Pages

Friday, August 10, 2012

Ancaman Allah Terhadap Pencaci Maki, Pengumpat, Dan Pencinta Harta Dunia

Assalamualaikum w.b.t...

Bismillahirrahmanirrahiim...

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Humazah maksudnya:

"Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, [1] Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; [2] Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! [3] Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam “Al-Hutamah”. [4] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Al-Hutamah” itu? [5] (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya), - [6] Yang naik menjulang ke hati; [7] Sesungguhnnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka. [8] (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang. [9] " (Al-Humazah : 1-9) - Makkiyyah

Penerangan Ayat 1:

'Ata dan Al Kalbi berkata:

"Surah ini diturunkan berkenaan dengan Akhnas bin Syuraiq. Ia senang mengejek-ejek orang lain dan mencaci mereka, lebih-lebih mencaci Nabi Muhammad s.a.w",

Maqatil berkata:

"Surah ini turun berkenaan dengan Al Walid bin Al Mugirah. Ia mencela Nabi Muhammad s.a.w., di belakang beliau dan membantah bila berhadapan dengan beliau".

Muhammad bin Ishaq, penulis sejarah nabawiyyah berkata:

"Senantiasa kita dengar bahwa surah ini turun berkenaan dengan Umayyah bin Khalaf".

Dalam ayat ini Allah mengancam bahawa kemurkaan dan azab-Nya akan ditimpakan kepada setiap orang yang mengumpat, mencela dan menyakiti orang lain baik di hadapan mahupun di belakang mereka.

Penerangan Ayat 2:

Dalam ayat ini Allah s.w.t menyatakan sebab kecelakaan dan kebinasaan mereka iaitu kerana mereka memperkaya diri sendiri serta selalu menghitung-hitung harta kekayaannya itu kerana sangat cinta dan senangnya kepada harta seakan-akan tidak ada kebahagiaan dan kemuliaan dalam hidup kecuali kerana harta. Bila mereka menoleh kepada hartanya yang banyak itu mereka merasakan bahawa kedudukannya sudah tinggi dari orang-orang sekelilingnya.

Dia tidak merasa khawatir akan ditimpa musibah kerana mereka mencerca dan merobek-robek kehormatan orang lain. Kerana kesombongan mereka lupa dan tidak sedar bahawa maut selalu mengintai, malah mereka tidak memikirkan apa yang akan terjadi sesudah mati dan tidak pula merenungkan apa-apa yang akan terjadi atas diri mereka di akhirat.

Penerangan Ayat 3:

Kemudian dalam ayat ini Allah menyatakan salahnya sangkaan pengumpat dan pencerca, bahawa harta yang dimiliki itu akan menjamin mereka tetap hidup di dunia selamanya (menjamin keselamatan, mencari ubat-ubatan yang mahal atau melalui teknologi canggih agar mereka dapat melarikan diri dari kematian). Oleh kerana itu tindakan-tindakan mereka sama dengan tindakan orang yang akan hidup selama-lamanya dan bila mereka mati tidak akan hidup kembali untuk menerima balasan atas amal kejahatannya selama hidup di dunia.

Penerangan Ayat 4:

Sesudah mengancam orang-orang yang bersifat demikian dengan siksa-Nya yang pedih. Allah s.w.t menyebutkan pula sebab yang membuat mereka mengerjakan sifat-sifat yang terkutuk itu iaitu mereka mengira bahawa semua harta mereka itu dapat menolong mereka dalam menghadapi kesulitan-kesulitan yang mereka hadapi. Ancaman dalam bentuk pertanyaan:

"Siapakah yang menyangka bahawa hartanya itu dapat menjamin dirinya dari mati?".

Allah menjawab: "Tidak sekali-kali tidak bahkan dia akan dilemparkan ke dalam neraka Hutamah, tidak ada yang memperhatikannya dan tidak pula yang memperdulikan".

Ali r.a pernah memberikan nasihat yang berbunyi:

"Wahai Kumail, binasalah orang-orang penimbun harta, padahal mereka masih hidup, sedang para ulama akan kekal abadi meskipun jasad mereka sudah hilang namun sifat-sifat keutamaan mereka tetap dikenang dalam hati".

Maksudnya, penimbunan harta dikutuk, dicela dan dibenci kerana manusia tidak mendapat apa-apa dari harta mereka. Sedang para sarjana dan ulama terus menerus terpuji selama terdapat di bumi orang-orang yang mengambil manfaat diri ilmu mereka.

Penerangan Ayat 5-6:

Dalam ayat-ayat ini Allah menggambarkan betapa dahsyatnya neraka Hutamah dalam bentuk pertanyaan: "Tahukah engkau apa Hutamah?".

Allah menjawab; "Hutamah iaitu api yang disediakan Allah untuk menyiksa orang-orang yang durhaka dan berdosa. Tidak ada yang mampu mengetahui apa hakikatnya kecuali Allah penciptanya."

Penerangan Ayat 7:

Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa api yang menyala-nyala itu berbeza dengan api dunia. Ia menjilat dan naik sampai ke hulu hati. Ia masuk ke dalam rongga perut sampai ke dada dan membakar hati. Hati adalah yang paling merasa sakit dari anggota-anggota badan lainnya, maka apabila api sampai membakar hati bererti siksa yang dirasakannya itu sudah sampai ke puncaknya.

Penerangan Ayat 8:

Dalam ayat ini Allah mengungkapkan bahawa api tersebut berlapis-lapis mengelilingi mereka. Mereka tidak dikeluarkan daripadanya dan tidak pula mampu keluar sendiri. Dalam ayat lain yang hampir sama maksudnya, Allah berfirman maksudnya:

"Setiap kali mereka hendak keluar dari neraka lantaran mereka, niscaya mereka dikembalikan ke dalamnya."(Al Hajj : 22)

Penerangan Ayat 9:

Dalam ayat ini Allah menjelaskan keadaan orang-orang penghuni neraka Hutamah, yaitu yang difahami dari kata "Muqatil" bahawa pintu-pintu neraka itu ditutup rapat, sedang mereka diikat pada tiang tiang besi, tidak pernah pintu-pintu itu dibuka dan di sana penuh dengan segala macam penderitaan.Tujuannya adalah untuk menjadikan mereka putus-asa untuk dapat keluar dari neraka Hutamah itu.

Semoga Allah menyelamatkan kita dari kemurkaan-Nya dan memelihara kita dari kedahsyatan api neraka itu dengan fa'al dan kurnia-Nya. Amin.

Wallahua'lam

Kebenaran Allah Yang Maha Agung!

No comments:

Post a Comment