Pages

Tuesday, July 10, 2012

Cara kenal pencipta


menggunakan kemudahan alat cerapan yang ada, Sairin Salleh ingin berkongsikan minatnya bersama masyarakat untuk menghayati kebesaran Allah SWT melalui ilmu astronomi.
TERASA amat kerdil menyaksikan kehebatan ciptaan alam cakerawala di langit yang luas terbentang bagaikan tiada penghujung. Lebih-lebih lagi melihatnya dengan lebih dekat."
Begitulah ungkapan syukur bercampur hiba yang diluahkan oleh penggemar astronomi, Sairin Salleh sehingga mendorongnya terus mendalami ilmu kaji bintang itu sejak dari bangku sekolah.
Bermula dengan mengikuti ayahnya pergi memburu, membuka hati anak kelahiran negeri Sabah itu untuk menceburkan diri dalam astronomi sehingga kini.
Walaupun perlu melaburkan ribuan ringgit, Sairin yang juga bertugas sebagai Penolong Pengurus Besar Telekom Malaysia Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan tidak pernah putus asa meneruskan minatnya sehingga berjaya menubuhkan kelab astronomi sendiri di rumah.
Baginya tidak mengapa dan berbaloi melaburkan wang ringgit asalkan dapat menghayati dan berkongsi kebesaran ciptaan Allah SWT yang sangat hebat sehingga tidak tercapai minda dan kemampuan makhluk untuk menerokainya.
Beliau percaya dengan firman Allah SWT sebagaimana di atas bahawa setiap makhluk yang diciptakan mempunyai manfaat tersendiri yang merupakan bukti kepada kekuasaan Allah SWT bagi orang yang ingin mengetahuinya.
Namun malangnya, ramai orang Islam yang hanya melihat keindahan alam semesta sekadar perhiasan mata di waktu malam tanpa memikirkan rahsia dan kehebatan di sebalik penciptaan tersebut.
Sedangkan menurutnya, ilmu astronomi adalah antara sebahagian daripada ilmu pengetahuan yang dapat mendekatkan diri manusia kepada Allah SWT dengan cara yang mudah dan menarik kerana tidak terikat kepada sebarang hukum hakam.
"Jika kita lihat di dalam al-Quran, Allah SWT telah menjelaskan semua kejadian yang berhubung dengan penciptaan langit dan bumi serta semua makhluk termasuk tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia mengikut masa-masa yang ditentukan.
"Bagaimana bumi dan seluruh galaksi terbentuk daripada letusan yang dikenali letupan mampat yang maha padu (Big Bang), kemudian diciptakan pula bulan dan bintang serta seluruh isi bumi turut dinyatakan dalam al-Quran.
"Oleh itu, astronomi dan al-Quran adalah saling berkaitan dan ia mampu mendekatkan diri seseorang hamba kepada penciptanya jika kita benar-benar menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT tersebut.
"Melalui penghayatan tersebut membawa kita mengenali dan mengetahui asal-usul kejadian manusia sama seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran dan diakui kebenarannya oleh kajian astronomi dan sains," katanya.
Sairin berkata demikian ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia di rumahnya di Subang Jaya, baru-baru ini.
Walaupun pernah mencuba pelbagai hobi seperti menternak ikan, memelihara binatang dan bercucuk tanam, tetapi semuanya tidak bertahan lama, namun tetap diteruskan.
Di laman rumahnya juga kelihatan sebuah reban ayam dan beberapa buah kolah ikan mini yang digunakan untuk meneruskan hobinya.
Tetapi astronomi memberikan semangat yang berbeza kepada Sairin. Didorong oleh semangat dan minatnya, Sairin telah membina balai cerap sendiri di rumahnya pada 2009 yang memakan belanja keseluruhan hampir RM100,000, termasuk kos peralatan cerapan.
Sairin juga telah melaburkan kira-kira RM6,000 untuk mendapatkan bahan rujukan dan sebanyak 24 gigabait koleksi buku versi digital yang dilanggan dan dimuat turun daripada Internet.
Tambahnya, ilmu astronomi bukanlah ilmu yang dibawa oleh ilmuan Barat sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tetapi ia merupakan kajian yang telah dilakukan oleh cerdik pandai Islam di zaman kegemilangan tamadun Islam.
Apa yang dipelopori oleh ilmuwan Islam itu telah dicedok oleh saintis barat, lalu mengembangkan ilmu tersebut lantas mendakwa itu penemuan mereka.
Sairin juga yakin, ilmu astronomi yang dalam dalam Islam dikenali sebagai falak berkait-rapat dengan kehidupan seluruh umat Islam dan terbukti lebih tepat berbanding kajian astronomi Barat yang sekadar keperluan dunia.
"Ilmu astronomi sangat penting bagi umat Islam kerana ia menjadi panduan dalam menentukan waktu dan hari penting yang membabitkan amalan umat Islam.
"Contohnya, kedudukan matahari menjadi panduan tibanya waktu solat dan arah kiblat, manakala bentuk bulan pula menjadi penentuan perubahan bulan dalam kalendar Islam.
"Selain itu, bulan dan bintang pada waktu malam pula menjadi penyuluh dan petunjuk arah kepada pelayar atau orang yang berjalan dalam hutan di samping mempunyai kelebihan-kelebihan yang tidak dapat dijelaskan mengikut sains," ujar Sairin yang mendakwa ramai pengkaji astronomi Barat memeluk agama Islam kerana kagum dengan keajaiban ajaran Islam.

No comments:

Post a Comment