Mengapa kita perlu berdoa? Bukankah Allah SWT  sememangnya tahu semua keinginan kita tanpa kita berdoa pun? Bukankah  Allah SWT mengetahui apa yang terlintas di fikiran kita? Mengapa kita  perlu berdoa lagi kerana bukankah berdoa itu sama sahaja seperti apa  yang ada di dalam hati dan fikiran kita?
Suatu ketika dahulu  saya sering putus asa di dalam berdoa. Kekadang terasa sangat penat dan  bosan berdoa kerana sangat penat menunggu apa yang diinginkan  dimakbulkan oleh Allah SWT. Sejak mengenal Allah SWT sehinggalah  beberapa tahun yang lepas, saya sering memikirkan mengapa perlunya saya  berdoa sedangkan Allah SWT mengetahui segala apa yang saya inginkan.
Mengapa Perlu Berdoa?
Berdoa adalah memohon dan meminta serta berharap. Pemohon sudah pasti  memiliki darjat yang lebih rendah daripada Pemberi. Begitulah kita  dengan Allah SWT. Jelas menunjukkan kita memerlukan Allah SWT dan  memohon pelbagai perkara di dalam kehidupan kita ini. Darjat kita  terlalu jauh malah amat jauh sehinggakan langsung tiada darjat atau juga  sebenarnya tidak boleh membuat perbandingan langsung berbanding  kebesaran Allah SWT.
Berdoa itu merendahkan darjat kita  sehingga daripada kita rasa ada apa-apa kepada tiada apa-apa langsung.  Kita meletakkan diri kita benar-benar berada di bawah. Kita memohon dan  berharap sesuatu daripada Allah SWT. Dengan berdoa kita lebih jelas  siapa kita dan kepada siapa kita memohon. Kita sedar kedudukan kita dan  kita sedar kedudukan Allah SWT. Kita sedar kita hanyalah hamba ciptaan  Allah SWT dan Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Besar.
Namun  persoalan besar di sini adalah adakah kita benar-benar SEDAR dan  merasakan sebenarnya kita ini hamba yang lemah? atau sekadar tahu?
Doa memerlukan KESEDARAN.
Apabila kita berdoa tanpa memiliki KESEDARAN yang kita ini lemah di  sisi Allah SWT, kita tetap ego dan berasa hebat di sisi Allah SWT. Kita  memohon tetapi permohonan kita tidak diserahkan kepada Allah SWT. Segala  keinginan yang kita inginkan adalah sepenuhnya mengikut kehendak kita  seluruhnya dan kita tidak dapat menerima kehendak Allah SWT. Lalu di  dalam tidak sedar kita menganggap Allah SWT hanyalah sebagai Tuhan  melakukan kerja untuk menunaikan segala kehendak kita.
Kalian semua,
Apabila kita berdoa, kita menyatakan keinginan kita kepada Allah SWT  dengan penuh KESEDARAN yang kita ini lemah, bodoh, tidak berdaya dan  benar-benar mengharapkan pertolongan Allah SWT. Tetapi dalam masa yang  sama kita sedia menerima segala ketentuan yang Allah SWT tetapkan. Kita  juga akan terus mengikut segala ketetapan yang Allah SWT perintahkan  kepada kita. Maka kita benar-benar akan berserah secara total kepada  Allah SWT.
Orang yang beriman itu tidak pernah kecewa kerana  sentiasa menerima ketentuan Allah SWT dan tidak pernah putus asa di  dalam mengikut ketetapan yang Allah SWT tetapkan. Orang yang beriman  sentiasa aktif. Melakukan segala kerja dan berusaha melakukannya sebaik  mungkin di atas nama Allah SWT. Urusan rezeki dan segala penyelesaian  hidup adalah hak Allah SWT yang kita tidak boleh pertikaikan kerana ia  bukan hak kita.
Di dalam masa yang sama juga, kita yakin dan  prasangka baik dengan Allah SWT bahawa Allah SWT akan memakbulkan segala  permintaan kita. Kita sangat yakin dengan kehendak Allah SWT di mana  kehendak Allah SWT merupakan ketentuan yang terbaik di sisiNya untuk  diri kita.
Bagaimana untuk yakin? Kita perlu mencapai kesedaran. Apabila kita berada di dalam KESEDARAN, pasti kita sangat yakin,
Kalian yang dihormati,
Memiliki kesedaran ini perlu dilatih. Ia tidak mampu dimiliki secara  terus tetapi mampu dimiliki seawal latihan. Ia akan terus meningkat  tanpa henti dan penghujung. Kesedaran ini ada turun naiknya tetapi  apabila kita sudah mencapai ke satu tahap, ia akan tersimpan di dalam  minda bawah sedar kita dan mudah untuk dicapai kembali jika kesedaran  kita menurun.
Semoga kesedaran kita akan hal Allah SWT (sifat dan  perbuatan Allah SWT) sentiasa meningkat dari masa ke semasa dan  menjadikan kita benar-benar merasai kehidupan hidup berTuhan yang  dikehendaki Allah SWT yang mana akan membawa kepada kejayaan dunia dan  akhirat seperti yang telah Allah SWT janjikan. 
No comments:
Post a Comment