Pages

Thursday, May 24, 2012

Gelap pandangan tetapi terang hati

Mohd. Gadafi Mohd. Zuki (kiri) gembira dapat berkongsi ilmunya, apatah lagi ia dapat memberi rezeki tambahan kepada pengamalnya.



TIDAK dapat dibayangkan bagaimana rasanya apabila tiba-tiba penglihatan menjadi kabur, berbalam-balam dan akhirnya kelam sebelum semuanya gelap gelita.
Itu yang dialami anak muda yang berasal dari Tumpat, Kelantan, Ahmad Zahir Mohd. Nasir, apabila peralihan siang dan malam tidak ada bezanya lagi.
Dilahirkan 29 tahun lalu dengan sempurna sifat. Namun menginjak usia 18 tahun, iaitu sebaik menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Ahmad Zahir hilang fungsi indera matanya.
"Semua ini disebabkan penyakit keturunan, walaupun dilahirkan sempurna tetapi lama-kelamaan kami akan hilang penglihatan.
"Daripada enam adik-beradik, empat orang termasuk saya, telah menjadi buta; abang sulung, Ahmad Nazri, 35, abang kedua, Allahyarham Ahmad Azli, saya dan adik perempuan, Noor Shuhada, 26.
"Yang tidak mengalami masalah ini, Ahmad Nazri, 31, dan adik bongsu kami Ahmad Ridwan 23. Insya-Allah kedua-duanya tidak mengalami nasib seperti saya," katanya.
Kedua-dua ibu bapanya tidak mengalami penyakit itu yang membabitkan kegagalan saraf mata yang lama-kelamaan ia 'mati tanpa diketahui puncanya.'
Sekalipun cuba diatasi dengan prosedur pemindahan kornea namun ia tidak akan mampu mengembalikan semula fungsi mata tersebut.
Tanpa ada banyak pilihan Ahmad Zahir reda walaupun terlalu pedih akan hakikat yang terpaksa diterima.
"Walaupun saya telah cuba menerima hakikat yang saya akan buta suatu hari kelak, namun kekecewaan tetap ada.
"Apa tidaknya, di saat usia masih muda, punyai cita-cita untuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, tiba-tiba saya hilang penglihatan. Ia satu dugaan yang berat," kata Ahmad Zahir.
Saat itu, bermula kehidupan Ahmad Zahir sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mendaftarkan diri dengan Persatuan Orang Buta Malaysia bagi mendapatkan manfaat untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Di persatuan itu, sebagaimana mereka yang senasib dengannya, dia mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran terutamanya membaca Braille.
Tiga tahun kemudian, iaitu pada awal 2010 Ahmad Zahir cuba beralih kemahiran dengan menyertai Pusat Nuri Refleksologi Terapi di Bangunan Medan Mara, Kuala Lumpur untuk menjadi juru urut.
Sejak itu, Ahmad Zahir sudah tidak menang tangan kerana tidak putus-putus dikunjungi pelanggan yang memerlukan perkhidmatan urut.
"Tidak sahaja bertugas di Medan Mara, malah saya membantu seorang rakan yang membuka sebuah pusat urutan di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor. Malah saya juga membuka pusat perkhidmatan urutan sendiri di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor," katanya.
Kelebihan dan kemahiran ini telah membawa Ahmad Zahir kepada kaedah terbaru yang dipelajari dan diamalkan, iaitu urutan saraf. Tumpuan urutan dibuat terhadap titik dan urat saraf berbanding bahagian dan otot badan.
Kaedah ini dipelajari daripada pakar Urutan Saraf, Mohd. Gadafi Mohd. Zuki yang juga merupakan Pengurus Darul Irsyad, sebuah pusat perubatan alternatif yang menggunakan kaedah perubatan Islam, yang terletak di Seksyen 3 Tambahan, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Sementara itu, seorang lagi OKU, Rosni Saini juga giat mempelajari kaedah urutan saraf itu sebagai satu lagi cabang ilmu urutan, selain menambahkan kepakaran mengurut yang diceburi sejak 2006.
Walaupun kini bertugas di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya, Rosni mempunyai pengalaman yang cukup luas sebagai juru urut terutama mengurut para atlet negara yang bernaung di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil.
"Kecuali satu, saya masih belum 'berani' untuk mengurut wanita selepas bersalin. Namun saya suka profesion juru urut ini kerana ia mampu meluaskan pandangan 'mata' saya yang tidak nampak ini.
"Selain itu, saya juga berkesempatan berkenalan dengan ramai orang dan sering dibawa ke merata tempat apabila khidmat saya diperlukan," katanya sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment