimasukkan ke dalam syurga (kesenangan) dan orang-orang kafir akan dihumban ke dalam neraka (kesengsaraan).


6) Beriman dengan Qada' dan Qadar (Takdir).

Di dalam hadis Rasulullah Shalallahu 'Alaihi Wasallam ada disebutkan tentang takdir (ketentuan Allah) dan semua orang Mukmin wajib beriman dengannya. Ertinya apa sahaja yang berlaku dalam alam ini, dan kehidupan kita, mahupun baik atau buruk, semuanya adalah takdir atau aturan dan ketentuan Allah.

No comments:

Post a Comment