SIMPANG PULAI - Kelmarin merupakan hari bersejarah bagi 161 masyarakat Orang Asli dari sekitar Kampung Kerawat di sini, kerana melafazkan dua kalimah syahadah serentak dengan dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu majlis di Surau Kampung Kerawat.
Majlis doa dipimpin oleh Penasihat Agama Menteri Besar, Datuk Kapten (B) Najmuddin Elias Al-Hafiz dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Mohd Yusop Husin.
Zambry dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri berharap saudara baru terus menimba ilmu pengetahuan bagi memahami hakikat ajaran Islam yang sebenarnya.
Katanya, dengan memahami hakikat sebenar ajaran Islam dapat membentuk seseorang itu untuk menjadi manusia yang baik.
“Kita harap mereka ini akan dapat terus menimba ilmu pengetahuan untuk belajar hakikat agama serta ajaran agama yang sebenarnya.
“Ini kerana matlamat agama itu sendiri, khususnya Islam bertujuan menjadikan seseorang itu manusia yang baik,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pengislaman beramai-ramai Peringkat Negeri Perak 1433H/2012M di Pekarangan Surau Perkampungan Orang Asli Kampung Kerawat, Simpang Pulai, kelmarin.
Beliau turut berharap semua saudara baru tersebut memberi penekanan terhadap keamanan, kedamaian, kasih sayang dan perpaduan.
“Saya sangat berharap setelah memeluk Islam ini, janganlah pula mereka menyisihkan masyarakat kampung yang belum memeluk Islam. Islam tidak mengajar sebegitu.
“Sebaliknya Islam mengajar kita untuk saling menghormati antara satu sama lain. Walaupun telah memeluk Islam, tetapi mereka perlu sentiasa menjaga hubungan harian dengan penduduk kampung yang lain sebagaimana biasa,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment