Berbeza dengan kutipan zakat, wakaf dapat diperuntukan bagi tujuan yang lebih menyeluruh kepada semua golongan masyarakat.
SEJARAH telah membuktikan, Islam pernah mencapai zaman kegemilangan
ekonomi yang sangat hebat. Hinggakan tiada seorangpun yang layak
menerima zakat kerana tahap kemiskinan adalah sifar.
Ia berikutan perancangan ekonomi yang sistematik dan teliti yang
diamalkan oleh pemerintah Islam pada zaman tersebut, di samping
mengaplikasikan amalan ekonomi Islam dalam pemerintahan.
Salah satu daripadanya adalah amalan wakaf. Al-Qurtubi berpendapat
wakaf ialah mengeluarkan harta dan manfaat yang dimiliki ke jalan yang
diredai oleh Allah SWT demi untuk menghampirkan diri kepada Nya.
Wakaf bukan sesuatu yang baru untuk diperkenalkan. Malah ia telah
diamalkan sejak dari era pemerintahan sahabat dan tabiin yang terbukti
berkesan. Ia sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT menerusi
ayat di atas.
Sehinggakan kemuncak kepada gagasan wakaf pada zaman Khalifah
Uthmaniyyah iaitu, "Seseorang dilahirkan dalam rumah yang diwakafkan,
tidur dalam buaian yang diwakafkan, membaca buku yang diwakafkan,
mengajar dalam sekolah yang diwakafkan, menerima gaji daripada
pentadbiran wakaf, dan akhirnya bila ia mati kelak, urusan jenazahnya
adalah atas pentadbiran wakaf dan ia dikuburkan dalam tanah perkuburan
wakaf."
Penubuhan PWS
Sebab itu kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Abu Bakar Yang, wakaf mampu membaiki ekonomi negara.
Malah, mencontohi kegemilangan ekonomi pada zaman pemerintahan Islam ,
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan nasihat Sultan Selangor,
Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menubuhkan PWS pada Februari tahun
lalu.
PWS adalah perbadanan yang berperanan untuk menggalakkan, mendorong,
membantu, mengusaha dan memajukan harta serta produk wakaf mengikut
Hukum Syarak.
Kata Abu Bakar, jika amalan wakaf berkembang pesat di negara ini ia diyakini dapat membentu membaiki ekonomi.
Beliau berkata, konsep menerima dan mengurus mengembangkan harta
dalam amalan wakaf dapat membantu memperbaiki dan menyusun atur sistem
ekonomi negara dengan menyumbangkan hasil wakaf kepada golongan yang
memerlukan.
Sebagai contoh katanya, Universiti Al-Azhar, Mesir, ditubuhkan hasil
daripada kutipan wakaf. Kini, pelajar yang menyambung pelajaran di
universiti Islam tertua itu hanya perlu membayar yuran pada kadar yang
minimum sahaja.
"Pencapaian itu kerana, kutipan harta wakaf diuruskan dan
dikembangkan untuk manfaat masyarakat dengan cara melakukan kitaran
pendapatan pada hasil harta wakaf tersebut.
"Tidak mustahil juga di negara ini, dengan kutipan wakaf yang
disumbangkan mampu menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang
mengamalkan sistem ekonomi Islam dengan gemilang. Tidak mustahil pelajar
tidak dikenakan bayaran dengan tertubuhnya sekolah wakaf, pesakit juga
tidak dicas satu sen pun dengan terbinanya hospital wakaf," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di ibu pejabat PWS di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, baru-baru ini.
Selain menerima dan menguruskan kutipan harta wakaf, PWS turut
berfungsi sebagai agensi penyelaras di dalam pelaksanaan kemajuan
pembangunan harta dan produk wakaf secara pesat serta melaksanakan
kajian dan pembangunan di dalam semua aspek harta dan produk wakaf.
Abu Bakar berkata, berbeza dengan kutipan zakat, harta wakaf dilihat
lebih memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara kerana ia boleh
dimanfaatkan tanpa batasan selagi tidak menyalahi hukum syarak.
"Zakat wajib dikeluarkan oleh semua umat Islam yang cukup syarat.
Walaupun zakat juga memainkan peranan untuk pembangunan ummah, tetapi ia
terbatas kepada golongan sasaran sahaja iaitu lapan lapan golongan
asnaf yang disebutkan di dalam al-Quran dan perlu diagihkan segera pada
tahun yang sama.
"Akan tetapi, harta wakaf berkekalan dan memberi manfaat berpanjangan
kepada seluruh masyarakat dengan cara terus digunakan atau melakukan
kitaran pendapatan pada hasil harta wakaf tersebut," jelasnya.
Hikmah wakaf
Bagaimanapun kata Abu Bakar, misi itu dilihat sukar untuk dicapai tanpa sokongan dan kerjasama daripada seluruh masyarakat.
"Ramai di kalangan umat Islam yang masih belum menyedari hakikat
kepentingan dan hikmah wakaf. Ramai yang beranggapan mereka akan
kehilangan harta jika memberikan wakaf.
"Begitu juga pemikiran orang ramai yang mengatakan untuk memberi
wakaf memerlukan harta yang banyak, sama ada untuk dijadikan tapak
perkuburan atau masjid sahaja.
"Sebenarnya wakaf adalah luas. Ingin memberi wakaf tidak memerlukan
harta yang banyak dan hasilnya juga akan dimanfaatkan untuk pelbagai
kegunaan lain," katanya.
Tambahnya, di dalam kepercayaan agama lain juga telah mengamalkan
sama seperti konsep wakaf dan terbukti berjaya sehingga mampu membina
bangunan yang hebat dan gah.
Dengan serendah RM5 sebulan, orang ramai turut boleh menyumbang mewakafkan harta untuk kebajikan pembangunan ummah.