Pages

"Wahai Tuhan kami, anugerahkan kepada kami pasangan-pasangan dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam / ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. Ya Allah.... Jadikanlah pasangan kami... Pembantu kami dalam melakukan ketaatan kepada-Mu... Kekalkanlah kasih sayang kami hingga ke syurga-Mu... Tunjukilah kami jalan keluar .... Terhadap masalah-masalah yang kami hadapi ....

Hanya kepadaMu tempat kami mengadu ... Engkau Maha Berkuasa membuka hati-hati manusia... Jadikanlah anak-anak kami zuriat yang soleh... Lembutkanlah hati-hati mereka ... Masukkanlah Nuur HidayahMu ke dalam hati mereka... Ya Allah , Ampunilah dosa kami di atas kelalaian kami dalam mendidik mereka mengenali-Mu... Jauhkanlah mereka daripada pengaruh-pengaruh... Yang merosakkan akhlak dan aqidah mereka... Jauhkanlah mereka daripada kawan-kawan yang jahat ... Kurniakanlah kami kekuatan untuk terus menasihati dan mendoakan mereka ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa menunaikan solat ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa ringan melakukan ketaatan kepada-Mu ... Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa mendoakan kami ketika kami berada di dalam kubur...."

aurat

aurat

Thursday, October 18, 2012

Khutbah Jumaat “ANUGERAH ILAHI”


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“ANUGERAH ILAHI”
(19 OKTOBER 2012 / 3 ZULHIJJAH 1433H)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: ANUGERAH ILAHI ”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Berdasarkan kepada laporan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, bahawa pada ketika ini di anggarkan 9.8 juta (36%) penduduk negara kita terdiri daripada golongan kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun. Golongan ini merupakan anugerah dan nikmat yang terbesar daripada Allah SWT  dan merupakan aset pembangunan negara pada masa depan. Bagi pasangan ibubapa ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan yang berlipat kali ganda sekiranya mereka di didik dan dibentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh. Sebaliknya, jika diabaikan dari segi didikan, tidak mustahil akan menjadi anak yang derhaka, terbiar dan pada masa akan datang akan menjadi sampah kepada masyarakat dan negara. Justeru memiliki anak yang soleh serta baik budi pekertinya menjadi impian setiap ibubapa dan keluarga sebagaimana kisah Nabi Zakaria AS yang memohon dengan berdoa kepada Allah SWT agar di kurniakan anak-anak yang soleh. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 38:
Bermaksud: Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”.

          Anak-anak sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih dari sebarang kekotoran samada zahir ataupun batin, maka menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mencorakkan samada untuk membentuknya menjadi insan berjaya ataupun tidak. Anak yang soleh akan memberi manafaat yang amat besar kepada kedua ibubapa. Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud:“Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedakah jariah, ilmu yang bermanafaat dan anak yang soleh yang mendoakan. (Riwayat Imam Muslim)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Dalam membina potensi anak anak, maka pendidikan kepada mereka hendaklah dimulakan sejak awal lagi, kerana pada usia itu segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka. Ibnu Sina pernah berpesan, katanya: “ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk . Rasulullah SAW telah menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak-anak iaitu: 
Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun) hendakkah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana haiwan menjaga anak. 
Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab kepada mereka. Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat. 
Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun, hendaklah diberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu-bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.
Ibnu Khaldun telah membahagikan tujuan pendidikan kepada tiga bentuk pendidikan: Pertama: Mempersiapkan seorang anak dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama menurut al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ini akan membina akidahnya dan membentuk peribadi yang beriman. 
Kedua: Mempersiapkannya dari segi akhlak, dan Ketiga: Mempersiapkannya dari segi pemikiran, ini termasuk ilmu-ilmu umum duniawi, kerana dengan memiliki pemikiran dan ilmu yang baik dan tepat seseorang itu akan mampu berdikari dan memiliki ketrampilan untuk melaksanakan tugas dengan baik.
          Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Berilah nasihat dan teguran kepada mereka dalam hal akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana nasihat dan teguran tidak boleh dibuat setiap hari atau setiap masa kerana anak-anak akan mudah merasa jemu dan bosan. Contohilah apa yang dilakukan oleh Lukman al-Hakim di dalam mendidik anak-anaknya. Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 13:
Bermaksud:  “Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sebagai ibu-bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila mereka telah dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang. Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat. Dari itu amat penting pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia. Kerana dengan pendidkan agama, prinsip iman mereka akan teguh. Ini akan membantu mereka menghadapi masalah-masalah sosial serta membantu mereka menghadapi cabaran masa akan datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak-anak kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pemikiran. Sehinggakan ada sebahagian dari mereka sanggup mengadai prinsip kehidupan mereka.
Mimbar ingin mengingatkan sidang jemaah dan umat Islam sekalian bahawa kegelojohan nafsu syahwat diperingkat remaja sangat kuat. Jika punca dan tempat yang menaikkan nafsu tidak ditutup dan kelemahan iman serta kedangkalan akal menjadi sifat mereka, maka selagi itulah anak-anak kita terdedah kepada gejala keruntuhan akhlak dan menghancurkan kehidupan. Kehendak nafsu yang berunsur syahwat sentiasa mencabar setiap peringkat kehidupan, ia boleh menjejaskaan kualiti akhlak manusia setaraf dengan binatang. Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengingatkan sabdanya,
Mafhumnya: Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati”(Riwayat : al-Hakim dan Ibnu Majah).

Ingatlah bahawa memelihara anggota keluarga dari ancaman neraka tidak bererti kita hanya bersikap pasif dengan hanya mencegah mereka daripada berbagai perbuatan maksiat. Tetapi kita juga mesti bersikap aktif dalam mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka agar pembentukan ini berperanan sebagai kubu dan daya tahan yang dapat menepis dan menapis pengaruh persekitaran yang penuh mencabar. Ingatlah pepatah orang melayu ’ ampuh bak ikan di laut walaupun sepanjang hayat badannya tetap tidak masin’. Peranan ibu-bapa bukan sahaja menjadi “Tuan” di rumah, tetapi mereka adalah pengurus, pembimbing dan pengasuh. Tanggungjawab ibu-bapa bukan hanya memberi arahan, tetapi perlu menonton, membimbing, mengasuh dan menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani.Barulah pendidikan kita akan memberikan kesan untuk mencapai matlamat pembentukan nilai murni serta prinsip yang kukuh dalam diri anak-anak.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, Bersempena dengan Sambutan Hari kanak kanak Sedunia pada hari ini, yang bertemakan: KARISMA KANAK-KANAK; SERLAHKAN POTENSI DIRIMU, maka mimbar menyeru marilah kita bersama-sama menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam yang di dokongi oleh ibu bapa. Isilah masa kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manafaat kepada diri mereka. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa anugerah ilahi ini merupakan sebahagian daripada amanah daripada Allah SWT yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72:
Bermaksud: Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.

ayat 6


No comments:

Post a Comment

Translate

Muhasabah Diri Sebelum Tidur

"Sabda Rasulullah :"Barangsiapa memaafkan kesalahan saudaranya yang Islam, Allah akan mengampuni dosa-dosanya pada hari Kiamat..."
(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

بِاسْمِكَ اللّهُمَّ أَحْيَاوَأَمُوتُ
Bismikallahumah Ahya Wa'amut...