Pages

Thursday, October 18, 2012

Kemanisan iman


Rancangan Selami Jiwa bertajuk Mengetuk Pintu Taubat bersama Jamal Abdillah dan Sham Kamekazi akan disiarkan di Astro Oasis sempena Hari Raya Aidiladha ini.
Bagaikan fenomena di negara ini, ramai artis mahupun penggiat seni tanah air dilihat mula membuat penghijrahan dengan memilih untuk mendekatkan diri kepada agama.
Malah, ada dalam kalangan mereka yang dahulunya tidak tahu menahu mengenai ajaran agama, tetapi kini mampu memberikan nasihat dan berkongsikan pandangan mengenai Islam.
Pastinya setiap daripada mereka mempunyai kisah dan alasan tersendiri untuk berubah.
Jelas seperti firman Allah SWT menerusi ayat di atas membuktikan bahawa tiada siapa yang mampu mengubah seseorang itu, walaupun dengan apa juga cara melainkan mendapat hidayah daripada Allah SWT.
Berita perubahan artis itu bukan sahaja mempengaruhi industri seni tanah air, malah khabar gembira para pendakwah dan agensi dakwah Islamiah.
Agama Islam yang merupakan agama persekutuan di negara ini juga terkesan daripada perubahan tersebut menjadi Islam semakin baik diamalkan dan berkembang melalui pelbagai medium.
Pengaruh daripada artis tersebut yang mempunyai peminat tertentu berpotensi mengajak peminat untuk berubah apabila melihat perwatakan baru artis pujaan mereka.
Walau bagaimanapun, dugaan untuk berubah bukanlah semudah yang disangka, tetapi perlu dihadapi dengan semangat dan usaha yang kuat untuk berubah.
Luaskan rezeki
Penyanyi terkenal negara, Jamal Abdillah berkata, terkilan melihat keadaan hidup kumpulan bermasalah yang sama sepertinya satu masa lalu membuatkan hatinya terdetik untuk berubah.
Beliau yang pada masa itu hanyut dengan keseronokan dunia mula menyedari akan kesilapannya selepas dimasukkan ke dalam pusat pemulihan dan bergaul bersama golongan yang mempunyai masalah sepertinya.
"Saya melihat golongan yang mempunyai masalah seperti saya, lalu saya tertanya-tanya kepada diri sendiri, ke manakah hala tuju dan arah masa depan saya jika terus begini? Beginikah hidup yang saya inginkan?
"Oleh itu saya mula berfikir untuk berhenti daripada melakukan perbuatan lalu. Caranya adalah dengan menginsafi kesalahan silam melalui berguru daripada pengalaman lalu untuk cuba memperbaiki diri.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan hidayah yang Allah SWT kurniakan ini pada saat yang saya benar-benar memerlukan, saya dapat berubah secara perlahan-lahan," katanya ketika ditemui selepas rakaman rancangan Selami Jiwa Astro Oasis, baru-baru ini.
Rancangan Selami Jiwa yang dihoskan oleh Datuk Dr. Fadzilah Kamsah akan ditayangkan pada setiap Isnin pukul 7.30 malam.
Jamal tidak menafikan, walaupun agak sukar sepanjang melalui proses untuk berubah, namun tertanya kesukaran tersebut mempunyai hikmah tersendiri yang beliau sendiri tidak disangka-sangka.
"Proses kehidupan setiap insan adalah berbeza. Pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk mendapatkan erti kehidupan sebenar. Cabaran yang paling sukar untuk berubah adalah untuk mengikis memori silam daripada kembali menurut nafsu dan kehendak diri daripada mengulangi kesilapan lalu.
"Namun apabila saya cuba berusaha dan berjaya berubah, banyak perbezaan yang dirasakan. Antaranya, pencapaian yang selama ini diimpikan tercapai selepas bertaubat.
"Selain bernyanyi, saya juga mempunyai perusahaan beberapa perniagaan menternak ikan dan mengurus kilang sarung tangan. Tidak disangka, banyak projek masuk daripada perniagaan tersebut setelah saya bertaubat. Rezeki yang selama ini hanya cukup-cukup makan juga menjadi melimpah ruah," jelasnya.
Ketika ditanya hasratnya untuk menyebarkan dakwah, Jamal berkata, beliau belum merancang untuk melakukan usaha tersebut tetapi akan disampai mengikut cara yang tersendiri.
"Buat masa ini, saya tidak merancang untuk mengajak secara terus golongan seperti saya dahulu untuk bertaubat, tetapi akan disampaikan melalui nyanyian. Lirik lagu yang mempunyai mesej positif mungkin dapat menyentuh perasaan dan membuka hati golongan ini untuk berubah.
"Setakat ini juga saya tidak terlibat dengan sebarang pertubuhan atau gerakan dakwah secara langsung tetapi saya akan cuba menunjukkan sifat yang baik supaya dapat dicontohi oleh orang ramai," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121018/ba_03/Kemanisan-iman#ixzz29i0sByr9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment