Sebenarnya, ujian-ujian yang Allah berikan ini sama ada kepada saya atau yang lain, adalah untuk menguatkan jiwa, iman dan keteguhan manusia menghadapi cabaran getir dan mengukuhkan lagi kebergantungan kepada-Nya. Ketika menghadapinya terasa cukup sakit namun setelah berjaya melintasinya, ianya cukup nikmat. Pengalaman pahit umpama ‘universiti terbaik’ hidup kita selama ini. Dan setiap ujian yang diberikan, adalah sesuai dengan kemampuan seseorang. Masalah-masalah saya, tidak diberikan dan berbeza kepada orang lain kerana khuatir mereka tidak dapat menanggungnya.
Begitu juga masalah mereka, tidak diberikan kepada saya, khuatir saya hilang punca dan tidak upaya menahan bebannya. Dan ujian Allah adalah berdasarkan kemampuan manusia seperti firmannya: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya” (Al-Baqarah: 286) Begitulah Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasihani. Adakala hidup ini dilalui dengan pelbagai himpitan, masalah, ujian namun kita tidak keseorangan dalam menghadapinya. Allah itu kan ada, mendengar rintihan kita. Jika kita rasa, kita susah betapa ramai lagi yang tak pernah kenal erti apa itu lampu, pendingin hawa atau makanan enak menjilat rasa. Atau sekadar menjamah pucuk-pucuk paku di belakang rumah atau sayur ulaman di kaki longkang. Baju lusuh bertukar warna, menjadi teman di Hari Raya. Mereka lebih derita dan lara.
Jikalau kita rasa hebat, sebenarnya ramailah lagi, jauh lebih hebat daripada kita. Esok kita hebat, lusa mungkin kita merempat. Belum tahu, justeru pintalah pada yang Esa agar perjalanan hidup kita sentiasa direstu dan dilindungi selalu. Terus-terang saya katakan, di sebalik cabaran, dugaan dan asakan yang mendatang, adakalanya saya juga ‘frust’ dan tewas. Kecewa umpama ‘mati’ sebelum mati. Api juang adakala naik menjulang namun lazimnya padam dan kecundang. Di sebalik tulisan status saya dan rintangan yang dihadapi, mahu sahaja saya berhenti daripada mencebis kata-kata namun puluhan feedback yang saya terima, menghidupkan saya semula. Semua ini dengan hidayah dan kekuatan yang Allah berikan. Kata seorang tua kepada saya, sebanyak mana orang menyukai kita, mungkin sebanyak itulah orang membenci kita. Justeru janganlah kita mendabik dada, kerana dunia ini pinjaman semata-mata.
Ada pembaca yang menceriakan terdiri dari Muslim & Non-Muslim juga, ada yang lebih susah hidupnya dan lebih hebat pengorbanannya malah tidak kurang juga yang menegur dan mengkritik saya. Sesungguhnya, pandangan, dan teguran pembaca dan cerita-cerita mereka, menyuntik semangat di dada yang adakalanya kecundang secara tiba-tiba. Syukur kepada Allah, memberi kekuatan kepada saya dan terima kasih kepada pembaca dan pengkritik yang telah menyedarkan lena dan duka saya yang panjang. Inilah medan dakwah saya & kekasih hati saya. firman Allah yg bermaksud; “Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “innalillahi wa inna ilaihi raji’un” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali).” (Al-Baqarah: 155-156). Benarlah firman Allah.
No comments:
Post a Comment