Oleh : Mufti Brunei
GANDAKAN SEDEKAH DI BULAN RAMADHAN
ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ، ﻭﺍﳊﻤﺪ ﷲ ، ﻭﺍﻟﺼﻼﺓ ﻭﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻰ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﷲ ، ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻟﻪ ﻭﺻﺤﺒﻪ ﻭﻣﻦ ﻭﺍﻻﻩ
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para
pengikut Baginda)
Bulan Ramadhan merupakan medan pahala yang terkumpul dalamnya khazanah
kelebihan yang tidak terhitung dan tidak dapat dinilai dengan harta
benda. Segala macam kelebihan dan kebajikan terkumpul dan
dilipatgandakan ganjarannya di bulan yang suci lagi
mulia ini. Dalam bulan Ramadhan ini, nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke
atas hambaNya lebih luas lagi berbanding bulan-bulan yang lain.
Alangkah ruginya seorang muslim itu jika dia tidak merebut peluang
segala kelebihan dan kebajikan yang sangat istimewa yang terdapat dalam
bulan Ramadhan, yang hanya hadir setahun sekali, iaitu dengan berusaha
meningkatkan amal ibadat termasuk
memperbaiki akhlak dan budi pekerti.
Walaupun umat Islam sentiasa dituntut supaya meningkatkan amal ibadat
pada setiap masa, namun bulan Ramadhan merupakan waktu terbaik untuk
melipatgandakan amalan yang biasa dikerjakan atau memulakan langkah
mengerjakan suatu amalan yang sebelum itu jarang ataupun belum pernah
dikerjakan. Antara amalan yang perlu diperbanyakkan dalam bulan Ramadhan
ialah amalan bersedekah.
Bulan Ramadhan Waktu Paling Afdhal Untuk Bersedekah
Tiada ikutan terbaik yang paling layak dan paling utama dicontohi atau
diteladani oleh manusia selain daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang
sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat,
serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah”. (Surah al-Ahzab:
21)
Oleh kerana itu, cara terbaik bagi menjalani bulan Ramadhan ini ialah
dengan menghayati dan meneladani bagaimana sikap dan sifat Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika berada di bulan tersebut.
Menurut riwayat hadits-hadits shahih yang dikhabarkan kepada kita
melalui para sahabat Baginda, selain meningkatkan amal ibadat Baginda di
bulan rahmat ini, sifat serta akhlak Baginda yang sangat mulia lagi
luhur dan tiada bandingnya itu pun turut sama meningkat lebih tinggi
daripada dalam bulan-bulan yang lain.
Antaranya yang diberitakan oleh para sahabat ialah sifat murah hati
serta dermawan Baginda yang sememangnya merupakan makhluk yang paling
pemurah itu bertambah-tambah lagi pemurahnya ketika berada di bulan
Ramadhan. Ini jelas termaktub dalam riwayat hadits-hadits shahih yang
menceritakan bagaimana ringan serta cepatnya tangan Baginda yang mulia
itu menghulurkan bantuan atau pemberian seperti sedekah dan sebagainya
di bulan Ramadhan. Umpamanya hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu
‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan manusia
yang paling pemurah, dan Baginda itu lebih pemurah lagi dalam bulan
Ramadhan ketika Baginda didatangi oleh Jibril ‘alaihissalam (kerana
Baginda sangat berbesar hati dengan pengutusan Jibril ‘alaihissalam
untuk bertemu dengan Baginda dan kerana kesan bertadarus al-Qur‘an
dengan Jibril ‘alaihissalam). Adapun Jibril ‘alaihissalam mendatangi
Baginda pada setiap malam di bulan Ramadhan lalu Baginda (Jibril
‘alaihissalam) mengajarkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
al-Qur‘an (mentasme‘ dan meneliti bacaan Baginda Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam). Maka sememangnya Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam itu sangat pemurah dengan kebaikan lebih daripada
angin yang bertiup”.
(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah ketika mensyarahkan
hadits ini, maksud “sangat pemurah dengan kebaikan lebih daripada
angin yang bertiup” itu ialah betapa pantas dan ringannya tangan
Baginda menghulurkan pemberian serta tidak putusnya limpahan kebajikan
yang disalurkan oleh Baginda kepada siapa sahaja tanpa pilih kasih.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, hadits ini merupakan seruan serta
anjuran kepada umat Islam supaya menanamkan sifat pemurah dan sentiasa
mengamalkan sifat pemurah itu pada setiap detik dan ketika, dan sunat
meningkatkan sifat pemurah tersebut dalam bulan suci Ramadhan sebagai
mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Maka berdasarkan hadits ini, para ulama telah mengambil kesimpulan
bahawa waktu yang paling afdhal untuk bersedekah ialah dalam bulan
Ramadhan, terutama sekali pada sepuluh hari terakhir bulan tersebut.
Menurut ulama, keutamaan dan keistimewaan bersedekah di bulan Ramadhan
itu adalah kerana kemuliaan bulan Ramadhan itu sendiri, ditambah lagi
dengan keadaan orang-orang fakir yang kekurangan tenaga untuk mencari
pendapatan akibat keletihan dan kelaparan kerana berpuasa.
Ini dikuatkan lagi dengan keperibadian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam dalam bulan Ramadhan yang mana sifat pemurah Baginda pada waktu
tersebut diumpamakan oleh sahabat Baginda sebagai lebih pemurah
daripada limpahan angin yang membawa rahmat dan manfaat kepada siapa
sahaja yang terkena hembusannya. Diikuti pula selepas itu, afdhal
bersedekah pada hari-hari kebesaran dan kemuliaan Islam yang lain,
seperti Hari Jumaat, sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, dan kedua
Hari Raya ‘Idil Fitri dan ‘Idil ‘Adha.
Bagaimanapun, harus diambil perhatian di sini bahawa pemilihan waktu
yang paling afdhal untuk bersedekah ini bukanlah satu anjuran supaya
kita melewatkan sedekah itu sehingga masuk bulan Ramadhan atau sepuluh
hari pertama bulan Zulhijjah atau lain-lain yang disebutkan tadi.
Bahkan amalan bersedekah itu adalah dituntut untuk disegerakan pada
bila-bila masa dan di mana-mana saja. Akan tetapi, ia lebih merupakan
dorongan untuk memperbanyakkan sedekah pada waktu-waktu tersebut kerana
sedekah pada waktu-waktu berkenaan lebih besar ganjaran serta faedahnya.
Sebagai hamba Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang sentiasa mengharapkan
rahmat serta keredhaanNya, kita sewajarnya mencari apa sahaja jalan yang
akan mengangkat darjat kita di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Jalan
terbaik untuk mencapai hasrat tersebut ialah dengan meneladani
kekasihNya iaitu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menduduki darjat tertinggi
di
sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu pun sentiasa merebut peluang untuk
mencari keredhaanNya sebagai luahan rasa syukur Baginda atas segala
kurniaanNya, jadi bagaimana pula kita yang merupakan hambaNya yang
kerdil dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa ini?
Jadi rebutlah peluang untuk mengangkat darjat kita di sisi Allah
Subhanahu wa Ta‘ala dengan memanfaatkan kehadiran bulan Ramadhan ini
dengan sebaiknya dan jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja.