Pages

Thursday, May 24, 2012

"Zakat melegakan saya" - Jaafar Ong

Jaafar Ong Abdullah mererima bantuan modal perniagaan daripada LZS, baru-baru ini.
Jejak Asnaf
BUKAN niatnya memeluk Islam untuk mendapatkan bantuan zakat. Bahkan, penghijrahannya kepada hidayah Allah SWT pada tahun 2006, dilakukannya penuh kerelaan.
Saat itu, dia tidak tahu pun memeluk Islam boleh mendapat habuan zakat atas nama mualaf. Benarlah, penghijrahannya tulus kerana Allah SWT semata-mata.
"Saya memeluk Islam atas dorongan dari dalam hati saya sendiri. Semuanya kerana saya merasa sangat tertarik dengan kawan-kawan saya yang telah memeluk Islam lebih dahulu daripada saya.
"Jadi, saya ambil keputusan ini tanpa sesiapapun memujuk atau memaksa. Saya sendiri yang rela." Demikianlah bicara Jaafar Ong Abdullah, 51 yang penulis temui lewat penyampaian bantuan zakat di Bangunan Zakat Selangor, baru-baru ini.
Pada majlis yang sama, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut membantu empat orang asnaf yang lain, sama ada untuk bantuan perniagaan mahu pun perubatan. Jaafar dibantu untuk mengembangkan perniagaannya.
"Saya dahulu agama Buddha dan pernah berkahwin dan punya seorang anak. Namun, apabila saya memeluk Islam, anak dan bekas isteri saya tidak ikut serta.
"Alhamdulillah, kemudiannya saya berkahwin lagi dengan wanita Melayu, Rohimah Abdul Rahman. Kami bahagia hingga kini," ujarnya lagi.
Menjengah pengalaman silam, Jaafar Ong bukanlah orang yang tidak punya kemahiran. Dia pernah menjelajah dan hidup di negara orang.
"Dahulu, pada tahun 1998 saya pernah tinggal dan bekerja di Amerika Syarikat. Saya mencari kerja di sana dan menjadi pekerja restoran beberapa ketika.
"Sebelum ke Amerika pun, saya sudah kerja macam-macam di Malaysia. Saya pernah bekerja di kedai kopi membantu abang saya dan juga membina bangunan," sambung Jaafar berkongsi pengalaman.
Tahun 2005 Jaafar kembali dari Amerika ke Malaysia. Tidak lama selepas itu, tahun 2006 dia memilih untuk memeluk Islam. Pada tahun yang sama juga, Jaafar bertemu jodoh kali kedua dengan Rohimah, isterinya. Ketika itu, Jaafar hanya bekerja menjaga lori dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
"Apabila sudah beristeri, pendapatan itu tidak cukup. Tetapi saya tidak tahu pula boleh dapat bantuan mualaf. Hinggalah tahun 2009 baharu saya menerima bantuan zakat berkenaan. Saya diberikan bantuan sewa rumah RM500 sebulan dan juga bantuan bulanan RM400 sebulan selama dua tahun setengah.
"Sebelum mendapat bantuan zakat, hidup saya agak susah. Ini kerana, walaupun tidak ada anak bersama dengan isteri baru tetapi sebagai bapa saya masih ada anak dengan isteri lama. Setidak-tidaknya, saya masih ada tanggungjawab memberikan sekadar yang termampu kepadanya." Tambah Jaafar lanjut.
Oleh kerana pendapatannya sebagai penjaga lori tidak begitu besar, maka beberapa kesulitan menimpa dirinya. Sewa rumah tertunggak dan bil elektrik juga tertunda-tunda hingga terasa beban membayarnya.
"Sebab itu, bila saya dapat bantuan zakat, saya rasa sangat lega. Sehinggalah tahun 2011, barulah bantuan zakat bulanan itu dihentikan. Tetapi, saya menerima pula bantuan perniagaan daripada LZS. Semua ini amat membantu saya untuk membina kehidupan yang lebih baik," ujar Jaafar penuh perasaan.
Maklumlah, sebagai saudara baru, bantuan yang tidak disangka-sangka seperti ini pastinya amat menggembirakan hatinya. Dengan bantuan modal perniagaan sebanyak RM30,000 ini, sudah pasti ia adalah sesuatu yang amat bererti buat dirinya.
"Saya menceburi bidang perkhidmatan, iaitu menservis alat pemadam kebakaran api sejak tahun 2011. Saya boleh menservis semua jenis pemadam api dan juga turut membekalkan peralatan berkenaan, sama ada untuk kilang, pejabat mahu pun rumah kediaman. Operasi saya banyak tertumpu di Lembah Klang, khususnya di kawasan Klang sendiri.
"Walau bagaimanapun, perniagaan ini bukanlah menjanjikan pulangan yang begitu besar. Apatah lagi persaingan juga agak sengit di sekitar Kuala Lumpur. Kadang-kadang, sukar juga untuk saya mendapatkan pelanggan.
"Lagipun, setiap alat pemadam api mempunyai tempoh servis yang lama untuk diservis semula. Selepas setahun, baru boleh diservis kembali. Jadi, saya perlukan ramai pelanggan demi memastikan jumlah pemadam api juga banyak untuk diservis," terang Jaafar dengan panjang lebar.
Walaupun baru bertatih dalam dunia perniagaan servis pemadam api ini, Jaafar sudah dapat membayangkan masa hadapan perniagaannya. Apatah lagi dengan bantuan daripada LZS, iaitu modal RM30,000 bagi membeli sebuah van, maka dia merasa yakin dapat mengembangkan lagi perniagaannya dan menambahkan lagi rangkaian pelanggannya.
"Insya-Allah, saya yakin dalam tempoh tiga tahun mendatang ini, saya sudah boleh mengeluarkan zakat perniagaan saya. Maknanya, saya sudah tidak perlu lagi bantuan zakat," ujarnya.
Di akhir pertemuan berkenaan, Jaafar amat berterima kasih kepada LZS, khususnya kepada para pembayar zakat yang telah memberikannya peluang untuk membina sebuah perniagaan dan kehidupan.
"Semoga Allah sahajalah yang membalasnya," doa Jaafar di penghujung bicara.
Nota: Jaafar Ong Abdullah boleh dihubungi di Klang Fire Safety Protection, 34, Lintang Tepi Sungai 1, 41100 Klang, Selangor atau di talian 03-3373 6118 atau 017-201 2206.

No comments:

Post a Comment