PEPATAH Arab menyebut, ‘Masa adalah ibarat pedang,  jika kita tidak memotongnya , maka ia akan memotong kita.’ Ini  menggambarkan kepada kita bahawa masa itu sesuatu yang sangat penting  dan amat berharga. Sehinggakan dalam kehidupan kita ada ungkapan masa  itu ibarat emas.
Masa sebenarnya adalah nyawa kerana apabila kita  diberikan peluang untuk terus bernafas, kita sebenarnya mempunyai masa  untuk memperbanyakkan  sumbangan dalam kehidupan, memperbaiki kesilapan  dan sebagainya.
Di dalam al-Quran, apabila Allah bersumpah  dengan sesuatu, maka ia antara lain untuk menggambarkan perkara tersebut  sangat penting dan perlu diberi perhatian.
Masa adalah  antara banyak perkara yang Allah bersumpah dengannya. Ini membuktikan  bahawa masa adalah perkara yang sangat penting. (rujuk al-’Ashr: 1-3)
Malah bukan itu sahaja, sekiranya kita membuka lembaran al-Quran, kita  akan dapati di sana terdapat banyak ayat yang menunjukkan Allah SWT  bersumpah dengan masa. Antaranya rujuk surah al-Lail: 1-2, adh-Dhuha:  1-2, al-Fajr: 1-2 dan asy-Syams: 1-2.
Namun, apa yang  menyedihkan, walaupun telah diperingatkan dengan kepentingan menguruskan  masa, berapa ramai di kalangan kita yang lalai dan leka dalam menjaga  masanya.
Masa berlalu dengan sia-sia tanpa dimanfaatkan  dengan sebaik mungkin. Akhirnya, apabila sudah terlewat, barulah mereka  menyesal sehingga meminta untuk diundurkan masa, ibarat kata pepatah  ‘Sudah terhantuk baru hendak terngadah.’
Sayangnya, semua itu  adalah mustahil. Ibarat kata pepatah ‘nasi sudah menjadi bubur.’  Penyesalan dan rintihan mereka yang mengabaikan masa di dunia telah  dimuatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran sebagai pengiktibaran kepada  kita semua supaya benar-benar menghargai masa yang ada. (rujuk  al-Munafiqun: 10)
Nabi SAW juga banyak mengingatkan kita  supaya sentiasa menjaga masa. Orang yang tidak mementingkan masa dan  tidak menguruskannya dengan baik, pasti akan rugi di dunia dan di  Akhirat.
Rasulullah SAW bersabda: Dua jenis nikmat yang  kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan  kelapangan. (riwayat al-Bukhari)
Peringatan yang diberikan  oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW ini sebenarnya memberikan penekanan  tentang bagaimana kita dapat menguruskan masa dengan lebih efisien dan  berdisiplin.
Biasanya, kita akan dapat melihat orang yang  paling baik dalam menguruskan masa ialah orang yang paling sibuk. Ini  dibuktikan melalui pemerhatian kita kepada kehidupan Rasulullah SAW yang  terlalu sibuk menguruskan agenda dakwah serta perjuangannya, menjadi  pemimpin di negara Islam Madinah, menjadi ketua turus angkatan tentera,  menjadi suami kepada isteri-isteri, menjadi ayah kepada anak-anak,  menjadi teman kepada sahabat-sahabat dan sebagainya.
Akan  tetapi, Baginda dapat menguruskan masa dengan cemerlang untuk  melaksanakan urusan dan amanahnya sehingga semua manusia berpuas hati.
Setiap orang ditunaikan haknya dan tiada yang diabaikan oleh  Rasulullah SAW. Lalu, persoalan yang perlu ditanya, adakah kita lebih  sibuk daripada Rasulullah SAW sehingga kita mengabaikan sebahagian  tanggungjawab kita?
Penulis ingin berkongsi di sini bagaimana menguruskan masa secara efisien dan efektif.
Mudah-mudahan dengan beberapa tip ini akan memberikan garis panduan  kepada pembaca untuk menjadikan masa yang digunakan lebih berkualiti.
Semoga kita menjadi orang yang lebih berdisiplin dalam menggunakan  masa kerana seperti yang diwasiatkan oleh Al Syahid Hassan Albanna  bahawa, “Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita  ada. Oleh itu, bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak  menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas  sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya.”

No comments:
Post a Comment