Bercakap tentang doa, saya teringat satu kisah yang 
sangat-sangat memberikan kesan dalam kehidupan saya. Guru-guru saya di 
sekolah, semenjak sekolah rendah, sangat menerapkan doa. Jadi, saya 
sudah dibiasakan dengan Solat Hajat, Solat Dhuha, Qiamullail, 
waktu-waktu doa yang mustajab seperti ketika hujan dan sebagainya agar 
saya rajin berdoa, dan agar doa saya makbul. Jadi, bila Allah 
anugerahkan saya kejayaan, saya sentiasa rasa, itu sebab saya doa dengan
 bersungguh-sungguh. Namun satu cerita mengubah persepsi saya.
  Cerita yang saya dengar itu begini:
  
  Kisah berkenaan seorang abang dan seorang adik.
  Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah 
pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba 
ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan 
Allah SWT.
  
  Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah 
nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri
 yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.
 Si Adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia 
membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah 
meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering 
dipegangnya setiap kali berdoa.Akhirnya, Allah mempertemukan seorang 
perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh hati 
kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan
 kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan 
meninggalkan adiknya.
  
  Si Abang akhirnya kaya raya, malah 
terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan
 ALLAH, melewat-lewatkan solah, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak 
pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam 
bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada 
ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia 
istimewa. si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang 
sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hanya 
mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga 
rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang 
melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari, ketika Si 
Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:
  
  
“Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau 
ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok 
kertas. Tak cukup hebat.”Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur
 kerana padanya, teguran abang amat bermakna.
  Si Adik terus hidup 
sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, 
dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang. 
Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah
 pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya
 sering pegang ketika berdoa.
  Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.
  
  Kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkanlah segala doa abang aku”
  MasyaALLAH
  
  Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat
 kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT. 
Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada ALLAH, malah tidak 
meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si
 Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si 
Adik.
  Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. 
Tetapi doa adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya 
menjadi makbul.
  
  Cerita ini meruntun hati saya, dan buat saya 
sentiasa berfikir panjang.Kadang-kadang kita, bila Allah realisasikan 
hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita. “Aku buat beginilah 
yang jadi begini.” “Doa aku makbul seh!” “Aku ni memang Allah sayang. 
Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta je pun.”
  
  Tanpa 
sedar kita bongkak. Takabbur. Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang 
makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa 
sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita. Cerita itu sangat menyentuh 
hati saya.Membuatkan setiap kali saya berdoa, saya tidak lupa mendoakan 
ibu bapa saya, guru-guru saya, keluarga saya, adik beradik saya, 
sahabat-sahabat karib saya, yang teramat akrab saya sebutkan namanya 
agar lebih merasai bahawa saya memerlukan mereka mendoakan saya 
juga.Kita ini banyak dosa. Banyak hijab.
  
  Mungkin doa orang 
lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, 
menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan 
berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang makbul. 
Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha 
sahaja sebenarnya. Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan 
kita.
  
  Semoga Allah redha dengan kita.
  MARI MENJADI HAMBA ALLAH!
No comments:
Post a Comment